Thursday, November 13, 2008

Mahathir: Ketua, Naib Ketua Wanita Umno wajar dipertandingkan



Rabu November 12, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB



PUTRAJAYA: Bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita wajar dilaksanakan kerana ia mencerminkan nilai demokrasi dalam pergerakan itu.


"Pada saya, ia (pertandingan) sesuatu yang baik kerana ia demokrasi.


"Jika tiada wang yang terlibat, saya rasa jawatan itu patut dipertandingkan,"
kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Bangsa Malaysia" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.


Dr. Mahathir berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada Wanita untuk menentukan siapa yang patut dan tidak patut memegang kedua-dua jawatan tersebut.


Isnin lalu, keputusan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita Umno mengekalkan pelan peralihan kuasa di antara ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.


Mesyuarat yang dihadiri oleh 27 Exco itu juga membuat ketetapan bahawa jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan demi perpaduan dan pengukuhan sayap kanan Umno itu.


Bagaimanapun, Exco Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang telah meraih cukup pencalonan bagi jawatan Naib Ketua pergerakan itu tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan itu dan menolak pelan peralihan kuasa yang dipersetujui pada 4 Ogos lalu.


Shahrizat dalam kenyataannya semalam juga berkata, beliau masih berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan jawatan Ketua Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita Umno perlu diselaraskan dengan badan induk, Pemuda dan Putera sempena Perhimpunan Agung Umno Mac depan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112180651&sec=mstar_berita

Dr. M: Siapa saja boleh jadi PM asalkan "Bangsa Malaysia"



Rabu November 12, 2008

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sesiapa saja, baik Melayu atau bukan Melayu, boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia asalkan dia "Bangsa Malaysia".


Bekas Perdana Menteri itu berkata, undang-undang negara ini menetapkan bahawa siapa saja boleh menjadi Perdana Menteri tetapi dia mestilah pemimpin sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti.


"Jika kita cakap mengenai PM bukan Melayu, kita dianggap bersifat perkauman. Kita tidak boleh menyoal sama ada dia Melayu atau bukan Melayu," katanya kepada pemberita selepas berucap pada siri Wacana Perdana "Bangsa Malaysia" di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas sama ada Malaysia sudah bersedia mempunyai seorang Perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu ekoran pemilihan Barack Obama sebagai orang kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat.


Dalam ucap utamanya sebelum itu, Dr Mahathir berkata parti berasaskan kaum dalam Barisan Nasional (BN) masih relevan untuk menangani isu perkauman. "BN telah membuktikan bahawa sejak 50 tahun lepas, parti itu telah mengurangkan perbahasan mengenai perkauman dan telah membangunkan negara ini ke tahap yang ada pada masa ini," katanya.


Dr Mahathir juga menolak andaian kononnya prestasi buruk BN dalam pilihan raya lepas disebabkan rakyat menolak politik berasaskan kaum.


"Ini tidak betul. Macam mana mereka boleh kata penolakan itu disebabkan parti berasaskan kaum kerana parti yang mendapat sokongan seperti PAS, DAP dan Keadilan juga berasaskan kaum.


"Kenapa mereka tak suka kontrak sosial...ia kerana (faktor) kaum. Kenapa mereka mahu PM bukan Melayu, ia juga kerana (faktor) kaum,"
katanya.


Dr Mahathir berkata, langkah untuk mengatasi isu itu perlu dilakukan secara perlahan dan rakyat perlu berkorban.


"Ini hanya dapat dilakukan bukan menerusi parti pembangkang tetapi dengan kembali kepada parti berasas kaum, BN. Sama ada suka atau tidak, saya rasa parti berasaskan kaum masih relevan," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112192455&sec=mstar_berita

Penguat kuasa di Parlimen pantau wakil rakyat langgar larangan merokok



Rabu November 12, 2008

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau tiada halangan sekiranya ada cadangan untuk menempatkan pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan di bangunan Parlimen bagi memastikan peraturan larangan merokok, dikuatkuasakan.


Katanya jika merokok merupakan satu kesalahan, ia seharusnya dikuatkuasakan termasuk di bangunan Parlimen.


"Jika merokok merupakan satu kesalahan di Parlimen, sudah tentu ia perlu dikuat kuasa," katanya ketika ditanya mengenai cadangan menempatkan pegawai penguatkuasa itu, di sini, hari ini.


Bangunan Parlimen sebelum ini telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejajar dengan Peraturan 11 (1)(h) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, yang jelas menyatakan bahawa tiada seorangpun boleh merokok di dalam mana-mana premis kerajaan.


Kementerian Kesihatan baru-baru ini juga telah mengumumkan bahawa semua kaki lima kompleks beli belah termasuk restoran dan kafe terbuka di luar premis berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.


Mereka yang didapati merokok di kawasan berkenaan boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau denda RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.


Mengakui beliau juga bekas perokok, Pandikar Amin berkata, kejayaan untuk berhenti merokok bergantung kepada kemahuan dan kesungguhan diri perokok itu sendiri.


"Merokok ini di dalam kawalan anda dan hanya dengan kemahuan, anda dapat berhenti merokok," katanya.


Bagi Pandikar Amin, keputusan untuk berhenti merokok diambil sekelip mata selepas menonton satu kempen antimerokok yang disiarkan di televisyen.


"Selepas menontonnya, saya fikir ia merupakan satu perkara di dalam kawalan saya, bibir saya dan saya memutuskan untuk berhenti, dan saya buat serta-merta," katanya.


Katanya sehingga kini, sudah dua tahun beliau berjaya meninggalkan amalan yang merugikan wang itu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112165304&sec=mstar_berita

Mahkamah arah dua komputer Raja Petra dianalisis semula




Rabu November 12, 2008

PETALING JAYA: Pihak pendakwa berjaya dalam permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya dua komputer yang dirampas daripada pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dianalisis semula.


Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwa yang dikemukakan di bawah Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan tersebut.


Rozina berkata, beliau membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang tidak dibuka oleh saksi ketujuh, penyiasat forensik, ASP Wa’ie Isqal Kria Abdullah, 38, semasa membuat analisis.


"Ia perlu dilakukan dengan kehadiran kedua-dua pihak termasuk yang tertuduh," kata beliau.


Menurut Rozina, mahkamah perlu menilai kesemua bukti yang terdapat dalam kedua-dua komputer demi keadilan.


"Ia untuk mendapat keadilan," kata beliau pada hari kelapan kes hasutan dihadapi Raja Petra hari ini.


Permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof Semalam selepas ASP Wa'ie mengaku bahawa telah mengesan beberapa bahagian dalam kedua-dua komputer tetapi tidak membuka dan membawa fail-fail berkenaan kerana mematuhi arahan pegawai penyiasat DSP Mahfuz Abdul Majid.


Ho kemudian menetapkan sambungan perbicaraan mulai 16 Disember ini.


Semalam Rozina berkata, beliau akan memutuskan hari ini sama ada untuk membenarkan permohonan pendakwaan untuk Waie membuka dan menganalisis semula folder lain yang terdapat di dalam unit pemprosesan komputer dan komputer riba milik Raja Petra.


Ishak ketika mengemukakan permohonan itu berkata, perkara itu amat penting bagi mencapai keputusan mahkamah yang adil.


"Sebelum ini, beliau (Wa'ie) hanya mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan membuka folder yang berkaitan dengan artikel "Let's Send Altantuya Murderers To The Hell".


"Wa'ie perlu membuat analisis kali kedua untuk mengeluarkan folder tersebut dan ia boleh dijadikan sebagai keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan.


"Adalah wajar untuk saksi pendakwaan mendapatkan kandungan folder tersebut bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan bukti keseluruhan yang ada dalam komputer,"
katanya.


Semalam, Wa'ie berkata, Raja Petra telah melupuskan bahan bukti pengendalian melalui komputer riba miliknya dengan menggunakan program "clean it".


Wa'ie berkata, berdasarkan laporan analisis yang dilakukan terhadap komputer riba milik Raja Petra pada 11 sehingga 26 April lalu, tidak ada sebarang capaian ditemui.


Dengan itu, beliau berpendapat segala data yang terdapat di dalamnya telah dipadam menggunakan program "clean it",


"Apabila digunakan program tersebut, segala data tidak ditunjukkan dalam 'unallocated cluster' iaitu satu lagi program yang digunakan untuk menyimpan fail-fail aktif yang telah dipadamkan," katanya.


Raja Petra, 58, yang dituduh menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.


Artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" itu diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.


Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112153359&sec=mstar_berita

Pengakuan Zaki: Usul kedua ditolak, Karpal buat laporan polis



Rabu November 12, 2008

KUALA LUMPUR: Usul Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah ditolak buat kali kedua hari ini.


Justeru, Karpal akan memfailkan laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 3 petang esok.


"Nampaknya tiada lagi cara lain supaya isu ini dibahaskan atau dibincangkan kerana Dewan Rakyat telah menolak usul yang saya failkan sebanyak dua kali," kata Pengerusi DAP itu di lobi Parlimen hari ini.


Menurut beliau, perkara tersebut mempunyai kepentingan awam kerana ia melibatkan kredibiliti seorang Ketua Hakim Negara.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.


Ketika menjelaskan perkembangan tersebut, Pandikar Amin berkata, peraturan 36(8) memperuntukkan bahawa kelakuan atau sifat hakim-hakim tidak boleh disebut kecuali dengan dikeluarkan usul secara bersendiri.


"Kelakuan hakim-hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali atas sesuatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh pihak kurang daripada satu perempat daripada bilangan ahli Majlis Parlimen," katanya.


Namun Karpal tetap tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan Speaker Dewan Rakyat itu kerana menurutnya isu yang dibangkitkannya adalah yang berkaitan sewaktu Zaki berkhidmat sebagai peguam.


"Isunya di sini ialah apa yang berlaku pada tahun 1987 seperti yang beliau (Zaki) nyatakan sebelum ini iaitu pernah memberi rasuah.


"Kita bukan mahu bincangkan mengenai sifatnya atau kelakuannya kini sebagai seoarang Ketua Hakim Negara,"
katanya.


Pada sidang media berasingan, Pandikar Amin menjelaskan sebab beliau membauat penolakan tersebut.


"Peraturan Mesyuarat itu jelas mengatakan bahawa apa jua yang berkaitan dengan sifat atau kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan di Parlimen.


"Memang Yang Berhormat Bukit Gelugor katakan bahawa isu yang beliau bawa adalah yang berlaku dahulu semasa Tan Sri Zaki menjadi peguam, tapi kalau saya biarkan usul ini dibahaskan, tidakkah mereka akan tetap kaitkan dengan sifat-sifat beliau... ini pasti berlaku,"
katanya.


Ditanya kemungkinan persepsi masyarakat bahawa beliau hanya menolak usul yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, beliau tidak kisah dengan persepsi sedemikian.


"Saya tak kisah apa mereka akan kata. Saya hanya jalankan tugas bagi memastikan perjalanan mesyuarat lancar.


"Tapi anda harus ingat bahawa semua usul yang saya terima hanya daripada pembangkang,"
katanya.


Jelas beliau, jika ada usul yang dikemukan pihak kerajaan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, beliau akan tetap melakukan perkara yang sama.


"Kalau pihak penyokong kerajaan juga ada usul yang tak memenuhi syarat, saya akan tolak juga," katanya.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112143747&sec=mstar_berita

Wednesday, November 12, 2008

Ambil kira rebat, subsidi sebelum turun harga minyak

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membuat pertimbangan dalam pelbagai aspek sebelum mengambil keputusan menurunkan harga runcit petrol di bawah paras RM1.92 seliter, iaitu harga sebelum bahan api itu dinaikkan sebanyak 78 sen pada Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata penurunan harga bahan api itu boleh dilakukan lagi sejajar penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.

“Itu terpulang kepada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

“Tetapi, pelbagai pertimbangan harus diambil kira seperti berapa banyak subsidi sudah dikeluarkan setakat ini, termasuk perbelanjaan rebat minyak kepada pemilik kenderaan dan subsidi minyak kira-kira RM18 bilion,”
katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Etika Perniagaan 2008, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Shahrir mengulas mengenai trend terkini penurunan harga runcit petrol dan diesel berikutan penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini sekitar AS$S70 setong sejak beberapa bulan lalu.

Hingga kini kerajaan sudah menurunkan harga minyak empat kali, terbaru awal bulan ini sebanyak 15 sen seliter menjadikan harga petrol RON97 kini RM2.15 seliter, RON92 pula RM2.05 seliter, manakala diesel RM2.05 seliter.

Beliau berkata, ada kemungkinan harga runcit petrol dan diesel ditetapkan pada paras RM2 seliter jika berdasarkan kepada trend penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.

“Macam saya selalu katakan, bulan Oktober harga purata minyak mentah dunia AS$70 setong dan dijangka pada November ini, harganya dibawah paras AS$70 setong.

