KUALA LUMPUR, 22 Nov: Mahkamah  sekali lagi menyekat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat  nota-nota klinikal yang disediakan oleh tiga doktor Hospital Kuala  Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memutuskan  bahawa pasukan pembela Anwar gagal untuk memberikan sebab-sebab mengapa mahkamah  harus membenarkan Anwar melihat dan mendapatkan nota-nota tersebut.
Ini  kerana, kata hakim itu hari ini,  hak untuk tertuduh dibekalkan dengan  dokumen-dokumen yang perlu bergantung pada Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan juga  pasukan pendakwaan.
Anwar memohon bagi mendapatkan nota klinikal yang  direkodkan oleh tiga pakar HKL semasa pemeriksaan ke atas pengadu, Mohd Saiful  Bukhari Azlan.
Permohonan mendapatkan nota klinikal itu timbul selepas  pakar bedah am HKL, Dr Mohd Razali Ibrahim memaklumkan mengenai nota tersebut di  mana pihak pembelaan sedar bahawa mereka tidak dibekalkan dengan dokumen  berkenaan.
Dr Mohd Razali merupakan saksi kedua pendakwaan dalam kes  perbicaraan Anwar yang sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful  Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan  Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30  petang, 26 Jun 2008.
Sebelum ini, Anwar telah beberapa kali gagal untuk  mendapat senarai saski dan bahan-bahan bukti untuk membolehkan pihaknya membuat  pembelaan.
Mahkamah Rayuan pada 8 November lalu membatalkan keputusan  Mahkamah Tinggi yang memerintah pihak pendakwa dalam kes tersebut menyerahkan  bahan bukti kepada ketua pembangkang itu yang dikatakan penting untuk  pembelaannya.
Anwar dalam tulisan yang disiar di blognya  http://anwaribrahimblog.com memberitahu, pihak tersebut kini sedang berselindung  di sebalik dolak dalih kononnya mendakwa beliaulah yang melengah-lengahkan  perbicaraan tersebut.
"Nah sudah terang lagi bersuluh kepada kita, siapa  sebenarnya yang melengah-lengahkan proses perundangan dan  pembicaraan.
"Mengapa gentar untuk membenarkan pasukan pembela saya  memeriksa bahan bukti dan rakaman video litar?
"Barangkali takut muslihat  jahat didedahkan; pecah tembelang membusuk dan memualkan," kenyataanya  dipetik.
Dalam tulisan tersebut Anwar melahirkan harapan agar perbicaraan  kes beliau itu berjalan lancar mengikut lunas perundangan.
Beliau juga  tidak mahu proses perundangan tersebut dihalang dan dicampurtangan pihak  pemerintah.
"Jangan halang proses perundangan yang sebenarnya, biarkan  ianya berlangsung tanpa dicampuri dan digugat pemerintah," tulisnya lgi.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29524:mahkamah-tolak-permohonan-anwar-lihat-nota-klinikal&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment