Aktivis tersebut menyertai siri kempen "Udah La Tu  Bersaralah" yang dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 bagi  menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
Mereka yang ditahan termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar. Seorang lagi dibebaskan kerana di bawah umur.
Bernama melaporkan Abdul Rahim berkata, siasatan polis mendapati  sekumpulan aktivis PSM yang ditahan di plaza Tol Sungai Dua itu cuba  menghidupkan semula fahaman komunis.
Beliau berkata ini berdasarkan  pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan dilihat  mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM). 
"Antaranya risalah dan baju T yang tertulis nama Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, kesemua mereka ini mempunyai kaitan dengan PKM," katanya kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.
Abdul Rahim berkata, mereka dilihat cuba menghidupkan balik  fahaman komunis dengan menyebarkan risalah-risalah berkaitan berkenaan kepada  rakyat di beberapa kawasan di Kepala Batas.
"Polis terpaksa menahan  kesemua mereka kerana membawa unsur menghasut rakyat untuk membenci kerajaan dan  ini adalah sesuatu yang serius serta boleh mengancam keselamatan negara,"  katanya.
Semalam, 14 wanita dan 17 lelaki yang ditahan itu dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini untuk diambil kenyataan mereka.
Abdul Rahim berkata seorang daripada aktivis berkenaan  dibebaskan kerana masih di bawah umur manakala 30 yang lain kini direman bagi  membantu siasatan.
Katanya perintah reman bagi kesemua mereka yang berusia 18 hingga 64 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.
Beliau berkata perintah reman dibuat mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.
Dalam reaksinya, setiausaha agung PSM, S Arutchelvan menyifatkan tindakan polis itu sebagai tidak masuk akal dan cuba menggambar parti itu sedemikian untuk menakut-nakutkan orang ramai.
http://malaysiakini.com/news/168077
 
 
No comments:
Post a Comment