Wednesday, May 5, 2010

2 hilang ingin bebas

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
2010/05/05

KUALA LUMPUR: Ingin bebas. Ini dilakukan seorang gadis yang sanggup meninggalkan keluarga semata-mata ingin bersama rakan sebaya sejak seminggu lalu walaupun dia sepatutnya meneruskan persekolahan.

Malah, gadis berusia 13 tahun dikenali sebagai Aiza itu tidak membawa sebarang dokumen penting dan hanya berbekalkan RM10 sebagai wang saku.


Dia dipercayai menghilangkan diri bersama seorang lagi rakan sebayanya sejak Rabu lalu dan masih gagal dikesan sehingga kini.


Gadis terbabit dipercayai termakan pujukan dan janji manis beberapa lagi rakan yang baru dikenalinya, selain didakwa mahu mendapatkan kebebasan tanpa sebarang pengawasan daripada keluarga.


Keluarga mangsa sempat menghubungi telefon bimbit milik rakan mangsa yang dikenali Mimi, 13, tetapi mangsa hanya sempat mengucapkan ‘Helo’ sebelum telefon itu dirampas individu lain dipercayai lelaki.


Kehilangan mangsa didedahkan ibunya yang dikenali Alia, 40, yang sehingga kini runsing memikirkan kehilangan anak kedua daripada tujuh beradik itu. Anaknya itu masih menuntut di sekolah menengah di ibu kota.


Beliau menjelaskan malam sebelum kehilangannya, mangsa menginap di kediaman neneknya di Kampung Baru berbual dengan seorang lelaki dipercayai rakan lelakinya dikenali sebagai Along berusia 16 tahun.


“Bagaimanapun, keesokan harinya dia (Aiza) memaklumkan hendak keluar awal ke sekolah kerana ingin mengikuti program kokurikulum.


“Tanpa mengesyaki sebarang perkara buruk, mangsa diberikan wang saku RM10 sebagai belanja makan,”
katanya.

Bagaimanapun, hingga lewat petang, kelibat mangsa tidak kelihatan dan beberapa hari kemudian satu pesanan ringkas (SMS) diterima daripada mangsa yang memaklumkan dirinya selamat bersama rakannya itu.


Laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.


Harian Metro difahamkan kes berkenaan kemudian dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Seksual (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.


“Kami sekeluarga berharap Aiza kembali ke pangkuan keluarga dan maklumkan kepada kami sekiranya ada kemahuannya yang tidak kami penuhi kerana selama ini kami sekeluarga tidak pernah menolak sebarang permintaannya semata-mata mahu melihatnya gembira.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan ini atau pernah terserempak dengan dua gadis ini boleh terus menghubungi saya di talian 014-7261975 atau memaklumkan kepada mana-mana polis berhampiran,” katanya sayu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2hilanginginbebas/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...