Wednesday, May 5, 2010

Serah diri lepas dipujuk

2010/05/05

KUALA LIPIS: Seorang anggota polis menggunakan kebijaksanaannya untuk memujuk seorang buruh ladang yang disyaki membunuh isterinya dengan kejam di Ladang Selborne, Padang Tengku, petang Ahad lalu.

Kebijaksanaannya itu nyata berkesan apabila lelaki berusia 46 tahun itu akhirnya menyerah diri di Balai Polis Padang Tengku, selepas hampir dua hari menyembunyikan diri di rumah saudaranya di Kampung Kemuning.


Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, anggota polis berkenaan menghubungi lelaki terbabit selepas memperoleh nombor telefon bimbitnya melalui ahli keluarganya.


Menurutnya, selepas dipujuk, lelaki itu yang bersembunyi di rumah ahli keluarganya kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian menyerah diri pada jam 10 malam, kelmarin.


Katanya, polis yakin dapat menyelesaikan kes terbabit susulan penangkapan lelaki berkenaan.


Abdul Razak berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali berkata, ayahnya mula mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain selepas menemui beberapa keping surat dan gambar wanita itu bersama pasangannya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Serahdirilepasdipujuk/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...