Tuesday, April 7, 2009

Dua pengarah bersalah keluar RM50j akaun Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Dua pengarah Metrowangsa Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) Ghazali Atan dan Mohamed Abdul Wahab yang dituduh bersubahat mengeluarkan RM50 juta dari akaun amanah Tabung Haji didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Rosenani Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi dan hujahan peguam bela masing-masing di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Rosenani berkata, terdapat peranan aktif Mohamed terhadap pemindahan wang itu dan pendakwaan telah membuktikan kedua-dua tertuduh dengan sedar membenarkan pemindahan wang itu dibuat.

Ghazali dan Mohamed, dituduh bersubahat mengeluarkan RM50 juta dari akaun berkenaan yang diselenggarakan oleh syarikat itu di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, di sini bagi membuat pembayaran kepada Mimos, bukan pihak yang berhak ke atas wang tersebut.

Kedua-duanya yang berusia 55 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di C12A-1&2, Jalan Selaman 1, Palm Square, Ampang, Selangor antara 18 April dan 24 Mei tahun 2001.

Kedua-dua tertuduh yang berada di dalam kandang kelihatan tenang sepanjang keputusan dibacakan.

Bagaimanapun, Mohamed yang menghadapi dua lagi pertuduhan dilepas dan dibebas setelah Rosenani mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Rosenani menetapkan 7 April ini untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pengimbas badan cetus kebimbangan


GAMBAR menunjukkan imej daripada alat pengimbas terbaru diperkenalkan Pentadbiran Keselamatan dan Pengangkutan (TSA) di beberapa buah lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS).



BANDAR RAYA SALT LAKE - Penumpang-penumpang pesawat di Amerika Syarikat (AS) diminta untuk melalui satu peralatan pengimbas yang menunjukkan imej tubuh yang menembusi pakaian mereka di beberapa buah lapangan terbang, lapor sebuah akhbar semalam.

Teknologi baru yang dimajukan oleh syarikat L3 Communications beribu pejabat di New York itu mencetuskan kebimbangan selepas ia mampu menunjukkan imej yang berada dalam seluar penumpang.

Ia mirip pengimbas yang perah disiarkan dalam filem Total Recallpada 1990 yang menunjukkan tulang rangka penumpang.

Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika menyatakan teknologi itu mungkin terlalu menjejaskan penumpang kerana ia mampu menunjukkan imej kesan pembedahan di bahagian buah dada dan saluran air kencing.

Pihak Pentabdiran Keselamatan dan Pengangkutan (TSA) sudah meletakkan alat itu di beberapa buah lapangan terbang di Bandar Raya Salt Lake, Las Vegas, Miami, San Fransisco, Tulsa, Okla dan Albuquerque dalam satu projek perintis. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_11.htm

Gunting tersekat di kerongkong lelaki


GAMBAR X-ray menunjukkan sebilah gunting yang tersekat dalam kerongkong Lin.



PUTIAN - Gara-gara ketawakan jenaka rakannya ketika mencungkil gigi dengan sebilah gunting, seorang lelaki di China menerima padah apabila dia tertelan yang kemudian tersekat pada kerongkongnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Mangsa, Kong Lin cuba memuntahkan gunting itu keluar tetapi mata perkakas itu yang tajam semakin menusuk ke dalam kerongkong menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan sebuah hospital di sini, timur China.

"Ketika lelaki berumur 27 tahun itu tiba, mukanya pucat dan dia berpeluh tanda kesakitan," kata seorang pakar bedah hospital berkenaan, Dr. Chen Wei.

"Pesakit mengalami kesukaran untuk menelan dan darah bercampur air liur keluar daripada mulut mangsa," tambahnya.

Sekumpulan pakar bedah melakukan pembedahan ke atas Lin tanpa suntikan ubat bius kerana bimbang gunting itu akan menusuk lebih jauh ke dalam kerongkongnya jika dia berada dalam keadaan tidak sedar.

