Saturday, March 6, 2010

Maut bantu isteri diragut

Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
2010/03/05

MELAKA: “Saya tidak sangka kejadian ini akhirnya meragut nyawa suami yang cuba membantu selepas seorang peragut bertindak kejam merentap rantai leher sambil mengheret saya yang ketakutan walaupun sudah jatuh terbaring di atas tanah.”

Begitu kata warga emas, Maimun Ibrahim, 55, berhubung peristiwa malang yang menimpa pasangan suami isteri terbabit apabila seorang lelaki berusia lewat 20-an meragut rantai lehernya di pekarangan rumah mereka di Bukit Pegoh, Telok Mas, di sini, pada 19 Februari lalu.


Lebih memilukan, suaminya, Munip Omar, 71, yang mengalami patah tulang pinggul akhirnya meninggal dunia pada jam 3.24 petang, Selasa lalu di Hospital Melaka akibat jangkitan kuman pada paru-parunya yang dipercayai berpunca daripada darah beku akibat kecederaan dialami mangsa.


Maimun berkata, sebelum kejadian, dia ternampak seorang lelaki berjalan mundar-mandir kira-kira dua kali di perkarangan masjid seolah-olah mencari sesuatu ketika sedang menyapu di beranda rumahnya manakala arwah suaminya pula sedang duduk di kusyen panjang berhampiran.


Katanya, dia yang menyangkakan lelaki terbabit cuba mencari tandas kemudian menegur dengan memberitahu tandas lelaki terletak bersebelahan kerana suspek berkenaan cuba memasuki tandas perempuan.


“Selepas menunjukkan tandas lelaki, saya pun tidak perasan sama ada dia memasuki tandas itu atau tidak. Sebelum itu, saya ada juga terdengar suara seseorang dipercayai rakan lelaki itu berteriak selain mendengar bunyi enjin motosikal yang tidak kelihatan.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, lelaki itu tanpa disedari sudah berada di belakang saya dan dalam sekelip mata terasa rantai leher direntap mengakibatkan berasa begitu terkejut.


“Saya cuba melawan kudrat lelaki berkenaan hingga membuatkan dia mencekak rantai leher dengan lebih kuat menyebabkan saya jatuh terbaring,”
katanya ketika ditemui di rumah keluarga suaminya di Kampung Tengah, Paya Dalam, di sini, kelmarin.


Maimun berkata, sebaik terjatuh, lelaki berkenaan terus mengheretnya sehingga mengakibatkan dia terasa tubuhnya bergesel dengan permukaan tar di luar rumah akibat tindakan kejam terbabit.


Katanya, ketika itu, suaminya yang sedang berbaring di kusyen bergegas keluar dan memukul suspek dengan penyodok plastik sehingga pecah. Bagaimanapun tindakan arwah suaminya itu membuatkan suspek marah lalu menolaknya hingga jatuh terduduk.


“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya yang turut terkejut melihat arwah suami ditolak terus tidak melawan menyebabkan lelaki terbabit merentap sebelum melarikan rantai leher bernilai kira-kira RM3,000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautbantuisteridiragut/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...