“Tentunya kita akan lihat penurunan bagi harga runcit selaras penurunan harga purata minyak mentah di pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah biarpun harga runcit bahan api ketika ini lebih rendah berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Pada majlis itu, Shahrir turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Beretika 2008, anjuran Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi kategori syarikat besar, tempat pertama dimenangi Bukit Kiara Properties, Kuala Lumpur, kedua National Semiconductor Sdn Bhd, Melaka dan ketiga Flextronics Technology (Shah Alam) Malaysia, Selangor.

Kategori syarikat sederhana dimenangi Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), kedua, Segi Perkasa (M) Sdn Bhd, Kuala Lumpur dan ketiga, Supreme OEA Trading & Services Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Kategori syarikat kecil pula dimenangi Pusat Tuisyen Sri Wirajaya, Kuala Lumpur, kedua Plus 3 Consultants, Kuala Lumpur dan Koperasi Tadika Minden Bhd, Pulau Pinang.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081112094841/Article/index_html

Maut ditikam amah


Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my



DI SITU...beberapa jiran menunjukkan rumah warga emas
yang dipercayai ditikam pembantu rumahnya.



KUANTAN: Seorang wanita warga emas sempat berjalan terhoyong-hayang dalam keadaan kesakitan sebelum rebah dan meninggal dunia di depan rumahnya di Taman Perumahan Karang Maju di sini, dipercayai ditikam pembantu rumah yang baru empat hari bekerja, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Miyati Bakri, 69, dikatakan ditikam di dada oleh pembantu rumah berusia 16 tahun itu.

Ketika kejadian, mereka tinggal berdua di rumah berkenaan berikutan anak dan menantu mangsa bekerja.

Gadis itu melarikan diri dengan meninggalkan Miyati yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Bagaimanapun, mangsa tetap menggagahkan diri bangun dan berjalan keluar bagi meminta bantuan jiran sebelum rebah dan meninggal dunia di depan rumah.

Seorang jiran yang enggan dikenali, berkata dia berada di luar rumah apabila ternampak mangsa berjalan sambil menunduk dan memegang dada yang berlumuran darah sebelum terjatuh.

Saya bersama beberapa jiran lain cuba mendapatkan mangsa yang ketika itu masih bernafas. Kami terkejut melihat dadanya yang berdarah sebelum membantu mengangkatnya masuk ke dalam rumah.

“Bagaimanapun, mangsa sudah meninggal dunia sebelum kami sempat menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, ada kemungkinan mangsa ditikam pembantu rumahnya yang baru bekerja berikutan dia dilihat beberapa kanak-kanak yang bermain berlari keluar dari rumah berkenaan.

“Mangsa tinggal bersama anak dan menantunya sejak lebih dua tahun lalu manakala pembantu rumah itu baru diambil bekerja bagi menjaga mangsa yang sering sakit,” katanya.

Sementara itu, seorang anak mangsa yang ditemui di tempat kejadian, berkata dia sama sekali tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana perwatakan pembantu rumah itu begitu baik.

“Kami sendiri menjemput dia yang berasal dari Kalimantan, Indonesia, dari rumah keluarga angkatnya di Klang Gate, Hulu Klang, Selangor.

“Malah, saya turut membawanya ke rumah saya di Temerloh dan menerangkan mengenai tugas yang perlu dilakukannya,” katanya.


Menurutnya, mereka menggunakan khidmat pembantu rumah itu untuk menemani mangsa yang uzur.

Tetapi selepas berada di rumah itu, gadis Indonesia terbabit mengadu tidak selesa dan mahu pulang ke rumah keluarga angkatnya.

“Kami memintanya bersabar dan berjanji menghantarnya pulang hujung minggu ini tapi tidak sangka pula dia sanggup melakukan perbuatan sekejam itu terhadap wanita yang uzur,” katanya.

Mengulas kes terbabit, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, suspek ditahan di Perumahan Damansara, tidak jauh dari tempat kejadian, selepas melarikan diri dari rumah mangsa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081112094913/Article/index_html

‘Jangan cari, kita mahu kebebasan’


KUALA LUMPUR: “Seandainya Zarith keluar dari rumah ini, terputuslah ikatan keluarga antara kita, saya inginkan kebebasan dan jangan cari kita (Zarith) lagi,” demikian catatan terakhir Zarith Sofia Ibrahim, 14, (gambar) dalam nota ditemui ibunya sejurus menghilangkan diri dari kediaman keluarganya di Taman Indah, Bukit Siput, Segamat, Johor.

Malah gadis itu turut membawa bersama semua album gambarnya dipercayai bagi mengelak ahli keluarga mengesannya dengan menyebarkan gambar berkenaan.

Ibu mangsa, Zaiton Abdullah, 46, dalam keadaan sebak menyatakan rasa pelik berhubung kehilangan anak gadisnya itu.

“Malam sebelum menghilangkan diri, dia (Zarith) meminta izin untuk keluar ke tapak pesta berhampiran rumah bersama rakannya yang lain.

“Saya mengizinkannya dan dia yang juga anak bongsu daripada tiga beradik langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah berkelakuan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Namun, keesokan harinya Zaiton menemui sekeping nota yang ditinggalkan anak gadisnya itu di atas katil.

Kedua-dua ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

Harian Metro difahamkan, Zaiton bersama suaminya berusaha mengesan anak bongsu mereka termasuk bertanyakan rakan terdekat mangsa bagi mendapatkan maklumat mengenai kehilangan gadis itu.

“Kami sekeluarga merayu Zarith kembali ke pangkuan keluarga dan meneruskan sesi persekolahan yang turut ditinggalkannya, malah kasih sayang kami tidak pernah surut terhadapnya,” katanya.

“Namun segalanya hampa, rakan-rakannya langsung tidak mengetahui di mana dia berada malah saya difahamkan dia juga tidak mempunyai teman lelaki.

“Sudah bermacam cara kami lakukan termasuk melakukan sembahyang hajat semata-mata untuk mendapat petunjuk di mana dia (Zarith) berada,” katanya.


Malah, Zaiton menegaskan tiada sebarang selisih faham berlaku dengan Zarith sebelum kejadian itu sama ada dengan ibu bapa mahupun adik beradiknya yang lain.

“Kami sekeluarga merayu Zarith kembali ke pangkuan keluarga dan meneruskan sesi persekolahan yang turut ditinggalkannya malah kasih sayang kami tidak pernah surut terhadapnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081112094931/Article/index_html


***Maaf , tiada sebarang gambar disertakan dalam article ini.***

Sejuk, kelaparan


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



HULU LANGAT: Teruja untuk menakluki Gunung Nuang tanpa membawa kelengkapan dan bekalan makanan mencukupi, sekumpulan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak hanya tersesat dalam hutan tebal selama lebih 13 jam, malah turut diancam kebuluran.

Dalam kejadian malam kelmarin, kumpulan pelajar berusia awal 20-an itu mendaki Gunung Nuang di sini, pertama kali tanpa mengetahui cabaran getir yang menanti mereka.

Sumber Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata, semua penuntut lelaki itu yang memulakan pendakian jam 8 pagi dari kaki gunung itu, dipercayai bercadang menawan puncaknya sebelum keluar dari hutan terbabit pada waktu petang.


Namun, hujan lebat menyebabkan mereka terkandas sebelum gagal mencari jalan keluar.

Malah, cuaca sejuk selain keletihan mengakibatkan hampir semua pelajar terbabit tidak berdaya berjalan menuruni lereng gunung berkenaan.

Keadaan persekitaran yang semakin gelap juga menghantui mereka.

Enam daripada pelajar berkenaan mengambil keputusan berpecah sebelum keluar dari hutan terbabit bagi meminta bantuan di Balai Polis Batu 18, Hulu Langat di sini.

Susulan itu, pihak polis segera menghubungi JPAM Wilayah Persekutuan sekitar jam 7 malam bagi melakukan operasi mencari dan menyelamatkan baki mangsa yang terkandas itu.

Hasil aduan diterima, seramai 18 anggota dan tiga pegawai JPAM Wilayah Persekutuan diketuai Lt Muda Hafiz Ismail bersama tiga anggota Unit Komunikasi JPAM Wilayah Persekutuan, bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang semakin lemah.

“Anggota penyelamat JPAM terpaksa merentasi sungai dan memanjat cerun gunung sebelum menemui semua mangsa sekitar jam 10 malam.

“Sebaik ditemui, semua mangsa yang kelaparan terus menjamah roti yang kami bawa hingga habis. Malah, mereka turut meneguk air mineral kami. Ini jelas menunjukkan mereka teramat lapar dan dahaga,” katanya.

Menurutnya, anggota JPAM memberikan rawatan kepada beberapa mangsa yang keletihan sebelum dipapah menuruni gunung berkenaan.

“Cuaca gelap selain laluan pendakian yang curam menyebabkan semua mangsa hanya dapat dibawa keluar sekitar jam 11 malam. Mereka diberikan rawatan sekali lagi bagi memastikan benar-benar pulih.

“Beberapa anggota polis turut memberi ingatan dan nasihat kepada penuntut terbabit supaya terlebih dahulu mendaftar nama di balai polis paling hampir dengan gunung berkenaan sebelum memulakan pendakian,” katanya.


Menurutnya, prosedur itu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan pantas boleh diambil sekiranya pendaki didapati sesat atau tidak turun pada waktu dijadualkan.

“Kes pelajar atau orang awam yang terkandas atau sesat di Gunung Nuang sudah kerap kali berlaku berpunca sikap pendaki sendiri yang mengambil mudah dan menyangka ia mudah ditawan.

“Mereka (pendaki) biasanya tidak membawa kelengkapan perkhemahan, pakaian bersesuaian, makanan mencukupi dan alat pendakian menyebabkan masalah itu sering terjadi hampir saban bulan,” katanya.



http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20081112085550/Article

Tembok Berlin dilupakan


MAJORITI remaja di Jerman tidak tahu siapa yang membina Tembok Berlin.

--------------------------------------------------------------------------------

SEMBILAN belas tahun selepas kejatuhan Tembok Berlin, bayangan sejarahnya semakin pudar dalam kalangan remaja di Jerman. Malah, ramai di antara mereka tidak tahu siapa membinanya.

Tembok itu dibina oleh bekas kerajaan komunis Jerman Timur pada tahun 1961. Kejatuhannya pada 9 November 1989 sekali gus membuka jalan untuk penyatuan dua negara Jerman setahun kemudian.

Tetapi hari ini, golongan muda di sana menunjukkan minat yang sedikit untuk memahami sejarah Jerman Timur, menyebabkan ahli politik bimbang tentang risiko kehilangan memori yang dikemukakan untuk proses demokrasi.

"Dari tahun ke tahun, German Democratic Republic (GDR) yang dikenali sebagai komunis Jerman Timur menjadi lebih popular. Ramai kini mengingatinya sebagai negara yang beradab di mana ia penuh dengan pekerjaan," menurut laporan yang dipetik dari akhbar Berliner Kurier baru-baru ini.

"Imej Jerman Timur semakin dilupakan. Terdapat kurang sentuhan kepentingan terhadap peranan yang dimainkan oleh SED (Parti Komunis) atau Stasi (polis rahsia)," kata pakar sains politik, Uwe Hillmer.

"Lebih ramai orang berfikir bahawa Jerman Timur sebagai bukan negara demokrasi mahupun diktator," tambahnya.

Tetapi hakikatnya, sebahagian bekas ahli politik Jerman Timur berpeluang melakukan comeback (kemunculan semula) dengan ramai di antara mereka menyertai parti berhaluan kiri, Die Linke.


RUNTUHNYA Tembok Berlin pada 9 November 1989 membuka jalan untuk penyatuan dua negara Jerman setahun kemudian.

--------------------------------------------------------------------------------

Secara tidak langsung, ia menjadikannya sukar untuk mengakses atau mengetahui sejarah Jerman Timur dengan cara objektif.

Untuk badan kerajaan yang bertanggungjawab memelihara arkib Stasi, Jerman telah memindahkan kepercayaan pada tahun 1990-an bahawa 'tidak semua teruk di Jerman Timur' kepada persoalan 'apa yang sebenarnya amat teruk'?

Tinjauan yang dilakukan baru-baru ini oleh Berlin Free University (FU) turut menjelaskan bagaimana generasi muda tahu mengenai bekas rejim komunis, yang ditubuhkan di timur Jerman oleh rampasan paksaan Soviet selepas Perang Dunia Kedua.

Menurut tinjauan tersebut, sesetengah daripada remaja berusia 15 hingga 17 tahun di timur Jerman, tidak berfikir bahawa GDR adalah kepimpinan diktator. Di barat Jerman pula, anggarannya ialah satu daripada tiga.

Manakala setengah daripada 5,200 kanak-kanak yang mengundi berfikir Stasi dengan mudah menyediakan agensi perisikan biasa dan merupakan mereka yang menghabiskan banyak masa dan usaha mengintip rakyat di rumah.

Malah, tinjauan menunjukkan majoriti pelajar sekolah di Jerman tidak mengetahui bila atau siapa yang membina Tembok Jerman sepanjang 155 kilometer daripada konkrit teguh dan kawat berduri yang merupakan sebahagian 'Tabir Besi' yang menjadi pemisah antara timur dan barat negara itu selama lebih 40 tahun.

Hanya satu daripada tiga penduduk yang menetap di timur mengetahui ia dibina oleh kerajaan GDR sementara yang lain berfikir, ia dibina sama ada oleh Jerman Barat atau sekutunya dari Barat.

Di samping itu, golongan muda juga mempunyai pengetahuan politik yang bercampur-campur dengan suku daripadanya mempercayai bahawa bekas Canselor Jerman Barat, Willy Brandt dikenali kerana polisinya terhadap hubungan ketegangan dengan Timur dan merupakan pemimpin komunis Jerman timur. Malah, berdasarkan tinjauan lain, sebahagiannya berfikir Adolf Hitler mengetuai Jerman Timur.

Mengajar sejarah Jerman moden adalah satu cabaran, terutamanya di wilayah timur Jerman apabila ia bermaksud untuk membincangkan peranan yang dimainkan oleh bekas kerajaan komunis, menurut Hillmer.

"Di beberapa sekolah, sesetengah guru masih berdebat bahawa kepimpinan GDR tidaklah semuanya teruk," ujar Hillmer.

Berdasarkan tinjauan FU, kanak-kanak di selatan Jerman, Bavaria tahu lebih banyak mengenai sejarah Jerman Timur berbanding mereka yang tinggal di negara itu sendiri.

Menurut Hillmer lagi, bukan hanya kanak-kanak yang keliru tetapi orang dewasa juga mempunyai masalah untuk menghargai sejarah lampau.

"Ini kerana sebahagian penduduk kini mempunyai pekerjaan dan rumah sekali gus mahu melupakan aspek kepimpinan diktator parti tersebut."

Kurator muzium GDR, Stefan Wolle menganggap semua itu memeranjatkan seperti mana mereka yang tinggal di Timur apabila setiap hari, mereka berkonfrontasi dengan polis negeri.

"Pihak parti politik sentiasa terlibat dalam hubungan peribadi. Masalah perkahwinan, penceraian, ketagihan alkohol, kesalahan kecil kanak-kanak dan semuanya dibincangkan dalam mesyuarat politik," ujar Wolle dalam artikel yang diterbitkan sebuah akhbar.

Bagi penduduk di Barat, ramai di antara mereka memilih untuk melupakan sejarah lampau Jerman Timur kerana mereka tidak lagi peduli tentangnya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

Mengharap Sungai Peralla



AZAB dan menyeksakan. Itulah yang terpaksa dihadapi oleh lebih 1,000 penduduk Kampung Peralla 2 sejak lebih 20 tahun yang lalu, kerana ketiadaan bekalan air bersih.

Mujur ada Sungai Peralla. Air sungainya yang mengalir lesu menjadi tempat bergantung dan penyambung kelangsungan hidup penduduk kampung yang rata-ratanya miskin dengan meraih rezeki menoreh getah.

Sudah menjadi rutin wajib, mereka berulang-alik mengangkut air untuk kegunaan setiap hari seawal pukul 5.00 pagi. Bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan punca air itu, mungkin bersyukur kerana tidak perlu menjinjing jauh baldi berisi air.

Agak malang bagi yang tinggal jauh kerana ada yang kering baju di badan, baru sampai ke rumah. Yang mampu, menggunakan motosikal untuk mengangkut air yang diisi di dalam tong.


PENDUDUK yang mampu akan mengangkut air menggunakan motosikal tetapi yang tidak mempunyai jentera itu, terpaksa memikulnya ke rumah.

--------------------------------------------------------------------------------

Paling lega jika ada yang bermurah hati, akan membenarkan penduduk menumpang kenderaan pacuan empat roda mereka untuk kerja-kerja memunggah tong dan baldi air yang sudah menjadi pemandangan biasa di kampung yang agak tersorok ini.

Bagi kebanyakan mereka, Sungai Peralla menjadi nadi kehidupan seharian. Air sungai itulah yang digunakan untuk memasak, mandi, membasuh pakaian dan disimpan untuk kegunaan musim kemarau dan musim banjir.

Laluan bertebing dan agak licin untuk sampai ke gigi sungai, membuatkan penduduk terpaksa lebih berhati-hati. Setiap pagi, tengah hari dan petang, ada saja yang mengerumuni, terutama kanak-kanak sekolah yang mandi-manda sebelum atau baru pulang dari sekolah.

Menurut Zahari Che Mud, 42, masalah air di kampung itu sememangnya membebankan penduduk yang terlibat, namun kerana kekangan hidup sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak seberapa membuatkan mereka tidak ada jalan lain untuk terus begini.

"Kami terpaksa mengangkut air setiap hari bagi memastikan urusan seperti memasak dan membasuh pakaian dapat dilakukan. Bila hujan di hulu sungai, air akan berkeladak dan kotor, tapi nak tak nak, terpaksa juga bergantung kepada air sungai itu kerana ia satu-satunya sumber air yang ada di sini.

"Ada juga penduduk yang gali perigi, tetapi air tak berapa elok, airnya berbau seperti karat menyebabkan penduduk lebih gemar guna air sungai," katanya.


--------------------------------------------------------------------------------

Mek Som Teh, 65, yang lahir di kampung itu berkata, sudah puluhan tahun beliau bergantung kepada air sungai itu untuk mandi, membasuh pakaian dan memasak.

"Setiap hari, tak tahulah berapa kali terpaksa ulang-alik ke sungai. Nak bawa balik ke rumah air banyak-banyak, nenek tak larat," katanya. Masalah air juga pernah mengorbankan nyawa seorang pemuda yang tertimbus ketika menggali perigi untuk kediaman keluarganya.

Pengalaman hampir maut tertimbus dalam perigi yang digali rakan baiknya, sukar dilupakan Mohd Ikram Abdul Rashid. Paling menyedihkan, rakannya, Mat Rapi Husin, 36, tidak sempat menyelamatkan diri dan maut dalam kejadian pada tahun 2005 itu.

"Arwah kata, dia gali perigi tu kerana tak mahu melihat anak isteri dan jiran berdekatan rumahnya bersusah-payah ke sungai untuk ambil air tiap-tiap hari," kata Mohd Ikram. Kepayahan serupa turut dilalui Mek Yam Salleh, 55, yang bergantung hidup kepada air sungai itu sejak 26 tahun yang lalu.

"Susah hidup macam ni, terutama semasa sakit. Dulu masa pantang lepas bersalin dan ada anak kecil memang sedihlah. Selalu menangis bila terpaksa tinggal anak untuk ambil air, bimbit baldi bawa balik ke rumah. Sakit-sakit pun terpaksa buat," katanya.

Ditambah pula dengan risiko dan bahaya yang dihadapi penduduk setiap kali terpaksa mengambil air pada waktu malam, ia sangat-sangat meresahkan.


LEBIH 1,000 penduduk ini bergantung pada sungai untuk bekalan air seharian.

--------------------------------------------------------------------------------

"Kebanyakannya akan simpan bekalan di rumah masing-masing, namun ada juga yang kehabisan air yang disimpan, terpaksa meredah gelap malam untuk ke tebing sungai yang dikelilingi semak dan kebun getah. Bimbang juga terserempak dengan haiwan buas dan berbisa," katanya.

Bagi yang menggunakan pam pula turut menghadapi masalah sendiri. Setiap kali bekalan elektrik terputus, bekalan air juga terputus.

"Kampung Peralla 2 ni, , kalau tak putus bekalan elektrik seminggu sekali, dah boleh kira bertuahlah tu," katanya.

Apa yang diharapkan penduduk, kata beliau, sebuah 'tandak' sebagai tadahan air sungai yang boleh diguna untuk mengepam air ke rumah-rumah yang memerlukan air.

"Tandak tidak memerlukan kos dan penyelenggaraan yang tinggi berbanding telaga tiub atau membina loji.

"Sebelum ini, memang Kesedar sudah bina loji sungai itu, namun terbiar dan tidak dapat lagi digunakan lebih 10 tahun lalu kerana kos penyelenggaraan bulanan yang tinggi tidak mampu dibayar majoriti penduduk. Sejak itu, penduduk di sini kembali menggunakan sungai sebagai sumber air utama mereka," tambahnya. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Remaja misteri muncul kembali


BAMJON duduk sebelum memberi ucapan kepada sejumlah penduduk di kampung Ratanpuri, Nepal kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

KATHMANDU - Beribu-ribu orang mengunjungi satu kawasan hutan terpencil di tenggara Nepal semalam apabila seorang remaja yang dipercayai sebagai kelahiran semula Buddha kembali muncul selepas lebih setahun menghilang, kata seorang anggota polis, Prakash Sen semalam.

Menurut Sen, remaja itu, Ram Bahadur Bamjon yang kini berumur 17 tahun turut bercakap kepada beberapa penganut agama Buddha dari kampung-kampung berhampiran di kawsan hutan Ratanpuri terletak 150 kilometer dari tenggara Kathmandu.

Bamjon sebelum ini mendapat tumpuan media antarabangsa pada 2005 kerana duduk bersila di bawah sebatang pokok dalam hutan tanpa makan dan minum hampir 10 bulan.

Menurut Sen, ratusan orang termasuk dari India sanggup berjalan sehingga lima kilomter hanya untuk melihat remaja itu.

"Remaja itu berbual-bual dengan orang ramai yang berdiri di tepi sebuah kuil. Dia memiliki rambut paras bahu manakala tubuhnya dililiti dengan kain putih.

"Saya berpendapat dia mempunyai kualiti sebagai Buddha kerana ramai orang sanggup berjalan untuk melihatnya," kata Sen.

Buddha iaitu pengasas kepada kepercayaan Buddha adalah seorang putera raja Lumbini di tenggara Kathmandu lebih 2,600 tahun lalu. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Sekolah khas untuk mak nyah



MARYANI berdoa di sekolah khas untuk golongan mak nyah di Yogyakarta, Indonesia.

--------------------------------------------------------------------------------



SEORANG mak nyah menunggu pelanggannya di sebuah stesen kereta api di Yogyakarta, Indonesia.

--------------------------------------------------------------------------------

YOGYAKARTA - Rumah seorang mak nyah, Maryani menjadi sekolah pendidikan Islam untuk golongan transeksual pertama di Yogyakarta, Indonesia.

Sekolah itu diberi nama Senin-Kamis dan dalam tempoh dua kali seminggu, kira-kira 20 mak nyah yang memakai seluar jeans ketat dan skirt mengunjunginya.

Mereka mengunjunginya untuk belajar membaca al-Quran dan memahami dengan lebih mendalam mengenai agama Islam.

Di negara itu, golongan mak nyah dikenali dengan gelaran waria.

"Waria (mak nyah) adalah juga manusia, kami mahu menjadi orang yang beriman.

"Kami turut mempunyai satu hak untuk pergi ke syurga dan kami mempunyai hak untuk pergi ke neraka.

"Kami perlu mengingati Tuhan kerana kami sudah diberikan kehidupan," kata Maryani.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan takdir ini dan saya menjalani hidup seperti ini," jelasnya.


Maryani yang berumur 48 tahun dilahirkan sebagai seorang lelaki dan dibesarkan sebagai penganut agama Kristian Katholik.

Dia menghabiskan masa bertahun-tahun meminum minuman keras dan menawarkan perkhidmatan seks di jalanan sebelum menganut Islam dan kini mempunyai seorang anak angkat perempuan, Rizky Aryani berumur lapan tahun.
Menurut Maryani, kini adalah menjadi tugasnya untuk membawa Islam kepada rakan-rakan mak nyahnya.

Waria di Indonesia juga membawa maksud lelaki yang memilih untuk hidup sebagai wanita.

Sebahagian mereka menjalani pembedahan atau mengambil hormon untuk meningkatkan penampilan kewanitaan termasuk menanam implan bagi memiliki payu dara.


MARYANI melayani kerenah anak angkatnya di rumahnya yang menjadi sekolah khas untuk golongan mak nyah di Yogyakarta, Indonesia.

--------------------------------------------------------------------------------

Bagaimanapun, mereka tidak melakukan operasi pembedahan untuk menukar jantina.

Setakat ini dianggarkan terdapat 300 mak nyah dalam komuniti di Yogyakarta.

Golongan mak nyah menjual tubuh sebagai salah satu daripada punca pendapatan.

Mereka mencari pelanggan pada waktu malam di jalanan dan di landasan kereta api.

Namun, sekolah Senin-Kamis yang ditubuhkan pada Julai lalu mempunyai polisi untuk tidak memberi khutbah dan mengelak desakan kepada mak nyah supaya menjadi lelaki sejati atau wanita.

Maryani turut menyatakan dia gembira dengan kehidupannya sekarang dan tidak merancang untuk menjalani pembedahan menukar jantina.

"Saya tidak mahu menjalani pembedahan kerana saya bersyukur kepada Tuhan berhubung apa yang diberikan kepada saya.

"Jika saya telah menjalani pembedahan, saya sebenarnya melanggar kehendak Tuhan," katanya.


Guru-guru di sekolah itu adalah terdiri daripada 25 ustaz dari sebuah sekolah agama yang dikendalikan oleh Hamrolie Harun dan terletak berdekatan rumah Maryani.

Seorang guru, Heri Suchaeri yang sudah berkahwin dan mempunyai anak berkata, pada mulanya dia mengajar di sekolah Senin-Khamis dengan diselubungi dengan perasaan bimbang.

"Tetapi, apabila kami pergi kesana dan kami mengikuti kehidupan mereka, mereka turut mempunyai perasaan, mahu bersolat dan mempunyai Tuhan," katanya.

"Sasaran kami adalah dengan tidak menyatakan anda perlu menjadi seorang lelaki, kami tidak mempunyai hak untuk menyatakan sedemikian," jelas Heri.

Bagi pelajar-pelajar di sekolah itu, terdapat perasaan bersalah dan tentangan dalam sebuah masyarakat.

"Jika anda bertanya kepada saya bahawa keluar pada waktu malan adalah tidak baik, tetapi itu merupakan satu-satu caranya untuk kami memperoleh pendapatan untuk keperluan seharian," kata seorang mak nyah, Tika Aurora.

Dia yang berumur 26 tahun menyatakan demikian berhubung bayaran sebanyak AS$1.86 (RM6.67) bagi mendapatkan khidmat seksnya.

"Prinsip saya adalah jika saya menjalani kehidupan seperti ini pada masa depan,apabila tua, saya masih seperti ini," katanya.

"Kami turut mempunyai harapan seperti wanita lain. Kami berharap untuk hidup dengan seseorang bersama saya, berharap mendapatkan anak lelaki. Hidup seperti manusia biasa," kata Tika.

Bagi pelajar-pelajar itu, sekolah itu memberikan mereka peluang untuk mengikuti ajaran Islam.

- AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Obama di White House


OBAMA dan Bush berbual di Oval Office. White House kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

WASHINGTON - Terbit sahaja matahari Barack Obama akan menghantar dua anak perempuannya ke sekolah di Chicago tetapi menjelang tengah hari beliau sudah berada di Oval Office di White House, lapor sebuah akhbar semalam.

Begitulah hebatnya kehidupan Obama dan isterinya, Michelle.

Obama sempat mengucup dua anak perempuannya, Malia, 10 dan Sasha, 7, serta membantu mereka keluar dari kereta kalis peluru sebelum kedua-dua pergi ke pekarangan sekolah.

Namun, Obama kemudian bergegas ke White House yang menempatkan pejabat serta kediaman Presiden AS.

Namun, White House tidak pernah menyaksikan perpindahan kuasa paling bersejarah sejak lebih 200 tahun pembentukan Amerika Syarikat (AS).

Hampir 22 bulan sejak Obama memulakan kempen, beliau kini boleh bermimpi untuk berjalan memasuki Oval Office sebagai Presiden AS pertama berkulit hitam.

Kelmarin, sudah tertulis dalam sejarah bahawa beliau melihat sendiri keadaan pejabat barunya untuk tempoh empat tahun akan datang.

Beliau tidak akan memperoleh 'kunci' ke White House sehingga majlis angkat sumpah diadakan pada 20 Januari depan.

Ketika Obama dan Presiden George W. Bush berbual-bual di Oval Office, wanita pertama AS, Laura Bush menemani Michelle melawat kompleks White House yang mempunyai 132 bilik.

Kedua-dua pemimpin itu menekankan bahawa perlunya peralihan kuasa dilakukan dalam keadaan lancar terutama ketika AS berhadapan dua perang dan krisis ekonomi.

Setiausaha Akhbar White House, Dana Perino berkata, kedua-dua pemimpin itu berbincang panjang lebar dan semuanya berjalan dalam suasana harmoni dan konstruktif.

"Saya tidak fikir ada antara kita yang akan faham situasi itu kerana mereka berada di dalam kedudukan sangat berbeza untuk memimpin negara ini," katanya.

Bush turut menunjukkan Obama kawasan kediamannya termasuk pejabat Presiden, bilik tidur Lincoln dan bilik untuk dua anak gadisnya.

Sementara itu, White House semalam enggan mengesahkan laporan bahawa Obama menekan Bush untuk menyediakan bantuan kepada industri kereta AS yang terjejas akibat krisis kewangan global.

Jurucakap White House, Tony Fratto berkata, perbualan antara Bush dengan Obama kelmarin adalah kekal bersifat peribadi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Waspada empat koperasi palsu


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
berita@kosmo.com.my

PETALING JAYA - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap empat koperasi palsu yang menawarkan pelbagai peluang perniagaan untuk menarik minat pelabur.

Empat koperasi tersebut ialah Koperasi Nabinco, Koperasi Gagasan Berjaya Enterprise, Koperasi Usahawan Siswazah Gagasan dan Koperasi Siswazah Islam Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, hasil aduan orang ramai dan siasatan SKM mendapati, pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menggunakan nama koperasi dan menawarkan perkhidmatan melalui pelbagai cara seperti iklan, internet, akhbar, e-mel dan risalah melalui ejen.

Kata Noh, antara perkhidmatan itu ialah peluang perniagaan dan pelaburan yang memberi pulangan lumayan dalam masa singkat secara tetap serta memberi kemudahan pinjaman dengan faedah yang tinggi tetapi tempoh bayaran sehingga 15 tahun.

"Hasil risikan SKM mendapati kesemua 'koperasi' tersebut tidak wujud, malah alamat yang diiklankan adalah palsu dan sering berubah-ubah," katanya selepas merasmikan Seminar Perniagaan Melalui Internet Dalam Gerakan Koperasi di sini, semalam.

Noh berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak terbabit kerana kesukaran mengesan lokasi mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_14.htm

Buru pekerja asing tanpa permit

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja untuk melipatgandakan operasi pemeriksaan di kilang-kilang bagi mengesan pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja.

Katanya, arahan pemeriksaan itu telah dikeluarkan sejak semalam ekoran lawatan yang dilakukan di sebuah kilang di Ipoh dan mendapati 163 daripada 588 pekerja asing di kilang berkenaan tidak mempunyai permit yang sah.

''Saya dapati ada kilang yang mengupah pekerja asing tanpa permit yang sah, jadi saya mahu ia dipantau oleh pegawai jabatan tenaga kerja di seluruh negara, supaya pekerja yang tidak ada permit ini dikeluarkan dari sektor itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan dokumen pinjaman pendidikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di pejabatnya semalam.

Selain pekerja asing tanpa permit, Subramaniam juga mahu pemeriksaan terhadap kebajikan pekerja asing seperti gaji dan tempat tinggal di sektor perkilangan di negara ini turut dilakukan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Gadai nyawa sebab RM1,000

Oleh SYAKIR SAZILI
dan KUMARA SABAPATTY
berita@kosmo.com.my




ANGGOTA polis memeriksa stesen minyak tempat Mohd. Khairuddin (gambar kecil) mati ditetak di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

IPOH – Demi wang RM1,000, seorang pekerja sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini mati ditetak penyamun.

