Friday, April 3, 2009

Siti Aishah kesal - Tak pernah membaca surat khabar


HAMID MAHASA tidak dapat menahan sebak ketika memeluk anaknya, Siti Aishah 
di rumah mereka di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, Perlis semalam.


KANGAR - Suri rumah yang dibebaskan dari penjara Karachi, Pakistan baru-baru ini, Siti Aishah Hamid, 44, menyalahkan dirinya yang tidak mengikuti perkembangan semasa melalui media sehingga menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

"Saya sungguh menyesal kerana sepanjang hidup, saya tidak pernah ambil kisah untuk membaca surat khabar atau menonton televisyen sehinggalah terjerat dengan satu peraduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Jadi apabila memenangi hadiah melancong ke luar negara, saya sangat teruja dan di situlah bermulanya mimpi ngeri dalam hidup saya," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat dekat sini semalam.

Siti Aishah, seorang warga kurang upaya terpaksa merengkok di penjara Karachi, Pakistan selepas pihak negara itu menemui bungkusan heroin seberat 950 gram yang tersorok pada sisi sebuah mekap miliknya pada 24 April tahun lalu.

Selepas 11 bulan hidup sebagai banduan, mahkamah negara itu membebaskannya baru-baru ini setelah mendapati dia tidak bersalah dan dia selamat dibawa pulang ke tanah air Isnin lalu.

"Saya tak sangka kotak hadiah yang diberi oleh ejen sebelum pulang rupa-rupanya dadah untuk diseludup keluar Pakistan.

"Saya harap kejadian yang menimpa saya dijadikan iktibar oleh orang lain," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...