"Pembedahan itu mengambil masa kira-kira 30 minit. Dia bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil pada kerongkongnya," kata Dr. Wei. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Rakyat Malaysia dipenjara

SANGGAU – Mahkamah Daerah Sanggau di Kalimantan Barat menjatuhkan hukuman kepada seorang rakyat Malaysia, Chong Kum Seng 12 tahun penjara dan denda 150 juta rupiah (RM47,164) kerana melakukan perdagangan manusia dan melanggar undang-undang imigresen, lapor sebuah akhbar semalam.

Salah seorang mangsa Seng adalah seorang pelajar sekolah menengah yang diculik di Lampung oleh Sri Eka iaitu rakan subahatnya.

Mangsa itu yang dikenali dengan nama samaran Kuntum menganggap keputusan itu adalah tidak adil. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

April Fool tidak serius

LONDON - Virus Conficker yang menjangkiti berjuta-juta komputer diaktifkan semalam sempena April Fool tetapi ia gagal mendatangkan ancaman serius, lapor sebuah akhbar.

"Conficker telah diaktifkan. Namun, setakat ini operasi Internet berjalan seperti biasa," kata Ketua Penasihat Keselamatan firma F-Secure, Patrik Runald.

Virus itu merebak pada 15 juta komputer sejak musim luruh tahun lalu dan masih berada dalam keadaan pendam tetapi pakar-pakar komputer bersiap-sedia sejak pagi semalam bagi menghadapi kemungkinan ia mula menyerang.

Virus yang juga dipanggil ulat itu sedang menanti arahan selanjutnya dengan mengimbas 50,000 laman web berasingan pada waktu tengah malam kelmarin.

Pakar-pakar bimbang virus itu akan digunakan oleh para perekanya untuk mengawal angkatan 15 juta komputer zombi untuk mencuri maklumat perbankan, menghantar e-mel sampah atau meranapkan laman web utama di internet. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm


SEORANG penunjuk perasaan brlumuran darah (kanan) dekat Bank of England di London semalam.


LONDON - Persidangan Kumpulan 20 (G20) dicemari protes berdarah oleh sejumlah penunjuk perasaan yang memakai topeng hitam bertempur dengan anggota-anggota polis di Bank of England di London semalam.

Kumpulan itu bertindak ganas setelah khabar angin tersebar bahawa pihak polis mahu mengepung penunjuk perasaan sekali gus menyebabkan lebih ramai yang hadir.

Anggota-anggota polis diserang dan satu cawangan Royal Bank of Scotland (RBS) menjadi sasaran ketika sekumpulan pemabuk membuat kacau di Square Mile.

Sejumlah kecil penunjuk perasaan kebanyakannya memakai kain melilit kepala memecah masuk selepas tingkap kaca cawangan bank itu pecah.

Satu mesin pencetak dan beberapa barang lagi dicampak keluar dari tingkap ketika kumpulan itu menggeledah pejabat bank itu.

Kebanyakan penunjuk perasaan itu terdiri daripada kumpulan yang membantah krisis kewangan dan mengetengahkan isu pemanasan global.

Seramai dua penunjuk perasaan memanjat arca Wellington yang terletak bertentangan dengan pintu masuk Bank of England.

Sebanyak 11 penunjuk perasaan ditangkap polis. Beberapa topi keselamatan polis turut dirampas penunjuk perasaan sebelum ia dilambung ke udara.


ANGGOTA-ANGGOTA polis bertempur dengan penunjuk perasaan dekat Bank of England, di London semalam.


Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menafikan terdapatnya perselisihan di kalangan negara-negara kuasa ekonomi dunia.

"Saya mengetahui bahawa anggota-anggota G20 meneruskan cara masing-masing," katanya.

Kawalan keselamatan turut ditingkatkan berikutan ketibaan Obama kelmarin dengan 3,000 kamera keselamatan tertutup (CCTV) ditempatkan di London.

Obama yang tampil pada acara rasmi antarabangsa pertama berhadapan tekanan untuk menunjukkan AS boleh membawa dunia keluar daripada kemelut ekonomi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Taliban mengaku serang polis





Baitullah


BEBERAPA anggota polis meletakkan jambangan bunga di keranda rakan mereka yang terbunuh dalam pengebumian di Lahore semalam.PESHAWAR - Ketua kumpulan Taliban Pakistan, Baitullah Mehsud semalam mengaku bertanggungjawab terhadap serangan sebuah akademi polis di Lahore dan mengancam untuk menyerang Washington.

"Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan di wilayah penduduk berkabilah. Selepas ini kami akan melancarkan lebih banyak serangan," kata Baitullah.

Katanya, Taliban akan membalas dendam terhadap Amerika Syarikat (AS) tetapi bukan dari Afghanistan tetapi di Washington.

Penyerang bersenjata api, bom tangan dan jaket bom menyerbu pusat latihan polis kelmarin di Lahore.

Serangan itu menyebabkan pertempuran selama lapan jam yang hanya berakhir setelah pihak tentera campur tangan.

Seramai sembilan anggota polis kadet, seorang orang awam dan empat penyerang mati.

Baitullah ialah individu yang paling dikehendaki di Pakistan dengan tawaran ganjaran sebanyak AS$5 juta (RM18 juta) akan diberikan kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat sehingga dia berjaya ditangkap.

Ketua Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) itu turut dituduh kerajaan bekas Presiden Pervez Musharraf sebagai individu yang menjadi dalang pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto pada Disember 2007.

Menurut Baitullah, dia juga sudah menubuhkan majlis mujahidin yang menggabungkan beberapa kumpulan militan untuk menyerang kedudukan tentera AS dan Pertubuhan Perikatan Atlantik Utara (NATO).

"Apa yang boleh mereka (Barat) lakukan terhadap saya ialah menjadikan saya mati syahid," kata Baitullah. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Virus serang Internet sempena April Fool

LONDON - Para pemilik komputer disaran supaya berwaspada berikutan virus Conficker dipercayai akan menyerang Internet hari ini bersempena 'hari penipuan' atau April Fool, lapor sebuah akhbar semalam.

Virus yang sudah menjangkiti lebih 10 buah komputer di seluruh dunia itu dibimbangi boleh melumpuhkan sistem jaringan Internet.

Pakar-pakar memberi amaran virus itu boleh digunakan untuk mencari dan mencuri nombor dan kata laluan kad kredit atau melumpuhkan laman web seperti Google.

"Komputer-komputer yang dijangkiti Conficker akan menjadi rangkaian komputer zombie dan boleh digunakan untuk menghantar e-mel atau menyerang laman web lain," kata seorang pegawai di firma keselamatan Internet Sophos, Graham Cluley.

Pengeluar perisian komputer terbesar di dunia, Microsoft sudah menawarkan perisian percuma untuk memusnahkan virus itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Ketua penjara Khmer Rouge minta maaf


GUEK EAV membaca kenyataan dalam perbicaraannya di sebuah mahkamah di Phnom Penh, Kemboja semalam.



PHNOM PENH - Bekas ketua penjara rejim Khmer Rouge, Kaing Guek Eav semalam memohon maaf kepada semua mangsa kekejamannya ketika mengurus penjara Tuol Sleng yang menyaksikan lebih dua juta rakyat Kemboja terbunuh, tiga dekad lalu.

Guek Eav yang turut dikenali sebagai Duch memberitahu mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa dia adalah kambing hitam anggota kanan pergerakan pelampau komunis.

Bekas guru berumur 66 tahun itu memberitahu, dia hanya mengikut arahan pegawai atasannya kerana mahu melindungi keluarganya sendiri.

Penjara Tuol Sleng yang turut dikenali sebagai S21 menjadi lokasi lebih 15,000 penduduk Kemboja dibunuh antara tahun 1975 hingga 1979 dalam era komunis.

"Saya bertanggungjawab terhadap semua jenayah di S21 terutama penyeksaan dan pembunuhan. Biarlah saya memohon maaf kepada tahanan yang masih hidup dan keluarga mangsa yang terbunuh," katanya.

Menurut Guek Eav, ketika itu, keluarganya adalah lebih penting berbanding tahanan-tahanan di S21.

Guek Eav berhadapan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Dia merupakan seorang daripada lima anggota kanan Khmer Rouge yang ditahan pihak mahkamah.

