KUALA LUMPUR, 22 Nov: Ketika berita angin bertiup kencang  pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan awal tahun depan, pelbagai pihak  dalam Pakatan Rakyat pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya  bersama dalam pilihan raya itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  dengan jelas berkata, Pakatan akan berbincang terlebih dahulu sesama mereka  iaitu PKR, DAP dan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya  itu atau tidak.Ini kerana, mereka yang menguasai  empat negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan berhak membuat  keputusan sebaliknya iaitu pilihan raya berasingan dengan tarikh yang diumumkan  oleh kerajaan pusat.
Lim Guan Eng, ketika berucap di Konvensyen Pakatan  Rakyat Pulau Pinang semalam berkata, ketiga-tiga parti komponen Pakatan itu akan  mengadakan konvensyen mereka sendiri sebelum membuat keputusan untuk menyertai  pilihan raya itu atau tidak.
Pendapat beliau disokong oleh anggota  Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.
"Kita ada negeri yang hendak  diuruskan selepas diberikan mandat pada tahun 2008 lalu. Kita akan cukupkan  penggal kita. BN di peringkat pusat mempunyai masalah kredibiliti sendiri. Jika  mereka mahukan pilihan raya, biarkanlah mereka," kata Dr Hatta kepada  Harakahdaily.
Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam  Musa membuat cadangan yang serupa.
Beliau mencadangkan agar negeri-negeri  Pakatan Rakyat tidak mengikut secara membabi buta cadangan kerajaan pusat dan  negeri BN membubarkan Parlimen dan Dun mereka.
"Kita mesti ada kuasa  tawar menawar. Kalau kita ikut sahaja kehendak mereka bermakna, mereka sentiasa  menetapkan kehendak mereka dan kita mengikut mereka sahaja," kata Husam dalam  satu kenyataannya.
PRU 13 dikatakan akan diadakan pada awal tahun depan  iaitu antara Mac atau April 2011.
Bendahari PKR yang juga anggota  Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya mendapat maklumat ia akan  diadakan April tahun depan iaitu serentak dengan pilihan raya negeri  Sarawak.
Para media BN pula diarahkan agar memainkan berita baik untuk BN  bagi melahirkan rasa senang rakyat kepada parti yang memerintah negara itu di  samping memburuk kerajaan Pakatan Rakyat.
Tindakan Datuk Zaid Ibrahim  meninggalkan PKR selepas tertinggal dalam pemilihan timbalan presiden telah  dijadikan modal oleh media BN untuk menghuruharakan PKR.
Pemilihan dalam  PKR juga dihebohkan kononnya berlaku kekecohan besar dalam parti itu, walaupun  PKR menegaskan ia hanya kekecohan kecil sahaja.
Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hishamudin Husein juga menyerang Pakatan apabila menolak usahanya  untuk mendaftarkan simbul bersama dalam pilihan raya negeri Sarawak kononnya  Pakatan hanya bersatu dari segi simbul sahaja tetapi  berpecah.
Negeri-negeri Pakatan juga didakwa gagal melaksanakan manifesto  pilihan raya mereka namun begitu manifesto yang mana gagal dilaksanakan tidak  dinyatakan oleh beliau.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29528:negeri-pakatan-tidak-akan-bersama-dalam-pru-13&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment