Tuesday, January 27, 2009

Jangan jual kereta bersama geran


REMBAU – Jika perlu jual kereta yang telah rosak teruk (total loss) kepada bengkel kenderaan, jangan serahkan sekali geran.

Itu antara cadangan bagi membendung kegiatan sindiket curi kereta yang ada hubung kait dengan kereta total loss atau kenderaan yang dikategorikan sebagai barang buangan, kata Hanif Mualud (gambar).

Beliau yang berpengalaman selama 24 tahun dalam bidang insurans memberitahu, jika kereta seumpama itu dijual kepada bengkel berserta geran, maklumat pada casisnya boleh diguna semula.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Jadi pemboros sebelum hilang

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.abrahim@kosmo.com.my




NAZIRAH menunjukkan seluar jean Nor Syuhada yang dipakai sewaktu cuti semester lalu di rumahnya di Kota Bharu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU – Jika dulu dia suka berbaju kurung dan bertudung labuh, penampilan Nor Syuhada Naina Mohamad tiba-tiba berubah.

Perangainya mula meresahkan keluarga apabila secara tiba-tiba memiliki beberapa helai seluar jean selain potongan tudung yang lebih singkat.

Malah, beberapa bulan sebelum menghilangkan diri dipercayai mengikut seorang buruh kontrak warga Bangladesh sejak Julai tahun lalu, Nor Syuhada kerap meminta wang sedangkan dia sudah diberi RM300 sebulan oleh keluarganya.

“Dia tak pernah beritahu nak buat apa dengan duit itu, jadi kami pelik kerana sebelum ini semuanya cukup.

“Nor Syuhada hanya guna duit pinjaman untuk perbelanjaan dan wang pemberian saya disimpan untuk masa terdesak,”
kata ibunya, Nazirah Mohamad Yusoff, 54, ketika ditemui di sini semalam.

Pelajar tahun tiga jurusan Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu seorang yang pandai berjimat sebelum ini sehingga dapat mengumpul wang untuk membeli komputer riba.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Telefon awam dedah lokasi Aishah


KERATAN Kosmo! Ahad semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Dua panggilan yang dibuat menggunakan telefon awam oleh Noor Aishah Izan (gambar) kepada rakannya baru-baru ini sudah cukup untuk mendedahkan lokasi gadis itu yang disyaki lari bersama teman lelakinya.

Maklumat mengenai lokasi panggilan tersebut yang dibuat di sebuah pondok telefon awam di Seksyen 24, Bukit Kemuning, Klang disampaikan oleh sebuah syarikat telekomunikasi yang membantu polis mengesan gadis berkenaan selepas dia meninggalkan rumah sejak 11 Januari lalu.

Kawasan itu terletak cuma 20 kilometer dari rumahnya di Taman Paramount, Petaling Jaya.

Noor Aishah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Petaling Jaya membuat dua panggilan iaitu pada 11 Januari dan 13 Januari lalu dan ia disahkan sendiri oleh rakannya, Nur Fatin Norrizan, 16.

“Dia (Nor Aishah) telefon saya dua kali. Dia mengakui mempunyai teman lelaki dan marah kerana ibunya merampas telefon bimbitnya.

“Bila saya tanya mana dia tinggal, dia hanya jawab ‘adalah’,”
katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Jerat pakej komputer


Oleh ASRON MUSTAPHA,
AMMAR JAZLAN MAD LELA dan
JUNHAIRI ALYASA
khas@kosmo.com.my



SEORANG penjual komputer warga Bangladesh melayan pelanggan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Jika dulu sebut sahaja Plaza Low Yat dan Plaza Imbi di Jalan Bukit Bintang di sini, pasti kita terbayang betapa rancak aktiviti penjualan produk Teknologi Maklumat (IT) yang dikuasai peniaga kaum Cina.

Kini, wajah-wajah rakyat tempatan itu mulai tenggelam dengan kemunculan kumpulan penjual baru warga Bangladesh dan Pakistan yang semakin ramai mencuri hati pelanggan dengan memperdagangkan bukan sahaja penampilan yang menarik dan memikat tetapi juga menawarkan pakej komputer murah.

Berdasarkan pemerhatian wartawan Kosmo!, kira-kira 50 daripada 300 gerai komputer di Plaza Low Yat dikendalikan oleh warga asing tersebut.

Berselindung di sebalik ‘pakej’ tambahan pembelian komputer riba, kumpulan peniaga itu cuba memikat pelanggan dengan menawarkan pakej naik taraf yang pada akhirnya boleh menjerat pemilik komputer.

Akibatnya, pelanggan mungkin terbeli komputer riba baru tanpa jaminan antara satu hingga tiga tahun yang sepatutnya mereka peroleh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Obama cemerlang selama 100 jam


WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berjalan dengan cemerlang sepanjang 100 jam beliau berada di White House.

Beliau turut dipuji kerana pantas memadamkan peninggalan bekas Presiden AS, George W. Bush dengan menghapuskan beberapa dasar domestik dan keselamatan.

“Saya rasa sehingga kini Obama melakukan dengan baik dan beliau menjauhkan diri daripada pentadbiran sebelum ini (Bush),” kata seorang profesor di University of New Hampshire, Dante Scala. – AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Tentera AS bunuh penduduk awam


SEJUMLAH penunjuk perasaan membantah serangan tentera Amerika Syarikat (AS) dalam perhimpunan di Mehterlam, Afghanistan semalam. - AP

--------------------------------------------------------------------------------


KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengecam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan 16 orang awam terbunuh.

Hamid berkata, pembunuhan orang awam di Afghanistan oleh tentera AS tersebut menyebabkan kumpulan pengganas semakin kuat.

Beliau juga mengarahkan menteri pertahanan Afghanistan pergi ke Washington bagi merangka satu perjanjian teknikal bagi memberikan Afghanistan kuasa untuk mengawasi setiap operasi ketenteraan AS.

Hamid juga mengarahkan menteri itu mengunjungi pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membincangkan perkara yang sama.

Para pegawai tentera AS memberitahu bahawa seramai 15 pejuang bersenjata berjaya dibunuh dalam satu serangan pada awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun, beberapa pegawai Afghanistan menafikan laporan tentera AS tersebut dan mendakwa mangsa yang terbunuh sebenarnya adalah orang awam.

Sementara itu, beratus-ratus penduduk kampung di wilayah Laghman yang berhampiran lokasi operasi tersebut mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah serangan tersebut. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Virus komputer misteri


SEORANG lelaki menggunakan komputer di sebuah kafe Internet di Sydney, Australia. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Satu virus komputer misteri kini merebak dengan pantas dan sudah menjangkiti lebih 15 juta komputer di seluruh dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam tempoh tiga hari sahaja, sebanyak enam juta komputer dijangkiti virus itu yang merupakan jenis cecacing dikenali sebagai Downadup, Conficker atau Kido.

Sehingga kini pakar-pakar masih belum mengetahui apakah tujuan virus misteri itu dicipta dan kesannya terhadap komputer.

Pakar-pakar berpendapat virus itu mungkin tidak mempunyai apa-apa fungsi kerana penciptanya hanya mahu menunjuk kepakaran yang dimilikinya.

Bagaimanapun, beberapa pakar keselamatan berasa ragu kerana tidak mungkin sejenis virus cecacing yang canggih tidak mempunyai tujuan tertentu.

Pengurus Teknikal F-Secure, Tom Gaffney berkata, cecacing itu mungkin dicipta untuk mencuri maklumat sulit pengguna komputer seperti maklumat akaun dan kata laluan.

Menurutnya, cecacing itu tidak memberi kesan kepada pengguna sistem operasi Apple Macs tetapi boleh menjejaskan pengguna Windows yang tidak memasang perisian anti-virus yang dibekalkan oleh Microsoft. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Askar Israel diberi perlindungan


AFP
SEBAHAGIAN kanak-kanak Palestin berbaris sebelum menghadiri kelas pembelajaran dalam khemah di Rafah, selatan Gaza semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JERUSALEM - Askar-askar Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Genting Gaza diberikan perlindungan undang-undang oleh kerajaan daripada tuduhan melakukan jenayah perang, kata Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semalam.

"Komander dan askar yang dihantar ke Gaza adalah selamat daripada mana-mana tribunal dan kerajaan akan membantu serta melindungi mereka," kata Olmert.

Olmert juga mengesahkan bahawa beliau melantik Menteri Perundangan, Daniel Friedman untuk mempengerusikan satu jawatankuasa melibatkan menteri-menteri.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mengatur usaha-usaha Israel bagi menawarkan perlindungan undang-undang kepada setiap individu yang terlibat dalam operasi di Gaza.

Tentera Israel sebelum ini mengharamkan media mendedahkan identiti ketua unit tentera yang terlibat dalam operasi di Gaza itu kerana bimbang mereka mungkin menghadapi dakwaan jenayah perang.

Pada minggu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa pihak yang bertanggungjawab mengebom bangunan badan itu di wilayah Palestin dihadapkan ke pengadilan.

Beliau juga menuduh Israel menggunakan kekerasan terlampau dalam operasi selama tiga minggu itu yang bertujuan menghentikan serangan roket Hamas.

Kumpulan hak asasi manusia Israel juga menggesa kerajaan menyiasat jumlah kematian penduduk Palestin dan menggambarkan jumlah wanita serta kanak-kanak yang terkorban adalah besar.

Israel melancarkan serangan pada 27 Disember lalu sebelum menamatkan operasi pada 17 Januari lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Pak Tam dah tak tahan


Oleh AZIZI MAJID
azizi.majid@kosmo.com.my

OMAR dan isterinya, Hadiah menatap surat Pak Tam sambil diperhatikan dua anak mereka di Pekan Nenas, Pontian semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PONTIAN – “Meskipun agak mustahil untuk membebaskan Pak Tam tetapi saya tetap berharap agar tempoh penjaranya dikurangkan.”

Itulah luahan hati Omar Yaini, 55, bapa Sheikh Faeizan, 20, yang kini dijatuhi hukuman penjara 25 tahun oleh mahkamah di Taipei, Taiwan setelah didapati bersalah membawa dadah pada perbicaraan 24 Jun tahun lalu.

Sheikh Faeizan atau lebih dikenali sebagai Pak Tam ditahan di Taipei pada 24 Mei lalu sewaktu hendak berlepas pulang ke Malaysia setelah didapati membawa heroin seberat 2.141 gram.

Menurut Omar, meskipun reda dengan keputusan tersebut, dia tetap berharap agar kerajaan dapat membantu membuat rayuan kepada pihak berkuasa Taiwan agar dapat mengurangkan tempoh penjara tersebut.

“Kami tak tahu kepada siapa lagi hendak mengadu tetapi berharap agar kerajaan dapat membantu kami,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Seri Kiambang, Pekan Nenas di sini semalam.

Ujarnya, anaknya itu ada menghubungi telefon bimbitnya pagi tadi (semalam) untuk bertanyakan khabar selain mengatakan rasa rindu terhadap keluarga.

“Itulah panggilan pertama yang kami terima sejak Pak Tam dipenjara setahun lalu selain hanya berhubung melalui kiriman surat sebelum ini.

“Dia ada mengatakan sudah tidak tahan lagi tinggal di penjara,”
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Syarikat Jepun terus ambil pekerja


Oleh AZIZI MAJID
azizi.majid@kosmo.com.my

JOHOR BAHRU – Kegawatan ekonomi sehingga berlaku pemberhentian pekerja tidak menjejaskan syarikat multinasional Jepun yang beroperasi di negara ini untuk terus mengambil pekerja baru.

Pengerusi Bahagian Hal Ehwal Pengurusan Dewan Perniagaan, Perdagangan dan Perindustrian Jepun di Malaysia (Jactim), Akira Hashimoto berkata, pihaknya tetap membuka peluang pekerjaan termasuk kepada graduan universiti.

“Sekurang-kurangnya 10 syarikat multinasional menjanjikan peluang pekerjaan kepada permohonan yang layak biarpun dunia dilanda krisis ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran kerjaya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini kelmarin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Lari merajuk ditegur bermain SMS

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my



NAZAAH menunjukkan gambar Noor Aishah di rumahnya di Taman Paramount, Petaling Jaya semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Lari selepas ditegur main SMS!
Itu yang didakwa berlaku kepada Noor Aishah Izan, 15, yang dikatakan merajuk dan menghilang diri dari rumah di Taman Paramount di sini pada 11 Januari lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.

Ibunya, Nazaah Hassan, 72, berkata, anak bongsunya yang lebih mesra dipanggil Adik itu pada mulanya bermain khidmat pesanan ringkas (SMS) di dalam gelap di rumahnya pada hari kejadian.

“Masa itu saya nampak dia sedang menangis tapi saya tak tahu kenapa... jadi saya tegur Adik supaya jangan bermain SMS dalam gelap.

“Saya bukannya berniat untuk marah tetapi sekadar tegur. Pulanglah Adik... kami semua rindui dan sayang Adik. Tiada siapa yang nak marah Adik lagi,”
rayu Nazaah di sini semalam.

Menurut Nazaah yang kerap menangis mengenangkan nasib anaknya itu, beberapa minit selepas memarahi Noor Aishah, dia berasa bersalah dan pergi semula melihat anaknya tetapi terkejut apabila anaknya itu sudah menghilangkan diri.

Anak bongsunya itu meninggalkan rumah pukul 7.45 malam dan sehingga kini tidak pernah menghubungi mereka sekeluarga.

Aishah, satu-satunya anak perempuan daripada empat beradik, meninggalkan rumahnya melalui balkoni dalam keadaan sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, Nazaah difahamkan bahawa dua hari sebelum kehilangan Aishah, dia kelihatan muram seolah-olah mempunyai masalah tetapi enggan bercerita kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, abang kedua Aishah, Dzulkafley Abdul Samad, 49, memberitahu, usaha untuk mencari adik kesayangan itu digerakkan sejurus mendapat tahu kehilangannya.

“Selepas ketahui Adik sudah ‘hilang’, kami berusaha mencarinya di sekitar taman perumahan sehinggalah ke Pelabuhan Klang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Institusi perbankan Britain hampir muflis


LONDON – Sistem perbankan Britain di ambang keruntuhan sebelum bantuan kerajaan dikeluarkan pada musim luruh ini, kata Menteri Perkhidmatan Kewangan, Paul Myners.

Beliau yang dipetik laporan akhbar The Times of London menjelaskan, ramai pendeposit besar mahu mengeluarkan simpanan mereka dalam masa terdekat walaupun terpaksa membayar penalti.

Saham bank-bank di Britain merudum kelmarin berikutan spekulasi yang mendakwa industri itu memerlukan bantuan tambahan atau terpaksa dimiliknegarakan. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Kellogg’s tarik biskut mentega kacang

SAN SALVADOR – Syarikat makanan Amerika Syarikat (AS), Kellogg’s menarik semula beberapa jenama biskut yang mengandungi mentega kacang dari Amerika Tengah, kata syarikat itu di El Salvador kelmarin.

“Kami secara sukarela menarik biskut jenama Austin, Famous Amos dan Keebler yang mengandungi mentega kacang berikutan ia berkemungkinan dicemari bakteria Salmonella,” kata satu kenyataan.

Wabak Salmonella yang berpunca daripada pencemaran najis haiwan sehingga kini menyebabkan 388 penduduk AS jatuh sakit manakala 67 lagi terpaksa dirawat di hospital. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Anak Presiden AS jadi nama mainan



WASHINGTON – Wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama berang apabila mendapati sebuah syarikat menggunakan dua nama anaknya sebagai watak terbaru produk anak patung, lapor sebuah akhbar.

Syarikat tersebut, Ty yang terkenal dengan produk Beanie Babies kini menjual anak patung bernama Sweet Sasha dan Marvelous Malia. Jurucakap syarikat itu bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada kena mengena dengan anak Presiden Barack Obama.

“Kami berasa kurang sesuai untuk menggunakan nama anak kecil untuk tujuan pemasaran,” kata setiausaha akhbar Michelle, Katie McCormick Lelyveld kelmarin. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Obama umum pelan sekat kemelesetan


Barack Obama


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam mengumumkan pelan ekonomi yang akan merentang hampir 5,000 kilometer kabel elektrik, meningkatkan tahap keselamatan di 90 pelabuhan dan menggandakan jumlah tenaga boleh guna dalam tempoh tiga tahun.

Pelan berkenaan adalah usaha terbaru Obama dalam meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menyuntik hampir AS$1 trilion (RM3.6 trilion) bagi merangsang ekonomi negara itu yang semakin tenat.

"Ekonomi kita mungkin kurang AS$1 trilion (RM3.6 trilion) daripada kapasiti penuhnya tetapi jika kita tidak bertindak berani dan pantas maka keadaan akan menjadi bertambah buruk," katanya dalam satu siaran.

Para pembantu kanan Obama berkata, mereka mahu rakyat AS mengetahui bahawa lebih banyak sekolah akan dapat dibina dan tarif elektrik akan lebih murah.

Sebanyak 2.6 juta pekerjaan hilang di AS tahun lalu iaitu paras tertinggi sejak Perang Dunia Kedua.

Pelan Obama itu turut menaik taraf 10,000 sekolah dan meningkatkan kemudahan pelajaran kepada lima juta pelajar.

Langkah itu akan membelanjakan sekurang-kurangnya 75 peratus kos atau AS$600 bilion (RM2.2 trilion) dalam tempoh 18 bulan.

Pakej tersebut turut memberikan perlindungan kesihatan kepada 8.5 juta rakyat AS yang kehilangan insurans akibat kehilangan kerja atau bertukar kerja. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Hamas kembali berkuasa


SEKUMPULAN kanak-kanak perempuan Palestin berjalan meunju ke sekolah di Gaza semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Para pemimpin Hamas mengisytihar kemenangan berikutan pengunduran Israel setelah tiga minggu menceroboh Gaza.

Kumpulan tersebut berikrar untuk menyalurkan bantuan sebanyak AS$52 juta (RM188 juta) bagi membantu membaiki kehidupan rakyat Palestin.

Hamas yang menerima bantuan dari negara-negara Islam berkata, bantuan kecemasan itu termasuk bayaran AS$1,300 (RM4,710) untuk satu kematian, AS$650 (RM2,355) untuk kecederaan, AS$5,200 (RM18,840) untuk kemusnahan rumah dan AS$2,600 (RM9,420) untuk kerosakan rumah.

Lebih 4,000 rumah musnah dan 20,000 lagi rosak, lapor unjuran bebas.

"Kami kini menguasai Gaza dan kami memenangi peperangan ini," kata seorang pegawai kanan Hamas, Mushir al-Masri.

Serangan Israel yang bermula pada 27 Disember lalu memusnahkan semua kemudahan keselamatan Hamas manakala dua pemimpin kanannya, Mahmoud Zahar dan Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh, masih belum muncul di khalayak ramai.

Israel mendakwa membunuh lebih 700 pejuang Hamas tetapi kumpulan itu mendakwa hanya 280 terbunuh.

Gaza kini bukan sahaja disekat dari dunia luar sejak 19 bulan lalu malah ia terpaksa hidup bersama runtuhan bangunan.

Kanak-kanak Gaza semalam mula ke sekolah anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Hamas buat kali pertama dalam tempoh tiga minggu.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA) membuka semua 221 sekolah yang memberi pendidikan kepada 200,000 pelajar di wilayah itu.

"Tampil kehadapan jika ibu atau ayah kamu mati syahid," kata guru besar, Riad Maliha.

Lebih 20 murid tampil untuk berdaftar dengan PBB bagi menerima bantuan khas termasuk seorang pelajar, Anas Abbas, 12.

"Mereka (tentera Israel) musnah dan bunuh lima orang jiran saya. Tentera Yahudi terlalu dekat dengan kami," kata Anas.

Lebih separuh daripada 1.4 juta penduduk Gaza berumur bawah 18 tahun dan lebih 80 peratus daripada mereka bergantung dengan bantuan makanan PBB. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Lebih banyak terowong digali


DIANGGARKAN terdapat 300 terowong seperti ini di Gaza.

--------------------------------------------------------------------------------


SELEPAS membaiki terowong mereka Khamis lalu, pekerja untuk seorang penyeludup, Abu Wahda mula memunggah masuk makanan melalui laluan yang sempit itu.

Terowong yang menghubungkan Semenanjung Gaza dengan Mesir itu kembali beroperasi biarpun ratusan tan bom dan peluru berpandu dijatuhkan Israel ke muka bumi Palestin.

Pemulihan pantas terowong itu, bagaimanapun, menyukarkan pembanterasan aktiviti penyeludupan dan sekali gus menguatkan lagi ketakutan Israel bahawa pemimpin Hamas akan menggunakan rangkaian terowong itu untuk membawa masuk senjata bagi menambah semula bekalan senjata setelah mereka dibom baru-baru ini.

"Saya berjaya membaiki kerosakan (pada terowong) dalam masa tiga hari," kata Abu Wahda yang tidak mahu nama sebenarnya didedahkan.

Menjelang tengah hari, mesin pengangkut sudah memunggah masuk 12 karung besar cip kentang.

Abu Wahda berkata laluan setinggi satu meter di bawah pasir lembut Gaza itu masih belum beroperasi sepenuhnya dan berbahaya untuk lapan pekerjanya yang sedang memunggah barang dari Mesir.

"Tetapi bahaya yang lebih teruk datang dari ruang udara jika mereka (Israel) mengebom sekali lagi," katanya.

Seorang remaja diarah bersedia di pintu masuk untuk memerhatikan kapal terbang Israel.

Menteri Luar Israel, Tzipi Livni, berkata bahawa Israel sanggup untuk memulakan semula perang jika pengeboman masih belum memadai untuk menghentikan penyeludupan.



HAIWAN ternakan turut diseludup melalui laluan sempit ini.

--------------------------------------------------------------------------------



"Jika kami perlu lakukan operasi ketenteraan tambahan untuk menghentikan penyeludupan, ia akan dilakukan," katanya kepada Radio Israel. "Israel mempunyai hak untuk menentang penyeludupan, itu saja."

Untuk menghentikan penyeludupan itu - di samping menghentikan Hamas daripada melancarkan serangan roket di selatan Israel - merupakan objektif utama serangan Israel, yang telah membunuh 1,285 rakyat Palestin, dengan kebanyakannya orang awam.

Tentera Israel berkata mereka telah memusnahkan antara 60 hingga 70 peratus daripada terowong yang ada sebelum gencatan senjata Ahad lalu. Israel menganggarkan terdapat kira-kira 300 terowong sebelum serangan itu.

Penyeludup di Rafah, bandar sempadan selatan Gaza, tempat sebahagian besar terowong dikorek, memberitahu bahawa terdapat kira-kira 1,000 terowong beroperasi sebelum serangan itu dan sehingga 90 peratus daripadanya dimusnahkan.

Kebanyakan terowong dikorek selepas Israel dan Mesir menutup pintu keluar dan masuk ke Gaza berikutan rampasan kuasa Hamas pada Jun 2007.

Manakala Israel percaya terowong itu digunakan Hamas untuk menyeludup masuk senjata, terowong itu sebenarnya digunakan untuk melepasi sekatan Israel mengimport barangan yang sukar untuk ditemui di Gaza seperti minyak, pakaian, bekalan pembinaan, rokok dan juga cip kentang yang sudah lama mereka tinggalkan sejak diserang.



LEBIH banyak terowong akan digali selagi sekatan di Semsalamenanjung Gaza tidak ditarik balik.

--------------------------------------------------------------------------------



Terowong itu yang berada pada kedudukan 15 meter di bawah permukaan bumi, sebelum ini dikorek sepanjang 800 meter dari Gaza ke Mesir dengan pintu masuknya tersorok dalam rumah-rumah.

Abu Wahda dan penyeludup lain menegaskan mereka tidak pernah membawa masuk senjata untuk Hamas. Kata mereka, Hamas menjalankan penyeludupan melalui terowong mereka sendiri di kawasan yang tidak dapat dimasuki oleh orang luar.

Seorang penyeludup, Abu Bilal berkata dia gembira jika diberi peluang membawa masuk senjata untuk Hamas, tetapi sejujurnya, Hamas tidak pernah meminta kami melakukannya."

Hamas pula tidak pernah menyebut sama ada mereka membawa masuk senjata atau wang melalui terowong itu, tetapi berkata urusan yang dijalankan adalah sah.

"Orang ramai tidak akan memerlukan terowong ini jika sempadan dibuka," kata Ehab Ghussein, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas.

Menariknya, aktiviti penyeludupan di Gaza dilakukan secara terbuka. Ratusan pekerja beroperasi pada Khamis lalu di bawah khemah-khemah lusuh dan rumah hijau palsu sejauh satu batu. Berdozen-dozen lagi pintu masuk ke terowong-terowong itu adalah terbuka dan tidak ditutup.

Malah, ada yang yang membuka perniagaan dalam terowong itu dengan nama The Underground Crossings.

Pemiliknya, Mahmoud Baroud, memulakan semula operasi selepas gencatan senjata bermula dan menjangkakan sekurang-kurangnya 200 pelanggan datang untuk makan tengah hari di situ.

Sekarung barangan seperti cip kentang, pakaian atau rokok yang sebelum ini dijual pada harga AS$40 (RM119) setiap satu kini mencecah AS$400 (RM1,190). - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Sunday, January 25, 2009

UMNO Tidak Akan Berubah

Written by smnoor
Sunday, 25 January 2009 00:39


Dungun –
“Walaupun UMNO cuba melakukan perubahan, namun dasar yang dibawa oleh parti itu tidak mungkin berubah,

“apa yang mereka perjuangkan adalah untuk kepentingan diri dan para kroni,”
kata Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian ketika memberi respon atas kenyataan beberapa pimpinan UMNO selepas mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu minggu lalu.

Menurutnya mesej yang rakyat berikan dengan keputusan PRK Kuala Terengganu bukannya meminta UMNO berubah tetapi rakyat memberikan isyarat bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi dengan politik masakini.

“Satu mesej yang jelas yang dihantar oleh rakyat selepas PRK Permatang Pauh, rakyat mahukan perubahan kerajaan yang memimpin mereka,

“sekiranya rakyat mahukan UMNO yang berubah, pasti rakyat memilih UMNO di Kuala Terengganu kerana UMNO sudah pun membuat beberapa perubahan dalam kepimpinan,”
jelasnya yang ditemui ketika menghadiri majlis walimah seorang penduduk di jalan lapangan terbang, dekat sini, semalam (Gambar atas)

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sura berkata perubahan haikiki yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO adalah kembali kembali Islam yang sebenarnya dan mengamalkan dasar-dasar Islam dalam menghadapi masyarakat.

“Menurut seorang Ulama’ Hassan Basri, menjadi seorang pemimpin itu adalah menjadi “hamba kepada rakyat”,

”Mana mungkin seorang “hamba kepada rakyat”, adalah lebih kaya dan hidup mewah daripada rakyat jelata,”katanya merujuk kepada cara hidup pemimpin UMNO yang ada masakini.

Mengulas lanjut kesan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRK Kuala Terengganu beliau berkata kemenangan tersebut memberikan kesan yang besar kepada para petugas dan rakyat di kawasan Dungun.

Katanya ia bukan sahaja terkesan dan membawa perubahan dikalangan para petugas dan penyokong Pakatan Rakyat bahkan sudah ada ‘suara’ kedengaran dikalangan penyokong UMNO dan Barisan Nasional.

“Penyokong UMNO akan ada perubahan, sudah ada ‘signal’ dari kalangan penyokong UMNO dan BN yang turut akan berubah menyokong Pakatan Rakyat,”katanya.

Oleh yang demikian beliau sudah meletakkan sasaran kerja PAS Kawasan Dungun untuk mengahdapi Pilihanraya Umum yang ke 13 akan datang.

“Sasaran PRU 13 bagi Kawasan Dungun, InsyaAllah PAS akan menumpukan kepada tiga DUN yang akan berjaya kembali ke tangan PAS dibawah muafakat Pakatan Rakyat,”katanya.

Last Updated on Sunday, 25 January 2009 00:46


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=138:umno-tidak-akan-berubah&catid=35:dalam-negeri&Itemid=2

'Wani' Wendy selamat diijabkabulkan dengan ahli perniagaan

Sabtu Januari 24, 2009

Kerusi urut 'Ogawa' hadiah istimewa Wani



Oleh WAHIDA ASRANI


KUALA LUMPUR: Setelah hampir dua bulan memeluk Islam, pelakon dan penerbit Wendy Wong atau nama Islamnya, Wani Wendy Wong Abdullah sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Yacob Chik, 58, di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, di sini,semalam.


Hanya sekali lafaz, pasangan tersebut sah bergelar suami isteri setelah tiga tahun menyulam cinta. Mereka dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim.


Pada majlis yang serba ringkas itu, Wendy yang kini selesa disapa Wani menerima mas kahwin RM80 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya sebentuk cincin dan senaskhah Al-Quran yang mempunyai terjemahan di dalam bahasa Mandarin.


Namun, tiada wang hantaran diberikan oleh pihak lelaki atas permintaan Wani.


Wani kini sah bergelar isteri kepada Yacob

Pihak pengantin pula perempuan pula membalas sebanyak tujuh dulang hantaran antaranya jam tangan, minyak wangi, dompet dan kerusi urut jenama Ogawa.


Majlis bersejarah pasangan mempelai itu telah dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.


Antara rakan artis yang hadir ialah penulis lirik Habsah Hassan, Louisa Chong, Rubiah Suparman dan Ahmad Tarmimi Siregar.


Sebaik dinikahkah kira-kira pada pukul 3.45 petang, pasangan tersebut terus mengadakan majlis persandingan di tempat yang sama.


Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Wani melahirkan rasa bersyukur setelah hubungan cinta mereka yang terjalin itu berakhir dengan ikatan perkahwinan.


Sambil mengakui dirinya tertarik dengan sifat prihatin Yacob, kata Wani, suaminya itu juga adalah salah seorang yang banyak mengajarnya tentang agama Islam.


"Dia melamar saya selepas Hari Raya tahun lalu. Pada awalnya, saya sendiri tidak tahu untuk buat keputusan apatah lagi ramai kawan mengatakan dia terlalu tua untuk saya.


"Tetapi, hati saya terbuka untuk dia kerana dia berjaya membuatkan hati saya cukup tersentuh di dalam banyak perkara. Tetapi, pada masa yang sama saya juga agak risau setelah memikirkan keturunan saya yang menghidap penyakit genetik kanser.


"Saya tanyakan padanya, adakah dia sanggup kahwin dengan saya jika saya juga disahkan menghidap penyakit kanser. Tetapi jawapannya cukup ikhlas dan dia beritahu saya semua itu ditentukan oleh Allah dan dia rela menjaga saya sampai bila-bila.


"Saya terus membuat pemeriksaan kesihatan selepas itu dan akhirnya laporan menunjukkan kesihatan saya cukup baik. Selepas itu baru saya yakin untuk menerima lamaran dia dan rancang untuk majlis perkahwinan kami,"
kata Wani yang gembira berjaya menamatkan zaman bujangnya meskipun sudah berusia 40an.


Ditanya destinasi bulan madu pilihannya, kata Wendy, dia dan suami akan ke Barcelona, Sepanyol untuk menaiki 'cruise' menjelajah beberapa perairan Eropah seperti Morocco dan akan berada di sana selama tiga minggu.


"Lepas pulang dari bulan madu, saya dan suami akan berangkat mengerjakan umrah pada 15 Mac depan," kata Wani.


Wani telah memeluk agama Islam pada 28 November lalu di rumah Habsah Hassan bertempat di Taman Tun Dr. Ismail


Dalam pada itu, 'tea ceremony', satu adat yang mengikut tradisi Cina akan turut dilakukan oleh pasangan ini esok secara tertutup.


Ini merupakan perkahwinan pertama Wani tetapi yang kedua buat Yacob setelah bercerai 10 tahun yang lalu. Yacob mempunyai tiga orang anak perempuan hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_hiburan/20090123200127&sec=mstar_hiburan

BN perlu perubahan drastik - Muhyiddin


Sabtu Januari 24, 2009

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kini melalui ujian paling getir dan jika tidak ada tindakan drastik diambil untuk menangani kemerosotan sokongan maka gagasan pemerintahan itu mungkin menghadapi kemusnahan.


Calon Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, walaupun BN merangkumi 13 parti komponen khususnya Umno cuba memperbaiki imej parti untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan lebih banyak usaha perlu dilakukan dengan segera.


"Kita tidak bekerjasama dalam usaha kita. Oleh kerana kita lambat melakukan perubahan, ramai berpendapat Umno tidak akan berubah.


"Jika ambil masa terlalu lama untuk berubah maka orang tidak akan menunggu untuk kita.


"Situasi kekalahan dua pertiga majoriti BN di Parlimen selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas masih tidak berubah.


"Kita perlu lebih berkesan dan melaksanakan perkara luar biasa pada masa luar biasa,"
katanya pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin di MINES Golf and Beach Resort di sini.


Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, Umno bukan sahaja tulang belakang BN yang perlu berubah tetapi juga parti komponen lain sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.


"Situasi akan bertambah teruk jika kita menunggu lama untuk melaksanakan perubahan.


"Umno mesti memimpin dalam melakukan perubahan drastik. Kita khuatir dengan situasi ini,"
jelasnya.


Beliau berkata, terdapat banyak program yang perlu dilaksanakan dan pemimpin akar umbi perlu bekerjasama dengan pemimpin atasan untuk melaksanakan perubahan tersebut.


Mengenai ekonomi negara, Muhyiddin berkata, keadaan Malaysia adalah lebih baik dalam menghadapi krisis ekonomi global berbanding negara lain.


Beliau, yang baru kembali dari mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam rangka lawatan ke Bahrian, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), berkata, walaupun negara tidak mengalami kemelesatan ekonomi namum situasi ekonomi global tidak berkembang.


"Rakyat Malaysia harus tabah menghadapi perubahan. Walaupun kita tidak menghadapi kemelesatan ekonomi namun perlu mengambil langkah meringankan impak krisis ekonomi global," katanya.


Sementara itu, kejohanan golf amal itu berjaya mengumpul RM20,000 yang disumbangkan kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza, anjuran akhbar Berita Harian. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124193836&sec=mstar_berita

Pakatan Rakyat tumpu Pensiangan susulan Kuala Terengganu




Sabtu Januari 24, 2009

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Susulan kemenangan berturut-turut di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Pakatan Rakyat mengalih tumpuan ke Sabah dengan meminta penyokongnya agar bersedia untuk menghadapi cabaran dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Pensiangan.


"Gesaan saya kepada pimpinan akar umbi Sabah, bersiap sedia di (pilihan raya kecil) Pensiangan," kata Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blognya hari ini.


Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Sabah dan Sarawak kini berada di Kota Kinabalu.


Pensiangan disebut-sebut bakal menyaksikan pilihan raya kecil dalam waktu terdekat.


Rayuan petisyen keputusan pilihan raya kecil kawasan itu dijadual didengar oleh Mahkamah Persekutuan pertengahan bulan depan.


Rayuan dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang nengisytiharkan kemenangannya tanpa bertanding bagi Parlimen Pensiangan sebagai tidak sah dan batal.


Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan 11 September lalu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan petisyen pilihan raya dikemukakan oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai.


Hakim David Wong Dak Wah yang membuat keputusan itu mengisytiharkan keputusan bagi Parlimen terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu sebagai tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Pada penamaan calon 24 Februari lalu, Pegawai Pilihan Raya, Bubudan Majalu mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Andipai lewat mengemukakan borang pencalonan.


Andipai dalam petisyennya mendakwa beliau tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.35 pagi dan membayar RM10,000 deposit calon serta RM5,000 deposit bahan pilihan raya.


Pakatan Rakyat memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Ogos lalu dan Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu.


Parti komponen Pakatan Rakyat, PKR meletakkan Anwar di Permatang Pauh manakala PAS pula menurunkan Mohd. Abdul Wahid Endut di Kuala Terengganu.


Ia merupakan dua pilihan raya kecil selepas 8 Mac lalu.


Dalam blognya, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkata, beliau telah sempat mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan gereja Sabah selain bersama peniaga Sabah di sebelah malam.


"Selaku Pengurusi Perhubungan Keadilan Negeri Sabah, saya menyediakan ruang waktu lumayan mendengar pandangan dan rintihan wakil-wakil bahagian sehingga 1 pagi dan kemudian disambung selama dua jam pagi tadi," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124160745&sec=mstar_berita

Bekas Naib Presiden MIC berhasrat cabar Samy Vellu dipecat




Sabtu Januari 24, 2009

Oleh G. MANIMARAN



DIPECAT... Datuk M. Muthuppalaniappan meunjukkan surat pemecatan beliau daripada MIC berkuat kuasa serta-merta, yang diterima daripada Jawatankuasa Disiplin parti itu, di rumahnya hari ini. - foto The Star oleh LOW BOON TAT

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppalaniappan yang mengumumkan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu dalam pemilihan Presiden Mac ini telah dipecat berkuat kuasa serta-merta.


Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu dipecat atas beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa telah memudaratkan parti itu.


Ketika dihubungi sebentar tadi, Muthuppalaniappan mengesahkan yang beliau telah menerima surat pemecatan itu daripada Jawatankuasa Disiplin MIC hari ini.


Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, Tan Sri G. Vadiveloo juga mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan surat bertarikh 21 Januari lalu berhubung pemecatan kepada Muthuppalaniappan.


Katanya, tiga anggota panel jawatankuasa itu secara sebulat suara memutuskan untuk memecat Muthupalaniappan ekoran kenyataannya yang bersifat memudaratkan MIC, yang disiarkan oleh akhbar bahasa Tamil pada 11 November lalu dan Malaysiakini 17 Disember lalu.


Bagaimanapun katanya, Muthuppalaniappan boleh merayu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh dua minggu.


Muthuppalaniappan diberikan surat tunjuk sebab pada 23 Disember lalu.


Surat pemecatan dikeluarkan sehari selepas Jawatankuasa Disiplin mendengar keterangan daripada Muthuppalaniappan - satu-satunya pemimpin MIC yang melahirkan hasrat untuk mencabar Samy Vellu.


Samy Vellu, penyandang jawatan Presiden MIC paling lama - sejak 1979 - juga telah mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatannya kali ini.


Penamaan calon bagi pemilihan jawatan Presiden diadakan bulan depan.


Selasa lalu selepas sesi pertemuaan dengan Jawatankuasa Disiplin, Muthuppalaniappan membidas pimpinan parti itu kerana menggunakan perbicaraan yang mendakwa beliau telah bertindak bertentangan dengan kepimpinan parti dengan tujuan menyekatnya daripada bertanding jawatan Presiden.



REAKSI


Sementara itu dalam kenyataan yang diemelkan, Muthuppalaniappan berkata, beliau kemungkinan akan merayu atas keputusan pemecatannya.


"Saya mungkin membuat rayuan dalam tempoh 14 hari kepada Jawatankuasa Kerja Pusat," kata beliau.


Malah, Muthuppalaniappan mengulangi bahawa beliau tidak diberikan peluang yang sewajarnya untuk membawa saksi dalam kes disiplin yang didengar oleh Jawatankuasa Disiplin tempoh hari.


"Surat (yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Disiplin) mengatakan bahawa selepas pertimbangan yang sewajarnya ke atas penerangan saya, tetapi saya tidak diberikan pertimbangan sewajarnya untuk membawa saksi bahawa kenyataan-kenyataan yang saya keluarkan adalah mengikut lunas perundangan dan benar.


"Kesemua anggota panel hanya tahu untuk mengatakan bahawa kesemua permohonan saya telah diketepikan," katanya.


Tambah beliau, keseluruhan proses membicarakan kesnya adalah satu tindakan menutup mata dan langkah yang telah pun ditetapkan terlebih awal menjelang pemilihan jawatan Presiden.


"Bimbang bahawa Samy Vellu akan menghadapi nasib yang sama sebagaimana disaksikan di kawasan Sg. Siput (ketika pilihan raya umum ke-12 Mac lalu), beliau mengambil pendekatan awal yang tidak berdemokratik.


"Tiada mana-mana pihak yang berfikiran waras akan menerimanya sebagai Presiden MIC. Beliau tidak boleh mendakwa dirinya sebagai pemimpin popular kalangan masyarakat India," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124123559&sec=mstar_berita

Perubahan dalam Umno selepas pemilihan parti - Abdullah

Sabtu Januari 24, 2009

DUBAI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Umno akan melakukan perubahan dan pembaharuan untuk memperkasakan parti selepas ia diterajui kepimpinan baru berikutan pemilihan Umno Mac ini.


Presiden Umno itu berkata, parti akan mengambil langkah-langkah yang menepati kehendak anggotanya untuk muncul sebagai parti politik yang lebih berwibawa dan dapat memberi khidmat kepada rakyat selaras dengan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.


Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata, Umno telah mengumpulkan semua cadangan berhubung langkah pembaharuan yang perlu diambil melalui penganjuran "permukiman" Umno dan beberapa sesi perbincangan yang telah diadakan.


"Tetapi kami membuat keputusan bahawa oleh sebab pemilihan parti dah nak berlangsung, maka teruskanlah dengan pemilihan parti itu dulu dan kemudian kita boleh buat perubahan-perubahan yang dikehendaki dengan barisan kepimpinan yang baru," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi dua hari beliau ke Emiriyah Arab Bersatu di sini, semalam.


Beberapa pihak dalam parti tunggak Barisan Nasional (BN) itu dilapor telah melahirkan harapan untuk melihat Umno melaksanakan perubahan radikal untuk memperkuatkan parti dan meraih kembali sokongan rakyat.


Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata BN dan Umno khususnya tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan segala bentuk pembaharuan yang dijanjikan.


Abdullah berkata: "Pada waktu ini sudah ada hasrat di kalangan anggota Umno sendiri bahawasanya Umno perlu diperkasakan dan perlu ditingkatkan lagi kemampuannya, dan dengan itu sekaligus kewibawaan parti akan bertambah teguh lagi.


Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan oleh Majlis Tertinggi Umno sebelum ini.


"Cuma kita kata kita belum dapat laksanakan lagi kerana kita hendak biarkan proses pemilihan dalam Umno itu selesai, dan lepas itu barulah tindakan-tindakan yang perlu diambil itu dilaksanakan," kata beliau. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124110311&sec=mstar_berita

Najib: Kelayakan tanding hilang jika didakwa politik wang




Sabtu Januari 24, 2009


PEKAN: Pemimpin dan anggota Umno yang didakwa di mahkamah atas tuduhan politik wang akan hilang kelayakan untuk bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti Mac depan, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.


Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka yang dipilih menjadi perwakilan ke perhimpunan agung juga akan hilang kelayakan menjadi perwakilan jika turut didakwa terbabit kes berkenaan.


"Parti telah pun memutuskan bahawa jika sedang dalam siasatan, seseorang itu masih boleh bertanding jawatan tetapi jika didakwa, maka calon terbabit tidak boleh bertanding," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian dan beg sekolah kepada murid sekolah daerah Pekan, di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan dan tindakan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan anggota serta pemimpin Umno yang disyaki terbabit dengan gejala politik wang sejak kebelakangan ini.


Ditanya sama ada tindakan SPRM itu memperlihatkan seolah-oleh Umno kini telah hilang kawalan dalam usaha membanteras gejala rasuah, Najib berkata, perkara itu perlu dilihat secara positif dalam usaha membanteras gejala berkenaan selaras dengan apa yang dikehendaki rakyat.


"Rakyat telah menyatakan bahawa mereka mahu Umno melakukan perubahan. Itu adalah pendapat masyarakat dan masyarakat mahu Umno bebas daripada politik wang.


"Namun ini adalah akibat daripadanya, anda perlu tentukan apa yang anda mahu... jika anda mahu membersihkan parti, maka ini adalah akibat daripadanya, anda perlu menerima hakikat ini," kata Najib.


Najib berkata, semua pihak perlu melihat tindakan SPRM itu secara terbuka sekiranya benarbenar mahu melihat perubahan dalam Umno.


"Jadi, kita semua perlu memutuskan apa yang kita mahu, sama ada kita mahu melihat perubahan dalam Umno atau kita mahu terus lenyap akibat politik wang," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124141713&sec=mstar_berita

Tindakan SPRM tepati hasrat Umno



Sabtu Januari 24, 2009

DUBAI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa beberapa pemimpin Umno berhubung politik wang boleh dilihat sebagai sesuatu yang menepati hasrat parti untuk membasmi gejala itu.


Presiden Umno itu berkata, ia juga menghantar mesej kepada setiap anggota Umno bahawa parti itu tidak akan berkompromi dengan amalan politik wang.


"Nampaknya pihak suruhanjaya menjalankan peranannya sebagaimana yang diharapkan kerana tugas mereka ialah mencegah rasuah.


"Dan tindakan yang telah mereka ambil baru-baru ini yang melibatkan beberapa orang dari parti Umno membuktikan bahawa mereka (SPRM) ada kebebasan, dan mereka bertindak dengan bebas," kata Abdullah yang juga Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi dua hari beliau ke Emiriyah Arab Bersatu di sini, semalam.


Menjawab satu pertanyaan, Abdullah berkata SPRM menyiasat laporan berhubung amalan politik wang itu berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh orang Umno sendiri.


Mengenai sama ada Lembaga Disiplin Umno juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang berkenaan, Abdullah berkata ia bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090124112359&sec=mstar_berita

PKNS taja lembu korban Bandar Tun Razak

Sabtu Januari 24, 2009

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam menjelaskan bahawa ia telah menaja 390 ekor lembu korban yang diagihkan kepada surau dan masjid di seluruh negeri Selangor sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Disember lepas.


Menurut perbadanan itu, dalam menguruskan penajaan lembu untuk ibadat korban di Selangor, beberapa anak syarikat dan syarikat bersekutunya telah bersetuju menderma lembu korban di kawasan Bandar Tun Razak sebagai menjalankan tanggungjawab sosial.


Keputusan untuk menderma 46 ekor lembu korban kepada 46 masjid, surau dan madrasah di kawasan Bandar Tun Razak telah dibuat selepas satu perbincangan diadakan di peringkat kumpulan pengurusan PKNS dan beberapa anak syarikat serta syarikat bersekutu, katanya dalam satu kenyataan di sini.


Bayaran untuk 46 ekor lembu itu telah diuruskan oleh Selangor Industrial Corporation (SIC) Berhad, yang kemudiannya membahagikan bayaran itu kepada enam lagi anak syarikat dan syarikat bersekutu PKNS yang telah menyatakan persetujuan untuk menyertai program itu, katanya.


Pihak PKNS hanya memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tentang derma lembu korban itu setelah semua perancangan selesai diatur, kata perbadanan itu.


Kenyataan itu juga menyebut bahawa Abdul Khalid bukan pengerusi SIC Berhad seperti yang dilaporkan oleh pihak media, sebaliknya, Datin Paduka Low Siew Moi selaku pengurus besar PKNS, adalah pengerusinya.


Pada Rabu lepas, Abdul Khalid menafikan dakwaan kononnya beliau menggunakan dana kerajaan negeri bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai lebih RM110,000 pada Hari Raya Aidiladha lepas. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/24/mstar_berita/20090123212423&sec=mstar_berita

Ketua cawangan ejen calon ahli MT Umno ditahan


PUTRAJAYA: Seorang ketua cawangan Umno Bahagian Temerloh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, berhubung politik wang yang membabitkan seorang calon ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang ditahan kelmarin.

Difahamkan, penahanan lelaki berusia 47 tahun itu dilakukan berikutan beliau didakwa sebagai ejen calon berkenaan.

Sumber berkata, jika perlu, SPRM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman lelaki terbabit hari ini.

“Kita sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua saksi bagi kes itu,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan seorang Ketua Bahagian Umno Wilayah Persekutuan yang juga calon MT Umno menyerah diri di pejabat SPRM Temerloh.

Ahli politik berusia 40-an itu, memberi keterangan berhubung kegiatan politik wang dengan menyogok beberapa perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Beliau memberi keterangan dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Kelmarin, Pengarah SPRM Pahang, Sutinah Sutan, dipetik berkata sekurang-kurangnya 35 orang dari Temerloh dan Maran sudah memberi keterangan masing-masing kepada suruhanjaya berkenaan.

Katanya, mereka tidak ditahan tetapi sebahagian daripadanya perlu berada di pejabat SPRM sehari atau dua bagi membantu siasatan.

Selasa lalu, 12 ahli Umno, termasuk seorang wanita, ditahan berhubung kegiatan politik wang, dalam beberapa siri serbuan di sekitar Maran dan Temerloh, Pahang.

Akhbar melaporkan ahli jawatankuasa Umno bahagian berusia antara 30 hingga 50 tahun itu, dipercayai perwakilan bahagian yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno, Mac ini, dikatakan diberikan wang antara RM300 dan RM500 seorang.

Sementara itu, SPRM sudah mendakwa tiga ahli Umno termasuk seorang Naib Ketua bahagian di Perak atas dakwaan memberi rasuah ketika pemilihan jawatan bahagian itu, Oktober lalu.

Mereka yang didakwa ialah Naib Ketua Umno Bahagian Beruas, Azman Noh; Ketua Umno Cawangan Panchor, Alor gajah, Johari Ibrahim dan ahli Umno Bahagian Raub, Junaidi Abdul Hamid.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090124091301/Article/index_html

Atur majlis makan suap


Oleh Kamarulzaman Pid

PUTRAJAYA: Beberapa ahli politik terkemuka Umno yang bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu dikesan menggunakan kaedah ‘makan dan suap’, bagi memastikan kemenangan mereka pada pemilihan parti Mac depan.

Sumber berkata, mereka dipercayai terbabit dalam penganjuran majlis makan malam di hotel sekitar Lembah Klang, bulan lalu dan antara tetamu yang hadir adalah Ketua Bahagian Umno dan perwakilan G7 ke pemilihan parti itu.

“Selepas majlis makan malam berakhir, tetamu yang hadir dihampiri ejen calon yang bertanding sebelum menghulurkan wang bagi memastikan perwakilan berkenaan mengundi ‘bos’ mereka yang bertanding merebut jawatan dalam parti itu,” katanya di sini, semalam.

Sumber itu berkata, dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel di Shah Alam, bulan lalu, ejen kepada calon terbabit dikesan memberi wang suapan RM1,000 seorang kepada kira-kira 30 tetamu yang hadir.

“Tetamu itu terdiri 30 perwakilan termasuk beberapa Ketua Bahagian Umno di Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sumber itu menambah, seorang Ketua Bahagian Umno Perak yang juga calon bagi jawatan tertinggi parti itu juga dipercayai menganjurkan majlis sama di sebuah restoran di Cheras, awal bulan lalu.

“Selepas majlis makan malam itu, kira-kira 30 perwakilan dari Umno Wilayah Persekutuan diberikan RM300 seorang oleh ejen kepada calon terbabit yang juga seorang tokoh korporat,” katanya.

Seorang calon bagi jawatan tertinggi parti itu yang diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apabila dikaitkan dengan politik wang kepada perwakilan di Maran dan Temerloh, pertengahan minggu ini, juga dipercayai antara mereka yang menganjurkan majlis berkenaan.

“Calon terbabit dipercayai menganjurkan majlis makan malam di sebuah restoran di Kuala Lumpur dengan dihadiri kira-kira 30 ahli Umno dari beberapa Bahagian Umno Wilayah Persekutuan termasuk Umno Putrajaya dan Kepong.

“Mereka yang hadir diberi wang sebanyak RM300 seorang,”
katanya.

Ahli politik itu yang bertanding bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno dikaitkan dengan 12 ahli Umno yang ditahan pada Rabu lalu atas kesalahan politik wang.

Semua mereka yang menjadi perwakilan ke pemilihan parti bahagian masing-masing diberikan wang antara RM300 hingga RM500 seorang.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090124091319/Article/index_html

200 hadiri majlis nikah Wendy, Yacob


SAMA PADAN...Wani Wendy bersama Yacob Chik selepas
majlis pernikahan mereka.


KUALA LUMPUR: Hanya dengan sekali lafaz, pelakon dan penerbit Wani Wendy Wong Abdullah, 43, sah menjadi isteri kepada lelaki pilihan hati seorang ahli perniagaan Yacob Chik, 58.

Majlis pernikahan Wendy yang memeluk Islam November lalu berlangsung secara sederhana, tetapi meriah dengan dihadiri 200 tetamu termasuk keluarga dan teman rapat.

Pasangan ini dinikahkan penolong Pendaftar Nikah, Rujuk, Cerai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdullah Hashim.

Di majlis yang berlangsung di Dewan Perdana Felda di sini, semalam Wendy menerima mas kahwin RM80 serta senaskah al-Quran.

Dalam waktu sama lima dulang hantaran diterima Wendy berupa set barangan kemas, telekung, pakaian sepersalinan dan manisan sementara, penerbit itu membalas tujuh dulang.

Sebaik majlis selesai, Wendy mengucapkan syukur kerana apa yang diimpikan menjadi kenyataan, apatah lagi sebelum ini dia pernah mengalami kekecewaan dalam percintaan.

“Saya tidak minta banyak selain suami dapat menjaga saya dengan baik. Paras rupa dan harta bukan ukuran. Selepas berkenalan hampir tiga tahun akhirnya hati saya terbuka untuk menerima lamaran Yacob,” katanya.

Wendy turut menjelaskan dia tidak kisah dengan status suaminya seorang duda, kerana apa yang penting adalah hatinya yang sentiasa baik dan mahu menjaganya hingga ke akhir hayat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090124092605/Article/index_html

Geng Lekir lumpuh


RAMPAS...Nor Azam menunjukkan pelbagai barangan
yang dirampas daripada suspek.


SHAH ALAM: Selepas lebih 10 bulan mengganas melakukan hampir 70 kes samun di sekitar Lembah Klang terutama di daerah ini, Petaling Jaya dan Gombak membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit kumpulan samun dikenali Geng Lekir akhirnya lumpuh dengan penahanan enam suspek, termasuk sepasang suami isteri.

Geng terbabit diketuai seorang lelaki berusia 25 tahun yang masih bebas dikenali sebagai Khairul Anwar Zainal Abidin dikatakan menjadikan butik dan rumah tepi jalan, selain melarikan kenderaan mewah sebagai sasaran utama.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin, berkata berikutan kes membabitkan geng itu semakin mengganas pihaknya menubuhkan satu pasukan khas menanganinya.

Hasil risikan dan maklumat awam, katanya polis menahan seorang lelaki di bengkel kereta Lebuh Keluli, Bukit Raja, jam 5.30 petang, Selasa lalu dan menemui sebuah Proton Perdana dilaporkan dicuri Disember lalu.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek, kira-kira jam 11 malam hari sama polis menahan lima suspek, dua daripadanya wanita termasuk pasangan suami isteri di Bandar Seri Damansara, Petaling Jaya.

“Kami juga turut menemui empat kereta curi yang didigunakan untuk melakukan samun.

“Malah dalam sebuah Toyota Wish kami menemui sebilah pedang, parang dan pelbagai jenis barangan untuk kegiatan menyamun dipercayai milik suspek,”
katanya pada sidang media, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090124092949/Article/index_html

Lari dari mahkamah

Oleh Murni Wan Omar



TAHAN...pekerja binaan membantu menahan tertuduh. Gambar
kanan, tertuduh menutup muka selepas ditangkap semula.


SHAH ALAM: Sebaik dijatuhi hukuman penjara 23 tahun dan 30 sebatan kerana mengaku merogol anak kandung berusia 13 tahun, seorang lelaki melompat dari kandang tertuduh lalu berlari ke pintu kiri dan keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tindakan lelaki berusia 39 tahun itu mengejutkan mahkamah dan orang awam sejurus Hakim Hasbi Hasan selesai membacakan hukuman.

Kejadian berlaku sekelip mata dan anggota polis tidak sempat menahannya apabila lelaki itu melompat tebing setinggi kira-kira dua meter di bahagian tepi mahkamah itu.

Dia kemudian berlari dan terjun ke satu lagi tebing setinggi tiga meter ke kawasan pembinaan berhampiran yang dipenuhi cerucuk dan berselut.

Melihat tindakan tidak diduga itu, beberapa anggota polis segera mengejarnya sambil menjerit ‘Tangkap! Tangkap!’ ke arah pekerja tapak pembinaan itu.

Lelaki itu yang tidak dapat bergerak pantas di kawasan berselut berkenaan dikejar sekumpulan pekerja pembinaan sebelum ditangkap.

Dia diserahkan kepada anggota polis yang mengejarnya sebelum dipercayai dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090124093127/Article/index_html

'Derita kami'



Oleh Saipul Adli Mohamad


JOHOR BAHRU: “Saya tak sanggup lagi terpisah dengan anak keempat ini selepas tiga anak diserahkan untuk dipelihara orang lain,” rintih ibu tunggal, Julina Ismail, 31, yang sanggup bergolok-gadai asalkan dapat menjaga bayinya yang tiada otot dinding perut.

Bayi cacat itu, Muhammad Ramadhani, 15 bulan, lebih suka meniarap termasuk ketika tidur, tidak seperti bayi normal yang kebiasaannya terlentang.

Dia tidak boleh berdiri atau berjalan kecuali bergerak secara mengengsot dada ke depan seperti katak merangkak menyebabkan ada orang mendakwa kononnya bayi itu terkena kenan katak.

Bilangan tulang rusuknya juga hanya separuh berbanding bayi normal menyebabkan badan Muhammad Ramadhani tidak dapat menampung usus menyebabkan perutnya menggeleber ke kiri dan kanan badan.

“Dia cuma boleh duduk sekejap saja kerana cepat semput,” kata Julina ketika ditemui di rumah keluarga angkatnya di Jalan Ulu Tiram di sini, semalam.

Episod malang Julina bermula apabila Muhammad Ramadhani yang dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada 8 Oktober 2007 disahkan menghidapi sindrom Prune Belly iaitu dilahirkan tanpa otot pada dinding perut hadapan.

Difahamkan, kecacatan itu hanya berlaku pada satu daripada 40,000 kelahiran dan hanya dialami lelaki. Lebih memburukkan keadaan, Muhammad Ramadhani turut mengalami komplikasi buah pinggang kerana injap ginjalnya terpesong.

“Saya pernah bekerja kilang secara kontrak, tapi diberhentikan kerana kerap mengambil cuti untuk membawa anak mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Sekarang sudah dua bulan saya tak bekerja, apa lagi tiada orang berani menjaga Muhammad Ramadhani kerana takut melihat keadaannya.

“Saya terpaksa ke hospital atau klinik kerajaan dua minggu sekali untuk mengambil ubat antibiotik bagi mengelak jangkitan kuman pada buah pinggangnya,”
katanya.

Julina berkata, dia terpaksa tinggal di merata tempat termasuk menumpang rumah rakan kerana malu kembali ke pangkuan keluarga berikutan kesilapan lamanya.

“Kini saya tinggal di rumah keluarga angkat sejak seminggu lalu dengan segala makan dan minum, lampin dan susu mengharapkan ihsan mereka,” katanya.

Mengimbas sejarah hidupnya, Julina mengaku tersilap langkah apabila tetap mengahwini seorang lelaki warga Indonesia pada 2001 walaupun tidak mendapat restu keluarga. Lebih malang, perkahwinan itu tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Menurutnya, lelaki yang tidak didedahkan namanya itu dikenali selama lapan tahun ketika bekerja kilang di Senai.

Julina berkata, apabila rumah tangganya bergelora, suaminya mengugut mahu melarikan dua daripada tiga anak mereka ketika itu ke Indonesia menyebabkan dia mengambil keputusan menyerahkan anak pertama dan kedua kepada keluarga angkat sebelum lelaki terbabit menceraikannya yang sedang mengandung anak keempat sebelum menghilangkan diri tanpa sebarang berita pada awal 2007.

“Apabila suami mengugut mahu membawa dua anak pulang ke Indonesia, saya tiada pilihan kecuali menyerahkan anak pertama (lelaki berusia lima tahun) dan kedua (perempuan berusia empat tahun) kepada keluarga angkat, manakala anak ketiga dijaga ibu saya di Masai kerana saya tidak mampu menanggung mereka.

“Memang hiba apabila terpaksa menyerahkan anak kandung kepada orang lain. Sejak diserahkan, saya tidak tahu di mana anak sulung berada kerana tidak pernah berjumpa lagi dengannya.

“Anak kedua pula saya dengar khabar dipelihara satu keluarga di Kota Tinggi, tetapi tiada kesempatan menjenguknya.

“Ketika bercerai, saya sedang mengandung anak keempat dan ketika itu kandungan saya berusia empat bulan. Kini, sudah lebih setahun Muhammad Ramadhani dilahirkan, bekas suami masih tidak mengetahui anak keempatnya cacat seperti ini,” katanya.

Menurutnya, ada orang mencadangkannya menyerahkan Muhammad Ramadhani kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi dia tidak tergamak berbuat demikian, apa lagi selepas kehilangan tiga anaknya.

Julina berkata, dia pernah membawa Muhammad Ramadhani meminta bantuan Bahagian Zakat Jabatan Agama Johor (JAJ) pada September lalu dan diarahkan menunggu supaya petugas terbabit datang ke rumah tetapi sehingga kini kelibat mereka tidak muncul.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh datang ke rumah ibu angkatnya di Lot 415, belakang stesen Esso, Jalan Ulu Tiram atau menghubungi ibu angkatnya, Dewi Moreni Embok Tua di talian 013-7010586.

http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20090124090139/Article

Didakwa buang bayi

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my



NOR AFFENDY didakwa di Mahkamah Majistret Ampang semalam atas tuduhan membuang bayi.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Perbuatan seorang bapa yang dituduh membuang bayi kandungnya ke dalam tong sampah di stesen transit aliran ringan (LRT) Setiawangsa, lima hari lalu menarik perhatian galeri awam Mahkamah Majistret Ampang dekat sini semalam.

Nor Affendy Rahman, 33, seorang anggota tentera berpangkat Koperal dari Markas 40 Kejuruteraan Peluru, Setapak di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ketika pengakuan dibuat, riak muka tertuduh kelihatan sugul dan lebih banyak mendiamkan diri. Dia ditahan pada hari kejadian setelah menyerah diri di balai polis.

Affendy didakwa membuang bayi perempuan bongsunya, Fasya Irdiena, berusia tujuh bulan ke dalam tong sampah di tepi LRT Setiawangsa, Jalan Jelatek di sini, pada pukul 4 pagi, 19 Januari 2009.

Pertuduhan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Asisten Supritendan Dr. A. Vasu mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Beliau menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin atas alasan, bapa kepada tiga orang anak itu melakukan kekerasan dengan menikam paha isterinya sehingga wanita itu mendapat lima jahitan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

'Ilmu 44 wajah jin'


KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


ALOR SETAR - "Lelaki itu boleh berubah pelbagai watak dalam sehari."
Demikian penjelasan Sabariah yang mendakwa menjadi mangsa nafsu seorang bomoh yang tinggal bersamanya selama sebulan.

Ibu tunggal itu berkata, bomoh itu sering bertukar watak iaitu boleh jadi seorang bengis, penyayang atau kaki pukul.

Katanya, semua pengalaman dilaluinya itu cukup memberi satu igauan ngeri kepadanya.

"Kadang-kala matanya merah menyala seolah-olah itu bukan dirinya yang sebenar membuatkan saya terlalu takut," ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sabariah mendakwa, lelaki itu pernah memberitahunya, dia menuntut ilmu 22 baik dan 22 jahat yang memerlukannya bersahabat dengan jin.

"Saya rasa dia memang belajar ilmu hitam untuk 'menundukkan' perempuan," katanya yang telah memulakan hidup baru dengan berniaga kecil-kecilan.

Sabariah yang telah bebas daripada bomoh itu berharap dapat melupakan 'igauan pahit' itu dan trauma akibat dipukul setiap malam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Jolie perosak rumah tangga orang

LOS ANGELES – Heroin filem Changeling, Angelina Jolie (gambar atas) sedang mendapatkan khidmat nasihat guaman berhubung tindakan seorang bekas pengawal peribadinya yang mahu menulis sebuah buku yang menggambarkan dirinya perosak rumah tangga, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki berkenaan, Mickey Brett mengetuai pasukan kawalan keselamatan terhadap Jolie dan kekasihnya Brad Pitt ketika pasangan itu bersembunyi di Namibia sebelum kelahiran cahaya mata pertama mereka, Shiloh pada tahun 2006.

Bagaimanapun, Pitt dipecat pada tahun lalu.

Lelaki itu merancang untuk mendedahkan rahsia peribadi aktres itu dalam buku terbarunya yang masih dalam perancangan.

“Buku itu pasti meletup. Ia akan menceritakan bagaimana Jolie bermain cinta dengan Pitt ketika aktor itu masih menjadi suami aktres Jennifer Aniston,” kata satu sumber. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_12.htm

Obama diramal bernasib malang




HONG KONG – Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru, Barack Obama (gambar) bakal menghadapi cabaran yang besar dalam Tahun Baru Cina ini yang jatuh pada Tahun Seladang, kata seorang tukang tilik.

Obama dilahirkan pada Tahun Seladang dan beliau menjadi Presiden AS yang baru pada tahun yang dianggap tidak membawa nasib baik menurut ahli astrologi Cina.

Beliau adalah Presiden AS ke-44 dan nombor itu dianggap sangat tidak bertuah kerana nombor empat mempunyai sebutan yang sama dengan kematian dalam bahawa Cina.

“Presiden AS yang baru itu akan ditimpa malang pada tahun ini dan kegembiraan beliau juga tidak lama,” kata seorang tukang tilik, Alion Yeo.

Yeo juga meramalkan bahawa Obama mungkin menghadapi satu siasatan ketika berada di tahun pertama menjadi Presiden. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Misteri kembar di bandar Candido Godoi


"SEBAHAGIAN kembar yang terdapat di bandar Candido Godoi, Brazil."

--------------------------------------------------------------------------------


RIO DE JANEIRO – Bandar Candido Godoi di Rio Grande do Sul, Brazil menyimpan misteri yang belum terungkai, lapor sebuah akhbar semalam.

Misteri itu adalah kenapa bandar tersebut mempunyai bilangan kelahiran kembar yang tinggi.

Setiap seorang daripada lima ibu di bandar itu mengandungkan bayi kembar lebih tinggi daripada kadar normal iaitu satu bagi setiap 80 kelahiran.

Apa yang lebih memeningkan saintis adalah sebahagian besar kembar yang dilahirkan mempunyai mata berwarna biru dan berambut perang.

Namun, seorang ahli sejarah dari Argentina, Jorge Camarasa percaya misteri itu berpunca daripada kesan satu ujikaji pelik seorang doktor Nazi, Josef Mengele.

Mengele dipercayai menjalankan ujikaji berhubung kejadian bayi kembar dan dia diarahkan untuk menambah kadar kelahiran bangsa Aryan oleh pemimpin Nazi, mendiang Adolf Hitler.

Camarasa berkata, Mengele kerap melawat Candido Godoi sejak melarikan diri dari Jerman pada 1945.

Rekod menunjukkan kembar pertama lahir di bandar itu adalah pada 1963 iaitu tahun ketibaan Mengele ke bandar tersebut. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Britain sah alami kemelesetan ekonomi


LONDON - Krisis ekonomi global meragut lebih ramai mangsa semalam selepas Britain secara rasminya memasuki fasa kemelesetan ekonomi.

Jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan dan muflis pula terus meningkat di seluruh Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Sejak kali terakhir mengalami kemelesetan pada 1991, Britain kini menyertai AS, zon mata wang euro dan Jepun yang kini mengalami penguncupan pertubuhan ekonomi.

Kerajaan Britain mengumumkan bahawa Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara itu menyusut sebanyak 1.5 peratus pada suku tahun keempat 2008.

Suku tahun sebelum itu, GDP Britain juga menyusut sebanyak 0.6 peratus sekali gus memberi tanda bahawa ekonomi negara itu mengalami kemelesetan.

Bagaimanapun, seorang penganalisis IHS Global Insight, Howard Archer memberi amaran bahawa keadaan dijangka lebih buruk pada tahun ini.

"Kami meramalkan GDP Britain akan menyusut sebanyak 2.9 peratus pada 2009 dan ia merupakan penyusutan terbesar sejak Perang Dunia Kedua," katanya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Doktor potong kaki, tangan bekas ratu


"BRIDI sebelum tangan dan kakinya dipotong."

--------------------------------------------------------------------------------

SERRA – Seorang bekas peserta ratu cantik Brazil, Mariana Bridi kehilangan kedua-dua belah tangan dan kakinya selepas dijangkiti sejenis bakteria berbahaya, lapor sebuah akhbar semalam.

Bridi, 22, menjalani beberapa pembedahan pada minggu ini selepas dijangkiti kuman tersebut yang merebak ke dalam saluran darah dan dia kini berada dalam keadaan kritikal.

Kekasih Bridi, Thiago Simoes berkata, model itu jatuh sakit pada 30 Disember lalu dan doktor memberitahu dia mengalami masalah batu karang sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

Dua hari selepas itu, Bridi yang juga seorang model dimasukkan semula ke sebuah hospital di bandar Serra selepas keadaannya bertambah buruk.

Doktor kemudian mendapati darah tidak mengalir di kedua-dua belah tangan dan kaki wanita itu akibat satu jangkitan oleh bakteria yang dikenali sebagai pseudomonas aeruginosa.

Pakar kemudian memutuskan untuk memotong kedua-dua kaki Bridi dan pada Selasa lalu kedua-dua belah tangan wanita malang itu juga terpaksa dipotong.

Mata kanannya turut buta dan dia kini dalam proses untuk menyaman hospital itu.

Bridi sebelum ini memasuki peringkat akhir pertandingan Ratu Cantik Brazil pada 2006 dan 2007 selain pernah mewakili Brazil dalam pertandingan Ratu Cantik Antarabangsa Bikini 2007 di China. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Tiga jam rayu kekasih


Inilah nota yang ditulis pada sepanduk yang dibawa wanita yang melutut selama tiga jam di luar bangunan sebuah kilang.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Tindakan seorang wanita melutut sambil memegang sepanduk merayu teman lelakinya supaya mengahwininya menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Chan Sow Lin di sini semalam.

Wanita yang enggan dikenali itu mendakwa, dia terpaksa berbuat demikian demi menyelamatkan nyawa anak perempuannya yang baru berusia 43 hari yang sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Muar.

Dia yang mendakwa mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang undang-undang melutut di luar sebuah kilang membekalkan peralatan pembinaan bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.

Ketika didekati polis, wanita yang datang menaiki teksi itu menjawab:

"Kamu tidak boleh tahan saya kerana saya berada di luar kawasan kilang dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Kamu jangan ingat saya tidak tahu undang-undang.

"Kalau hendak tahan juga, kamu tunggulah tindakan yang saya akan ambil bersama peguam saya,'' ugut wanita itu.

Dalam tempoh itu, pihak pengurusan kilang tersebut juga enggan melayan permintaan wanita itu untuk masuk ke dalam bangunan itu bagi menemui kekasihnya.



Orang ramai melihat gelagat wanita yang melutut dengan membawa sepanduk mencari kekasihnya di Jalan Chan Sow Lin semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


Malah pihak kilang juga enggan memberikan butiran mengenai mana-mana pekerja di kilang tersebut.

Difahamkan, lelaki yang didakwa wanita itu sebagai kekasihnya telah berhenti kerja.

Ketika ditemui, wanita yang berasal dari ibu negara itu memaklumkan, rawatan ke atas anaknya 'tergendala' kerana bayinya itu tidak ada sijil kelahiran.

Katanya, dia mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki lain.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Pelajar ikut Rauf Bangladesh


Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.abrahim@kosmo.com.my



NAINA MOHAMAD dan Nazirah menunjukkan foto Nor Syuhada di Kota Bharu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU - Lagi kes gadis lari mengikut warga asing.
Kali ini ia membabitkan Nor Syuhada Naina Mohamad, 23, pelajar tahun tiga jurusan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak yang dipercayai menghilangkan diri sejak Julai tahun lalu.

Mangsa dikatakan hilang dari kampus UIAM setelah keluar dengan seorang buruh kontrak yang dipercayai warga Bangladesh.

Kehilangan Nor Syuhada menjadi lebih misteri apabila ibu bapanya mengesan kesemua wang simpanannya sebanyak RM5,000 dalam bank telah dikeluarkan beberapa hari selepas dia menghilangkan diri.

Ibunya yang berasal dari Kok Lanas dekat sini, Nazirah Mohamad Yusoff, 54, berkata, anaknya itu dikatakan keluar seorang diri dari asrama pada pukul 6.30 pagi 25 Julai lalu dan terus menghilangkan diri sehingga hari ini.

Katanya, dia dan suami membuat laporan polis pada keesokan harinya di Balai Polis Gombak, Selangor selepas usaha mencarinya gagal.

"Kehilangan anak saya diketahui apabila pengetua asramanya menghubungi suami saya, Naina Mohamad Sultan kira-kira pukul 3 petang pada akhir Julai lalu.

"Menurut rakan-rakannya, anak saya mungkin keluar bersama seorang buruh kontrak yang dipercayai warga Bangladesh dikenali sebagai Rauf," katanya di sini semalam.


SEKUMPULAN pelajar wanita di kampus UIAM di Gombak.

--------------------------------------------------------------------------------


Mereka sekeluarga yang tinggal di Taman Wira Jaya, Kok Lanas dekat sini cuba menghubungi anaknya tetapi gagal. Panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Nor Syuhada tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini malah dia sentiasa ceria, kata ibunya

Menurut Nazirah, dia tidak mengenali Rauf dan anaknya itu tidak pernah menceritakan mengenai lelaki itu.

"Kalau diikutkan perangai, dia (Nor Syuhada) seorang yang pendiam dan pemalu sejak dari bangku sekolah lagi, sebab itu dia tak ramai kawan, jadi saya tidak pernah syak apa-apa yang pelik," tambahnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Bakteria boleh atasi alga merah

IPOH - Sebuah syarikat bioteknologi dari Jepun membuat tawaran untuk membantu kerajaan negeri mengatasi masalah perubahan warna air laut yang dipercayai kerana pertumbuhan alga merah sejak seminggu lalu di perairan Sungai Dinding, Pulau Pangkor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Alam Sekitar dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata, syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang itu menawarkan sejenis bakteria berbentuk pepejal bagi mengatasi masalah tersebut.

"Menurut penerangan awal pakar syarikat tersebut, bakteria terbabit boleh menghasilkan oksigen mencukupi kepada kehidupan laut seperti ikan dan udang yang terancam akibat pertumbuhan alga merah terbabit.

"Sehubungan itu, saya akan membawa pakar syarikat berkenaan ke lokasi kejadian itu selepas sambutan Tahun Baru Cina ini," katanya mengulas fenomena perubahan warna air laut di sekitar perairan Lumut dan Pulau Pangkor baru-baru ini yang dilaporkan Kosmo! sejak kelmarin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...