Wednesday, May 5, 2010

Rahsia suami sengal badan

Oleh Rohaya Bu-za
am@hmetro.com.my
2010/05/05

HULU TERENGGANU: “Selama ini saya ingatkan serbuk putih diambilnya setiap hari sejak beberapa bulan lalu untuk merawat penyakit sengal tubuh. Rupa-rupanya ia dadah,” kata seorang isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Mira, 28, selepas suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana positif dadah, awal pagi semalam.

Mira ditemui Harian Metro ketika menunggu untuk menjamin suaminya yang berusia 24 tahun di pejabat AADK di sini, mendakwa sejak beberapa bulan lalu pasangannya itu sering mengadu sakit tubuh.


Menurutnya, tubuh suaminya juga semakin kurus berbanding sebelum ini dan apabila ditanya dia menyatakan sakit dan memerlukan rawatan dengan mengambil serbuk khas untuk menambah tenaga sebelum keluar bekerja sebagai buruh kampung.


“Saya terkejut apabila AADK menyerbu rumah kira-kira jam 2 pagi. Saya ingatkan suami bersih tapi selepas ujian air kencing, pegawai berkenaan memaklumkan dia positif dadah jenis methamphetamine,” luah ibu kepada seorang anak itu.


Menurutnya, hanya Tuhan tahu perasaannya kini kerana langsung tidak menyangka suaminya boleh terbabit dengan penagihan dadah sedangkan mereka hidup dalam kemiskinan.


“Bayangkanlah semalam (kelmarin) saya pinjam wang RM10 daripada adik ipar untuk beli makanan, hari ini suami pula buat hal kerana terbabit dengan dadah, anak pula asyik menangis melihat bapanya,” katanya yang berhasrat menjual motosikalnya untuk menjamin suami. Wanita berasal dari Pahang yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki terbabit pada 2006 berkata, dia langsung tidak menyedari suaminya menagih dadah.


Sementara itu, Penolong Pegawai AADK daerah, Anwar Hamid, berkata dalam Ops Senyap itu, AADK bersama anggota Rela menahan 10 lelaki yang positif dadah.


Menurutnya, lima lelaki dibenaskan dengan jaminan AADK membabitkan seorang kakitangan kerajaan sementara empat lagi baru berjinak dengan dadah.


“Lima lagi penagih ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan akan didakwa ke mahkamah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rahsiasuamisengalbadan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...