Friday, April 3, 2009

Ahli perniagaan `diculik’ 2 lelaki

AMPANG: Seorang ahli perniagaan dan rakannya mengalami detik hitam selepas ‘diculik’ dua lelaki bersama kereta mewah BMW X5 miliknya berhampiran sebuah restoran di pusat beli-belah Ampang Point di sini awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian jam 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang baru selesai minum dalam perjalanan pulang apabila ditahan dua lelaki berusia 30-an yang mengaku anggota polis.

“Suspek mendakwa ingin memeriksa kenderaan mangsa yang bernilai setengah juta ringgit itu kononnya ada sedikit keraguan.

“Mangsa yang percaya kedua-dua suspek anggota polis, turun daripada kenderaan untuk menunjukkan beberapa dokumen yang mengesahkan kenderaan itu adalah miliknya.

“Namun, belum sempat mangsa menunjukkan bukti kedua-dua suspek mengacukan parang sebelum mengarahkan mangsa mengikut arahannya,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua suspek menggunakan parang panjang menakutkan mangsa selain mengugut akan mencederakan mereka jika melawan.

Menurut Abd Jalil, mangsa dan rakannya itu dibawa menaiki kenderaan itu sejauh kira-kira 60 kilometer sebelum ditinggalkan di Lebuhraya Shapadu, menghala Pelabuhan Klang.

Mangsa meminta pertolongan orang awam dan dibawa ke Balai Polis Klang untuk membuat laporan sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Abd Jalil menafikan kedua-dua suspek adalah individu sama yang melakukan samun kereta mewah sebelum ini di Taman Dagang, Ahad lalu.

“Kami sedang menyiapkan lakaran gambar suspek untuk mengesan mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...