Wednesday, May 5, 2010

Minda: Membela nasib pekerja pos

2010/05/05

KUALA LUMPUR: Tahukah anda posmen yang menghantar surat ke rumah anda hanya menerima gaji pokok bermula daripada RM610 sebulan iaitu jauh rendah di bawah garis kemiskinan?

Ini bermakna mereka tergolong dalam kalangan orang miskin dengan pendapatan di bawah RM700 sebulan.


Walaupun terdapat pelbagai rungutan berkenaan kualiti perkhidmatan yang diberikan pekerja pos, ramai tidak menyedari hakikat bahawa pekerja pos menerima gaji lebih rendah daripada penjawat awam yang mempunyai gred yang sama sebanyak 19 peratus.


Sudah tentu hakikat ini boleh melemahkan semangat pekerja pos dan bagi pekerja pos yang bekerja di kaunter Pos Malaysia, gaji mereka lebih rendah daripada rakan sejawatan mereka di sektor kerajaan sebanyak 25 peratus! Kenyataan yang amat mengejutkan ini timbul setelah pengumuman kenakan gaji pekerja pos mulai Julai ini serentak dengan kenaikan tarif perkhidmatan Pos Malaysia.


Ketika ada kalangan merungut kenaikan tarif perkhidmatan itu, adakah mereka sedar kenaikan tarif itu memberi ruang untuk kenaikan gaji pekerja pos yang memang sudah lama dinantikan? Ramai bertanyakan kenapa kenaikan gaji itu tidak dilaksanakan lebih awal. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar jika Pos Malaysia melakukan kenaikan gaji lebih awal, mereka akan mengalami kerugian besar.


“Perkhidmatan pos adalah industri intensif buruh dan kos yang membabitkan petugas merangkumi 61 peratus daripada perbelanjaan syarikat.


“Kami faham ini bukan satu isu ekonomi, tetapi ia isu moral, syarikat senarai awam seperti kami (Pos Malaysia) mempunyai tanggungjawab terhadap pemegang saham bagi mencatatkan keuntungan untuk membayar dividen,”
katanya.


Syed Faisal yang dilantik CEO Pos Malaysia 16 bulan lalu sedar pertalian rapat antara gaji dan tahap perkhidmatan.


“Seorang posmen yang baru bekerja hanya akan dapat bertahan selama dua atau tiga bulan sebelum menyedari kerjanya berat walaupun bekerja dengan sebuah badan swasta.

“Mereka kemudian akan meninggalkan kami dan bekerja di sektor awam sebagai pemandu atau kerani dengan mendapat gaji lebih tinggi,” katanya.


Selain itu, ramai pekerja pos menjalankan kerja secara separuh masa untuk menambah pendapatan dan ini boleh memberi kesan terhadap kualiti kerja serta komitmen terhadap Pos Malaysia.


“Kami juga mempunyai masalah dalam aspek motivasi petugas disebabkan gaji rendah,” katanya.


Di Lembah Klang saja, kadar posmen berhenti kerja ialah 20 peratus dan masalah yang timbul dengan posmen baru ialah mereka kerap melakukan kesilapan dalam penghantaran mel.

“Itulah sebabnya bagaimana anda boleh menerima surat yang sepatutnya dihantar untuk rakan anda. Dalam erti kata lain, gaji atau tarif yang rendah boleh memberi kesan walaupun di peringkat perkhidmatan yang mudah.” Syed Faisal memberi jaminan kesilapan dalam menghantar surat jarang berlaku, tetapi memang ada ruang bagi penambahbaikan.


Syed Faisal percaya kenaikan kadar bayaran pos akan membantu menaikkan gaji pekerja pos kepada sekurang-kurangnya sama taraf dengan gaji yang diterima penjawat awam.


“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kenaikan kadar tarif pos yang boleh diterjemah kepada gaji yang lebih tinggi bagi petugas Pos Malaysia dan ini selari dengan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat berpendapatan tinggi dalam Model Ekonomi Baru,” katanya.


Sehingga 2009, terdapat 15,780 petugas Pos Malaysia dengan 97 peratus daripadanya atau 15,280 adalah posmen dan kerani pos.


Satu penstrukturan semula skim gaji bagi pekerja ini akan membabitkan kos operasi RM66 juta setahun. Tanpa kenaikan dalam tarif setem pos domestik, Pos Malaysia terpaksa menanggung kerugian 20 juta setahun mulai tahun ini.


Sejak 1992, Pos Malaysia tidak pernah menaikkan kadar tarif pos walaupun ia telah menceburi sektor swasta sejak 18 tahun lalu.


“Ini membuatkan kadar pos di Malaysia antara yang paling rendah di kalangan negara Asean iaitu yang terendah selepas Thailand,” kata Syed Faisal.


Pengurangan dalam ‘saiz penggunaan’ kaedah mel dan kenaikan ketara kos operasi disebabkan kenaikan harga minyak memburukkan lagi keadaan.


“Kami dapati syarikat pos yang berjaya di dunia telah menaikkan kadar tarif mereka dari semasa ke semasa bagi menampung kos yang melambung serta memberi ganjaran setimpal bagi petugas mereka,” katanya.


Ditanya sama ada dengan kenaikan 10 sen dalam tarif boleh menampung kenaikan gaji antara 15 dan 19 peratus untuk lebih 15,000 petugas, Syed Faisal menjawab ia boleh.


Sebanyak 65 peratus daripada pendapatan Pos Malaysia adalah hasil daripada perkhidmatan mel. Oleh itu, kenaikan kecil ini boleh memberi kesan ketara terhadap pendapatannya.


Kenaikan dalam tarif setem domestik meliputi surat standard di bawah 50 gram, surat bukan standard di bawah 100 gram, bahan mingguan atau bulanan (berkala), dokumen pos, mel berdaftar dan bungkusan di bawah 2 kilogram.


Yang tidak terbabit dalam kenaikan tarif setem ialah surat bukan standard lebih daripada 100 gram hingga 2 kilogram, peti surat persendirian, beg berkunci dan serahan tingkap -
Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Membelanasibpekerjapos/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...