Semasa kejadian pukul 6.50 pagi, mangsa, Mohd. Khairud- din Mohamed Isa, 42, yang baru dua minggu bekerja dikata- kan sedang bersiap-siap untuk meninggalkan kaunter jualan minyak itu selepas syifnya akan tamat pukul 7 pagi.

“Ketika itulah munculnya lima lelaki yang tidak pakai topeng dan terus meminta mangsa menyerah wang.

“Mangsa enggan menyebabkan seorang suspek yang berparang terus menetak di baha- gian tengkuk dan tangan kanan mangsa,” kata Ketua Polis Dae- rah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias.

Menurut beliau, tindakan suspek itu menyebabkan mangsa yang lebih popular dengan panggilan ‘uztaz’ mati di kaunter tempat dia bekerja.

Katanya, ‘ustaz’ tersebut merupakan Pembantu Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Perak dan bekerja sambilan di stesen minyak itu.

Ujar beliau, suspek tersebut kemudiannya merampas wang RM1,000 dalam kaunter di stesen minyak itu.

Selepas itu, Azisman memberitahu, kesemua suspek tersebut melarikan diri dengan sebuah kereta.

Jelasnya, ketika kejadian terdapat seorang lagi pekerja di dalam premis tersebut, manakala dua lagi pekerja bekerja menjaga pam.

“Seorang pekerja wanita yang baru masuk untuk memulakan syif pagi pula terkejut melihat kejadian itu.

“Dia terus menyelamatkan diri dengan keluar dari premis terbabit,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Awas 'Nadia lawa' tipu orang

Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Gara-gara mahu glamor dengan membayangkan gambarnya akan dipaparkan dalam sebuah majalah, seorang suri rumah kerugian RM5,000 apabila dia ditipu seorang wanita menyamar sebagai wartawan.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Wangsa Maju di sini kelmarin apabila dia dihampiri oleh suspek yang digambar sebagai amat menawan.

Suspek memperkenalkan diri sebagai 'Nadia' kepada mangsa yang berusia 45 tahun dan bagi menyakin dia adalah wartawan, suspek turut membawa sebuah beg kononnya diisi kamera.

"Sebaik mendekati mangsa, Nadia mula bercerita mengenai kerjayanya sebelum memujuk mangsa bergambar kononnya untuk dimuatkan dalam majalah,'' cerita Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.

Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan Nadia terpengaruh sehingga dia sanggup mengikut semua arahannya.

"Nadia kemudiannya mengatur strategi dengan mengarahkan wanita itu memilih pakaian di pusat membeli-belah itu,'' katanya.

Zakaria memberitahu, selepas memilih pakaian, Nadia meminta mangsa mencuba pakaian tersebut.

"Ketika di dalam bilik persalinan, dia turut mengarahkan mangsa supaya membuka barang kemas seperti gelang, rantai dan simpan ke dalam beg tangan mangsa dengan alasan majikannya mahu mencari wanita yang berperwatakan gadis kampung,'' katanya di sini semalam.

Kata beliau, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah mengikut semua arahan Nadia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Pakar pasport, MayKad palsu dicekup


ISHAK menunjukkan sebahagian pasport palsu selepas menahan dua lelaki Sri Lanka di Jalan Kuchai Lama Ahad lalu.

PUTRAJAYA – Orang lain punya pasport, orang lain punya butiran. Itulah kepakaran dimiliki dua lelaki Sri Lanka yang mampu menjual setiap keping pasport palsu dengan harga RM15,000.

Malah kegiatan dua lelaki yang menjadikan sebuah villa di Jalan Kuchai Lama di sini turut mempunyai kebolehan memproses MyKad palsu.

Sindiket yang mula beroperasi sejak setahun itu, tumpas Ahad lalu atas maklumat Kastam Diraja Malaysia yang membuat serbuan di rumah tersebut.

Kastam melaku serbuan itu kerana menyangka rumah tersebut dijadi ‘port’ mengedar dadah.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan ia didapati ‘port’ memproses dokumen palsu menyebabkan kastam telah menyerahkan kes tersebut kepada Jabatan Imigresen.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, selepas menjalankan pemeriksaan di rumah itu, pihaknya menemui 20 pas- port palsu Malaysia, tujuh pasport palsu Sri Lanka, lima palsu pasport India dan satu pasport palsu British.

Turut ditemui sebanyak tujuh keping MyKad palsu.

Menurut beliau, semasa serbuan itu kedua-dua suspek itu cuba menyogok pegawainya dengan tawaran sebanyak RM5,700.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Termakan ayat manis - Lagi mangsa tertipu dengan laman sembang

Oleh HISHAM IDRIS
hisham.idris@kosmo.com.my




LAMAN sembang internet semakin menjadi medan penipu mencari mangsa khususnya wanita yang mudah terpedaya dengan kata-kata manis. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU - Kisah ‘cinta’ palsu di laman sembang siber yang berakhir dengan penipuan kini timbul lagi dengan mangsa terbaru seorang pengurus wanita berusia 43 tahun.

Mengikut cerita mangsa yang berasal dari Kemaman, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang didakwa warga asing pada 2 November lalu.

Suspek yang dikatakan pandai menggunakan kata-kata manis, berjaya memikat hati mangsa untuk membayar RM2,500 semata-mata bagi mendapatkan barangan mewah seperti barang kemas, beg kulit berjenama, komputer riba dan wang tunai AS 5,000.

Namun mangsa itu tidak mengambil iktibar daripada laporan Kosmo! pada 9 Oktober lalu mengenai tiga wanita, juga dari negeri ini, mendakwa kerugian melebihi RM25,000 menerusi taktik penipuan dengan modus operandi yang sama.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Deputi Supritendan Ab. Rahim Abd. Razak berkata, dalam kes terbaru ini, selepas menerima tawaran tersebut, mangsa menerima satu panggilan telefon dari apa yang didakwa sebuah syarikat kurier di KLIA untuk menuntut barang.

Bercakap pada sidang akhbar semalam, beliau berkata, ketika itu mangsa dikehendaki menjelaskan duti Kastam berjumlah RM2,500 bagi memperoleh barang tersebut.

Selepas memasukkan jumlah itu ke dalam akaun yang diminta pada pukul 4 petang hari yang sama, mangsa kemudiannya menelefon suspek.

“Mangsa diberitahu bahawa jumlah itu tidak mencukupi dan diminta memasukkan RM4,600 ke dalam akaun yang sama,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...