Wednesday, May 5, 2010

Menangis digigit semut

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/05/05

SEPANG: “Apa jenis manusia yang sanggup membuang bayi sekecil ini di atas lantai sehingga dihurung semut,” kata Nordin Kasbon, 61, antara individu terawal yang menemui bayi lelaki berusia kira-kira sebulan di sebuah wakaf berhampiran surau Kampung Jenderam Hulu di sini, semalam.

Menurutnya, tangisan dipercayai akibat digigit semut itu menyedarkan penduduk berhampiran mengenai kehadiran seorang bayi di situ pada jam 7 pagi.


Nordin berkata, bayi itu yang lengkap berbaju dan seluar serta sarung tangan dibalut dengan kain batik lusuh serta dibaringkan di atas simen tanpa bantal.


“Bayi itu diletakkan di atas simen dan menangis kerana digigit semut dan dahaga selepas ditinggalkan ibunya dengan harapan ada jemaah surau menemui bayi itu.


“Tanpa berlengah, saya meminta jiran menyuapkan susu ke mulut bayi itu yang cukup dahaga selepas ditinggalkan ibu,”
katanya yang juga pengawal keselamatan di sebuah premis di kampung berkenaan.


Nordin berkata, berdasarkan keadaan badan dan tali pusatnya yang sudah dibuang, bayi itu mungkin berusia beberapa minggu.


Dia yakin ibu bayi itu meletakkan anaknya di wakaf berkenaan dengan harapan ditemui jemaah masjid yang selesai menunaikan solat duha di surau berkenaan.


“Selepas bayi itu dijaga penduduk kampung buat sementara, saya menghubungi polis yang kemudian membawa bayi itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Salak sebelum dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk urusan selanjutnya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan bayi itu hasil hubungan terlarang pasangan di kampung berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang membuang bayi berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisdigigitsemut/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...