Wednesday, May 5, 2010

Minta emak cepat datang

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/05/05

TUMPAT: “Sepuluh minit sebelum kejadian, dia menghubungi saya di rumah memberitahu sudah tidak tahan dengan kelakuan suami yang suka memukul. Dia mahu saya segera datang menemaninya di rumah di Ladang Selborne dekat Padang Tengku, Kuala Lipis,” kata Halimah, 66, ibu kepada Rosmawati Abd Rahman yang meninggal dunia akibat dibelasah suaminya sendiri, petang Ahad lalu.

Menurut Halimah, ketika bercakap di telefon, dia sempat meminta anaknya bersabar sebelum dikejutkan berita kematian itu oleh salah seorang cucunya.


Katanya, sebaik menerima berita buruk itu, dia terus pengsan seketika kerana terkejut sebelum sedar semula dan menghubungi suami, Hussin Hamzah, 70, yang ketika itu berada di Kuantan.


“Arwah sering mengadu mengenai kelakuan suaminya yang kuat cemburu, namun saya minta dia bersabar kerana mungkin suaminya terlalu sayangkannya.


“Kejadian ini memang mengejutkan saya sekeluarga kerana tidak menyangka arwah dan suaminya itu menghadapi krisis keluarga yang amat berat sehingga suaminya sanggup bertindak di luar batasan,”
katanya.


Harian Metro semalam, melaporkan Rosmawati maut selepas suaminya bertindak ganas akibat cemburu buta apabila melihat isterinya bersembang dengan lelaki melalui telefon bimbit hingga sanggup memijak perut, dada, kepala dan pahanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Rosmawati, 39, yang mempunyai enam anak berusia dua hingga 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Difahamkan, nasib keenam-enam beradik terbabit akan ditentukan keluarga terdekat termasuk emak dan bapa saudara mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mintaemakcepatdatang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...