Saturday, March 6, 2010

Peragut jatuh

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/03/06

KUALA LUMPUR : Seorang ahli Geng Jalit yang menggunakan palam pencucuh untuk memecah cermin kenderaan bagi melakukan samun di lampu isyarat tumpas apabila mangsa terlanggar seorang ahli kumpulan itu di Taman Tun Dr Ismail, di sini baru-baru ini.

Ketika kejadian, dua suspek memecahkan cermin kereta Suzuki Swift di bahagian penumpang dan cuba merampas beg tangan mangsa berusia 25 tahun.


Bagaimanapun, mangsa cuba menarik semula begnya menyebabkan salah seorang suspek terjatuh di persimpangan lampu isyarat sebelum tangannya digilis kereta mangsa yang ketika itu cuba menyelamatkan diri.


Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid berkata, orang awam yang melihat kejadian itu bertindak pantas mengepung dan menahan suspek berusia 32 dan 35 tahun itu.


Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan itu ialah menggunakan palam pencucuh yang diikat pada sarung tangan ketika menunggang motosikal.


“Sebaik mengenal pasti mangsa, suspek menghayun objek berkenaan pada cermin kereta mangsa manakala rakannya yang membonceng merampas barang berharga di kerusi tempat duduk hadapan,” katanya pada sidang media semalam.

Wan Abdul Bari berkata, susulan tertangkapnya suspek, polis menahan tiga lagi ahli kumpulan berusia 27 hingga 36 tahun di sekitar kawasan Bandar Tun Razak.


“Selain itu beberapa tangkapan lain juga dilakukan dan kami berjaya mencekup 12 ahli kumpulan itu. Geng itu juga aktif menyamun di sekitar Ampang Jaya dan Cheras,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutjatuh/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...