Wednesday, May 5, 2010

'Raja peragut'

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/05/05

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila seorang lelaki yang disyaki meragut seorang lelaki sehingga maut di Taman Maluri, di sini Disember tahun lalu mengaku melakukan kira-kira 300 kes di sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu.

Suspek yang berusia 22 tahun dan juga pernah ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor kerana terbabit dalam satu kes bunuh dicekup di sebuah restoran oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di Bandar Tun Razak, di sini dua minggu lalu.


Pemangku Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, hasil maklumat awam dan risikan, suspek yang juga seorang penganggur ditahan berseorangan di restoran berkenaan kira-kira jam 8 malam.


“Siasatan awal ke atas suspek mendapati dia mengaku melakukan 60 kes ragut sekitar Cheras dan menjadikan jenayah terbabit sebagai mata pencariannya.


“Selain itu suspek juga mengaku terbabit dalam kes ragut pada 7 Disember tahun lalu menyebabkan seorang lelaki maut manakala isterinya patah kaki setelah tercampak ke atas jalan apabila motosikal mereka hilang kawalan akibat tindakan suspek meragut rantai leher wanita terbabit,”
katanya pada sidang media semalam.


Menurutnya, suspek dianggap peragut tegar dan berbahaya kerana masih melakukan jenayah itu walaupun mengakibatkan seorang mangsanya maut dan cedera parah.


“Selain itu, maklumat mendapati lelaki itu turut melakukan kegiatan jenayah itu bersama seorang lagi rakannya yang berumur 20 tahun berasal dari Selayang,” katanya. Abdul Rahim berkata, suspek menjadikan penunggang motosikal terutama wanita yang memakai barangan kemas atau beg tangan sebagai sasaran.


“Mereka melakukan kegiatan ini tanpa menggunakan sebarang senjata Malah begitu cepat dan pantas meragut walaupun ketika itu sedang menunggang motosikal.


“Buat masa ini, kita sedang memburu rakan suspek yang juga seorang penganggur bagi membantu siasatan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rajaperagut/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...