Antara penderaan yang dibuat di S21 ialah kuku kaki dan tangan tahanan dicabut dan renjatan elektrik terhadap bahagian sulit tahanan, kata pendakwa raya bersama antarabangsa, Robert Petit. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Pembunuh bersiri Indonesia terbit album


GAMBAR menunjukkan Verry dalam tahanan polis pada 4 Mac lalu di Depok, Indonesia.


DEPOK, Indonesia - Bagi seorang lelaki yang berdepan dengan hukuman mati kerana dituduh melakukan pembunuhan bersiri, Verry Idham Henyansyah menyelitkan unsur-unsur jenaka dalam album yang akan diterbitkan dalam bulan ini berjudul My Last Performance.

Verry berumur 31 tahun sudah menjadi terkenal berikutan pengakuannya dalam satu siri pembunuhan melibatkan seorang ibu dan anaknya termasuk pendedahan kehidupannya sebagai seorang lelaki gay di Indonesia.

Kini Verry yang lebih dikenali sebagai Ryan mencari populariti dengan buku riwayat hidupnya yang diterbitkan pada Februari lalu dan koleksi lagu-lagu pop nyanyiannya dijangka dikeluarkan dalam bulan ini.

Verry ditangkap pada Julai tahun lalu selepas beberapa beg mengandungi cebisan badan kepunyaan salah seorang mangsanya, Herry Santoso ditemui di tepi sebatang jalan raya di Jakarta.

Dia kini ditahan di sebuah penjara.

Penemuan cebisan mayat itu menyebabkan polis menemui 10 kubur di belakang rumah ibu bapa Verry di kawasan pedalaman Jawa Timur.

Pihak pendakwa raya menuntut Verry ditembak oleh skuad penembak berhubung kesalahan membunuh itu dan keputusan dijangka diputuskan mahkamah dalam bulan ini.

Verry menyatakan dia membunuh Herry kerana ditawarkan sejumlah wang dan sebuah kereta supaya lelaki itu menjalin hubungan seks dengan kekasih lelakinya.

"Saya cemburu dan berang. Saya hanya menyedari dia (Herry) mati selepas saya melihat cebisan dagingnya dalam pangkuan saya, darah dan bau busuk" kata Verry dari bilik penjaranya.

Menurutnya, dia membunuh seorang wanita muda selepas dia cuba untuk menggodannya.

Dia turut membunuh anak wanita itu bagi membunuh saksi kejadian.

"Kebanyakan mangsa adalah lelaki gay seperti saya. Mereka membuatkan saya berasa murah. Saya berasa marah, kami bergaduh dan saya secara tidak sengaja membunuhnya," kata Verry. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Uniform tudung anggota bomba diperkenal di England

Uniform tudung anggota bomba diperkenal di England


SEORANG anggota bomba Lincolnshire memakai uniform bertudung.


LINCOLN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Lincolnshire, England memperkenalkan uniform bertudung khusus yang sesuai bagi kegunaan anggota bomba wanita beragama Islam di jabatan berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Langkah itu dilaksanakan untuk menarik lebih ramai anggota baru tanpa mengira latar kaum dan agama supaya berkhidmat dalam agensi tersebut.

Seragam baru itu yang lengkap dengan tudung memenuhi tuntutan Islam diuji oleh seorang anggota bomba wanita Lincolnshire, Julie Smith pada Ahad lepas.

"Ia berwarna kuning dan amat selesa," katanya.

Ketua Pegawai Bomba Lincolnshire, Mike Thomas berkata, uniform itu akan melenyapkan imej tradisi bahawa anggota bomba sinonim dengan pekerjaan penduduk kulit putih.

"Kami berharap seragam baru ini akan menggalakkan wanita dari berbagai etnik supaya menyertai kami kerana mereka boleh menjadi contoh terbaik kepada masyarakat," katanya. - 

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Cacing gergasi makan batu karang


CACING gergasi ini ditemui dalam Akuarium Blue Reef, Cornwall, Britain.


CORNWALL - Kakitangan sebuah akuarium taman laut terkejut apabila menemui seekor cacing laut gergasi sepanjang 1.2 meter yang dipercayai memakan batu karang dan ikan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Cacing yang dinamakan Barry itu ditemui bersembunyi di bawah batu karang apabila beberapa pekerja menggeledah akuarium tersebut selepas mendapati ikan dan batu karang di Akuarium Blue Reef hilang sejak beberapa bulan lalu.

Cacing spesies polychaete itu berasal dari laut beriklim tropika.

"Terdapat 'benda' yang memakan batu karang kami tetapi kami tidak tahu apakah haiwan itu. Selepas menangkapnya, kami mendapati Barry memiliki rahang pelik dan badannya dilitupi beribu-ribu bulu sengat yang boleh menyebabkan kebas pada manusia," kata kurator akuarium itu, Matt Slater.

Menurutnya, Barry kini diasingkan ke sebuah akuarium lain.

Cacaing itu dipercayai berada dalam akuarium ketika ia masih kecil dengan bersembunyi di dalam batu karang yang dihantar. - Agensi

Friday, April 3, 2009

Ahli perniagaan `diculik’ 2 lelaki

AMPANG: Seorang ahli perniagaan dan rakannya mengalami detik hitam selepas ‘diculik’ dua lelaki bersama kereta mewah BMW X5 miliknya berhampiran sebuah restoran di pusat beli-belah Ampang Point di sini awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang baru selesai minum dalam perjalanan pulang apabila ditahan dua lelaki berusia 30-an yang mengaku anggota polis.

“Suspek mendakwa ingin memeriksa kenderaan mangsa yang bernilai setengah juta ringgit itu kononnya ada sedikit keraguan.

“Mangsa yang percaya kedua-dua suspek anggota polis, turun daripada kenderaan untuk menunjukkan beberapa dokumen yang mengesahkan kenderaan itu adalah miliknya.

“Namun, belum sempat mangsa menunjukkan bukti kedua-dua suspek mengacukan parang sebelum mengarahkan mangsa mengikut arahannya,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua suspek menggunakan parang panjang menakutkan mangsa selain mengugut akan mencederakan mereka jika melawan.

Menurut Abd Jalil, mangsa dan rakannya itu dibawa menaiki kenderaan itu sejauh kira-kira 60 kilometer sebelum ditinggalkan di Lebuhraya Shapadu, menghala Pelabuhan Klang.

Mangsa meminta pertolongan orang awam dan dibawa ke Balai Polis Klang untuk membuat laporan sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Abd Jalil menafikan kedua-dua suspek adalah individu sama yang melakukan samun kereta mewah sebelum ini di Taman Dagang, Ahad lalu.

“Kami sedang menyiapkan lakaran gambar suspek untuk mengesan mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bayi dalam plastik hitam

SEREMBAN: Macam binatang. Itu perumpamaan layak diberikan terhadap manusia durjana yang sanggup meninggalkan seorang bayi perempuan berbalut plastik hitam depan sebuah rumah di Taman Senangin, Senawang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, bayi dipercayai berusia kira-kira sebulan itu ditemui seorang wanita yang keluar untuk membuang sampah depan rumahnya sebelum mendapati sesuatu mencurigakan dalam plastik hitam.

Wanita terbabit yang membuat pemeriksaan terkejut dengan penemuan bayi malang itu membawanya masuk ke dalam rumah sebelum merujuk kepada pihak polis.

Harian Metro difahamkan bayi yang tidak diketahui bangsanya itu tidak menangis ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata bayi berkenaan dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, untuk tindakan lanjut.

“Polis akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk tindakan lanjut terhadap bayi berkenaan,” katanya.

Rayu bebas rakan

KANGAR: Seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah dan kini masih ditahan di penjara Karachi, Pakistan, merayu pihak berkuasa membantu membebaskannya selepas dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan bersabit kesalahan dadah di sana.

Banduan berbangsa India dari Kuala Lumpur berusia 32 tahun itu seorang janda dan mempunyai empat anak masih kecil. Dia ditahan sejak setahun lalu.

Rakannya, Siti Aishah Hamid, 43, berkata janda terbabit dikenali dengan panggilan Rani perlu dibantu kerana dia sudah dibuang keluarga sendiri sehingga usaha kedutaan Malaysia di Pakistan untuk membantunya juga terbantut.

“Rani dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan, termasuk denda Rs150,000 (RM7,500) atas tuduhan cuba menyeludup dadah.

“Jika gagal membayar denda, Rani boleh dikenakan tambahan hukuman penjara enam bulan.

“Empat rakyat Malaysia itu menerima nasib sama seperti saya dan kami semua terpedaya dengan helah sindiket pengedaran dadah. Namun, saya sedih dengan nasib Rani yang dipulau keluarga sendiri,” katanya.

Siswi bimbang aksi seksi tersebar

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar sebuah universiti tempatan kini hidup dalam ketakutan gara-gara kecuaiannya memasang kamera web di komputer riba menyebabkan rakan sembangnya sempat merakamkan aksi seksinya, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ana, 19, mendakwa hanya mengetahui aksinya dirakamkan apabila rakan sembangnya itu tiba-tiba menghantar semula salinan rakaman itu kepadanya.

Terkejut melihat dirinya dirakam, Ana meminta lelaki itu melupuskan rakaman itu, namun tidak diendahkan sebaliknya dia diugut.

“Ketika itu saya memakai baju tidur dan melayari komputer sambil meniarap dan tidak menyangka lelaki itu merakamkan bahagian dada saya yang terdedah,” katanya.

Bimbang gambarnya disebarkan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, Ahad lalu.

Dedah tabiat buruk bapa

Oleh Shahrul Nizam Mohamad



KUANTAN: Akibat tidak dapat menahan perasaan jijik selepas mengetahui bapanya menyimpan 85 keping cakera padat video (VCD) lucah, seorang remaja perempuan nekad membuat aduan polis, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, remaja berusia 15 tahun yang masih belajar di sebuah sekolah menengah di sini, terkejut apabila mengetahui tabiat buruk bapanya menyimpan VCD lucah dalam kereta.

Difahamkan, lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai mengambil kesempatan menonton ketika ibu remaja itu tiada di rumah.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang menerima aduan remaja terbabit mengepung rumah pengawal keselamatan itu sebelum menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui 85 keping VCD lucah pelbagai tajuk yang disembunyikan di tempat duduk belakang kereta suspek.

Lelaki terbabit juga gagal memberi penjelasan ketika ditanya mengenai penemuan VCD lucah berkenaan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti dalang sebenar yang terbabit kegiatan pengedaran VCD lucah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090402093324/Article/index_html

Culik ala Nurin


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim 

SUBANG: Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, pada 20 Ogos 2008, hampir berulang apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang didakwa melarikan Nurin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, Nurul Nazeha Mohd Zahir yang dalam perjalanan ke sekolah ditarik seorang seorang daripada tiga lelaki memasuki van sebelum dilarikan ke lokasi tidak dikenal pasti.

Mangsa yang diugut akan dibunuh bagaimanapun bernasib baik apabila penjenayah terbabit tiba-tiba ‘hilang minat’ sebelum mencampakkannya ke dalam longkang sedalam lebih satu meter kira-kira jam 11 malam berhampiran Plaza Tol Subang di sini. 

Biarpun terselamat, Nurul yang diculik hampir 10 jam bengkak di kepala selain trauma akibat tindakan kejam penjenayah yang dipercayai cuba menculiknya dengan niat tertentu.

Dia ditemui dua orang awam menjelang tengah malam sebelum dibawa Balai Polis Subang.

Apabila ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Subang di sini, pagi semalam, Nurul dapat mengingati setiap kejadian yang menimpanya ketika ditanya wartawan Harian Metro.

Mangsa yang mesra dengan panggilan ‘kakak’ memberitahu, dia berbasikal bersendirian ke sekolah menggunakan jalan pintas berhampiran rumahnya sebelum dihampiri van putih dari belakang.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Subang di sini, itu mendakwa seorang lelaki tiba-tiba keluar dari van lalu menariknya masuk ke dalam van.

“Basikal yang saya tunggang dicampakkan ke tepi jalan, manakala mulut saya ditutup dengan tangan kasar lelaki terbabit,” katanya.

Nurul menjelaskan, dia tidak dapat mengecam muka individu terbabit berikutan ketiga-tiga mereka memakai topeng hitam dan sering memberikan amaran supaya mendiamkan diri.

