Sepuluh anggota tiba kira-kira 15 minit lalu, kata Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah yang juga mengetuai kumpulan NGO Empower.
Beliau yang ketika itu di bangunan Parlimen berkata dia dimaklumkan polis datang dengan lima kereta tanpa logo polis yang bercermin gelap dan mereka juga tidak memakai seragam. Sebuah trak besar polis tiba kemudiannya.
Sementara itu, menurut seorang petugas di pejabat BERSIH yang tidak mahu dikenali berkata, kumpulan polis itu tiba dengan membawa pemotong besi.
Tetapi mereka tidak menggunakannya apabila pekerja membenarkan mereka masuk.
Anggota polis didakwa tidak membawa sebarang waran dan  kemudiannya terus menyelongkar fail dan menggeledah pejabat itu.
Tumpuan mereka adalah baju-T BERSIH yang kemudiannya dihitung jumlahnya sebelum dirampas oleh polis.
Adalah dipercayai serbuan dilancarkan dari IPD Selangor dan diketuai oleh seorang pegawai yang hanya dikenali sebagai ASP Rosli.
Polis juga mencatatkan butiran Mykad kakitangan Empower yang dijadikan sekretariat BERSIH 2.0.
Selain itu, butiran Mykad kira-kira 20 wartawan dan jurugambar yang berkumpul di luar pejabat itu juga dicatatkan selain diminta membekalkan nombor telefon masing-masing.
Pada sidang akhbarnya di lobi parlimen, Maria berkata beliau dimaklumkan  bahawa polis kemudiannya merakamkan kenyataan daripada kakitangan  BERSIH.Beliau juga mencabar ketua polis negara bagi membuktikan  bahawa mereka telah melakukan jenayah dan hentikan 'menakut-nakutkan'  rakyat.
Menurut Maria sejak beberapa hari lalu hampir 100 orang telah  ditahan kerana memakai kemeja T BERSIH dan mengedarkan risalah berhubung  perhimpunan 9 Julai ini.
“Ini adalah hak asasi manusia, adalah hak kita  untuk berhimpun secara aman dan kami telah berulang-kali tekankan bahawa ia  adalah perhimpunan aman.Kita tidak akan timbulkan huru-hara seperti yang  didakwa,” katanya. 
Dalam serbuan tersebut, tujuh beg barang, lima kotak dan empat kain rentang dirampas.
Manakala tujuh petugas Empower (NGO yang bergabung dalam BERSIH) dibawa ke ibupejabat polis Petaling Jaya untuk soalsiasat.
http://malaysiakini.com/news/168336
 
 
No comments:
Post a Comment