Friday, April 3, 2009

Culik ala Nurin


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim 

SUBANG: Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, pada 20 Ogos 2008, hampir berulang apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang didakwa melarikan Nurin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, Nurul Nazeha Mohd Zahir yang dalam perjalanan ke sekolah ditarik seorang seorang daripada tiga lelaki memasuki van sebelum dilarikan ke lokasi tidak dikenal pasti.

Mangsa yang diugut akan dibunuh bagaimanapun bernasib baik apabila penjenayah terbabit tiba-tiba ‘hilang minat’ sebelum mencampakkannya ke dalam longkang sedalam lebih satu meter kira-kira jam 11 malam berhampiran Plaza Tol Subang di sini. 

Biarpun terselamat, Nurul yang diculik hampir 10 jam bengkak di kepala selain trauma akibat tindakan kejam penjenayah yang dipercayai cuba menculiknya dengan niat tertentu.

Dia ditemui dua orang awam menjelang tengah malam sebelum dibawa Balai Polis Subang.

Apabila ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Subang di sini, pagi semalam, Nurul dapat mengingati setiap kejadian yang menimpanya ketika ditanya wartawan Harian Metro.

Mangsa yang mesra dengan panggilan ‘kakak’ memberitahu, dia berbasikal bersendirian ke sekolah menggunakan jalan pintas berhampiran rumahnya sebelum dihampiri van putih dari belakang.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Subang di sini, itu mendakwa seorang lelaki tiba-tiba keluar dari van lalu menariknya masuk ke dalam van.

“Basikal yang saya tunggang dicampakkan ke tepi jalan, manakala mulut saya ditutup dengan tangan kasar lelaki terbabit,” katanya.

Nurul menjelaskan, dia tidak dapat mengecam muka individu terbabit berikutan ketiga-tiga mereka memakai topeng hitam dan sering memberikan amaran supaya mendiamkan diri.

“Lelaki terbabit kerap berkata: ‘kau diam, kalau tidak aku hentak kepala kau, aku bunuh kau’ menyebabkan saya ketakutan dan tidak berani bersuara atau memandang wajah mereka.

“Saya hanya dibawa sekitar Subang dari tengah hari hingga lewat malam. Ketika itu, saya amat letih kerana langsung tidak diberi makan atau minum,”
katanya.

Nurul yang berwajah mirip Nurin Jazlin, berkata penjenayah turut mengetuk kepalanya dengan tangan apabila dia cuba membuka mulut.

“Saya amat takut dan hanya teringatkan ayah dan ibu. Saya tidak tahu kenapa mereka melarikan saya.

“Selepas hari semakin malam, van berkenaan tiba-tiba berhenti di tepi jalan sebelum seora
ng daripada lelaki itu mengangkat saya keluar dan mencampakkan saya ke dalam longkang,” katanya.

Menurutnya, keadaan longkang yang agak dalam menyebabkan dia tersembam sebelum tidak sedarkan diri. 

“Saya hanya sedar selepas didukung ke pejabat Plaza Tol Subang oleh dua orang awam sebelum dihantar ke Balai Polis Subang,” katanya sambil didakap ibunya, Norzalina Abu, 35. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu, namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kes berkenaan dari pelbagai sudut dan tidak mahu sebarang spekulasi ditimbulkan.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090402090055/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...