“Lelaki terbabit kerap berkata: ‘kau diam, kalau tidak aku hentak kepala kau, aku bunuh kau’ menyebabkan saya ketakutan dan tidak berani bersuara atau memandang wajah mereka.

“Saya hanya dibawa sekitar Subang dari tengah hari hingga lewat malam. Ketika itu, saya amat letih kerana langsung tidak diberi makan atau minum,”
katanya.

Nurul yang berwajah mirip Nurin Jazlin, berkata penjenayah turut mengetuk kepalanya dengan tangan apabila dia cuba membuka mulut.

“Saya amat takut dan hanya teringatkan ayah dan ibu. Saya tidak tahu kenapa mereka melarikan saya.

“Selepas hari semakin malam, van berkenaan tiba-tiba berhenti di tepi jalan sebelum seora
ng daripada lelaki itu mengangkat saya keluar dan mencampakkan saya ke dalam longkang,” katanya.

Menurutnya, keadaan longkang yang agak dalam menyebabkan dia tersembam sebelum tidak sedarkan diri. 

“Saya hanya sedar selepas didukung ke pejabat Plaza Tol Subang oleh dua orang awam sebelum dihantar ke Balai Polis Subang,” katanya sambil didakap ibunya, Norzalina Abu, 35. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu, namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kes berkenaan dari pelbagai sudut dan tidak mahu sebarang spekulasi ditimbulkan.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090402090055/Article

Siti Aishah kesal - Tak pernah membaca surat khabar


HAMID MAHASA tidak dapat menahan sebak ketika memeluk anaknya, Siti Aishah 
di rumah mereka di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, Perlis semalam.


KANGAR - Suri rumah yang dibebaskan dari penjara Karachi, Pakistan baru-baru ini, Siti Aishah Hamid, 44, menyalahkan dirinya yang tidak mengikuti perkembangan semasa melalui media sehingga menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

"Saya sungguh menyesal kerana sepanjang hidup, saya tidak pernah ambil kisah untuk membaca surat khabar atau menonton televisyen sehinggalah terjerat dengan satu peraduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Jadi apabila memenangi hadiah melancong ke luar negara, saya sangat teruja dan di situlah bermulanya mimpi ngeri dalam hidup saya," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat dekat sini semalam.

Siti Aishah, seorang warga kurang upaya terpaksa merengkok di penjara Karachi, Pakistan selepas pihak negara itu menemui bungkusan heroin seberat 950 gram yang tersorok pada sisi sebuah mekap miliknya pada 24 April tahun lalu.

Selepas 11 bulan hidup sebagai banduan, mahkamah negara itu membebaskannya baru-baru ini setelah mendapati dia tidak bersalah dan dia selamat dibawa pulang ke tanah air Isnin lalu.

"Saya tak sangka kotak hadiah yang diberi oleh ejen sebelum pulang rupa-rupanya dadah untuk diseludup keluar Pakistan.

"Saya harap kejadian yang menimpa saya dijadikan iktibar oleh orang lain," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Guru berpolitik dengan bersyarat - Hishammuddin


HISHAMMUDDIN menanam pokok peringatan semasa lawatan ke RECSAM di Pulau Pinang semalam


PULAU PINANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertahankan cadangan bagi membenarkan guru kumpulan A berpolitik asalkan tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran melahirkan kebimbangan sekiranya guru tidak diberi ruang dalam politik ia akan menjejaskan hala tuju parti untuk mendekati rakyat.

"Cadangan saya itu bersyarat, semangat guru juga penting dalam politik, lihat sahaja kewujudan UMNO, ia bermula dengan semangat guru-guru.

"Mereka inilah yang menjadi mata, telinga dan suara rakyat. Saya bimbang jika semangat dan komitmen ini tidak diberi ruang dalam parti, hala tuju parti dalam usaha mendekati rakyat akan terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam bahawa cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan golongan pendidik.

Hishammuddin sebelum itu mengadakan lawatan ke Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM). Beliau yang juga Presiden ke-43 Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) akan melepaskan jawatan itu kepada Menteri Pendidikan Thailand Ahad ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...