Saturday, March 6, 2010

Jais tegah 6 syarikat

2010/03/06

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan enam syarikat yang terbabit mengeluarkan sijil dan logo halal supaya tidak lagi mengeluarkan sijil berkenaan kepada peniaga dan pemilik premis makanan di Selangor.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata enam syarikat berkenaan ialah Bahtera Lagenda Sdn Bhd, Islamic Food and Research Council, SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan Ifanca International.


Beliau berkata, Jais sebelum ini tidak pernah memberikan kebenaran dan mengiktiraf syarikat berkenaan yang mengeluarkan sijil logo halal kepada beberapa premis makanan di negeri itu terutamanya di kedai kopi dan medan selera.


Mohammed Khusrin berkata syarikat terbabit juga didapati tidak melakukan pemantauan selepas mengeluarkan sijil logo halal kepada pemohon seperti yang dilakukan Jais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


“Berkuat kuasa hari ini hanya sijil logo halal yang dikeluarkan Jais dan Jakim sahaja yang diiktiraf untuk diguna pakai di semua premis makanan di Selangor,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.


Sehubungan itu, katanya syarikat terbabit diarahkan supaya tidak menerima sebarang permohonan sijil halal daripada mana-mana pihak berkuat kuasa serta-merta kerana sijil logo halal yang dikeluarkan diragui terutama membabitkan syarat pengeluaran dan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan.

Beliau berkata, tempoh tiga bulan diberikan kepada syarikat berkenaan supaya menyelesaikan segala urusan membabitkan pemprosesan sijil logo halal yang sudah diterima sebelum ini.


“Kepada mereka yang belum memiliki sijil logo halal atau mahu memperbaharui diingatkan supaya hanya melakukannya melalui Jais dan Jakim,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jaistegah6syarikat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...