Monday, November 17, 2008

Bimbang anak dibawa ke Lombok


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my



BIMBANG...Shamsudin dan isterinya, Siti Aisyah menunjukkan
gambar anak mereka, Siti Atikhoh yang hilang.



PENDANG: “Sehingga kini, hati saya sentiasa risau kerana belum menerima berita keadaan Siti Atikhoh selain bimbang jika dia dijual sindiket atau dibawa lari ke Lombok, Indonesia,” kata Siti Aisyah Salleh.

Siti Aisyah, 56, ibu kepada Siti Atikhoh Shamsudin, 23, pelajar tahun dua Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilaporkan hilang sejak 10 September lalu, amat merindui serta bimbangkan keselamatan anak bongsu daripada empat beradik itu.

Keadaan itu membimbangkan keluarganya kerana tiada khabar berita sejak dua bulan lalu, selepas pelajar itu dikatakan berada di Sabah mengikut seorang pengawal keselamatan di UMS, ketika dilaporkan hilang.

Kehilangan pelajar jurusan ijazah kewangan antarabangsa itu disedari rakannya selepas Siti Atikhoh tidak menghadiri kelas.

Perkara terbabit dimaklumkan kepada sepupunya yang turut mengikuti pengajian di universiti itu sebelum memaklumkan kepada keluarganya di Kampung 15 Relong, Mukim Bukit Raya, dekat sini.


Bapa pelajar itu, Shamsudin Abdul Rahman, 61, berkata dia bimbang anaknya dijual sindiket tertentu atau dibawa lari termasuk ke Lombok atau dijadikan perangkap membawa dadah ke luar negara.

“Kami ada menerima SMS terakhir darinya pada 30 Oktober lalu, memaklumkan dia akan berusaha untuk pulang, tetapi sekarang ini ada orang tidak membenarkannya pulang ke kampung.

“Berikutan itu, saya semakin bimbang dan ibunya pula kerap sakit dan tekanan darahnya meningkat setiap kali mengenangkan anak kerana kami tidak mempunyai perselisihan faham sebelum ini.

“Macam-macam kejadian saya baca dalam akhbar sebelum ini mengenai kehilangan gadis dan tidak mahu ia berlaku kepada Siti Atikhoh. Dia masih muda dan sedang belajar,”
katanya yang sebak ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Shamsudin pergi ke kampus anaknya di Sabah untuk mengetahui apa yang berlaku, tetapi pengurusan UMS memaklumkan Siti Atikhoh pulang ke kampung kerana mendakwa bapanya sakit.

Dia terkejut dengan dakwaan itu dan menafikan anaknya pulang ke kampung sebelum dimaklumkan anaknya sudah tidak tinggal di kolej kediaman universiti itu sejak 28 Ogos lalu dan dipercayai menyewa rumah.

“Tidak puas hati, saya membuat pemeriksaan di Lapangan Terbang Labuan, Sabah pada 18 September lalu dan terkejut mendapati nama Siti Atikhoh dan pengawal keselamatan terbabit dalam senarai penumpang.

“Kedua-duanya dipercayai mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur pada 16 September lalu menyebabkan saya membuat laporan di Balai Polis Labuan, pada 18 September lalu berhubung kehilangan Siti Atikhoh,”
katanya.

Shamsudin berkata, dia kemudian merujuk perkara itu kepada pengurusan universiti itu dan dimaklumkan lelaki itu akan masuk bekerja semula pada 22 September lalu kerana bercuti.

Katanya, berikutan itu dia memutuskan tinggal di Sabah sehingga 27 September lalu, tetapi pengawal keselamatan terbabit tidak muncul menyebabkannya bertambah risau.

“Pada 1 Oktober lalu, kami menerima panggilan daripada polis memaklumkan pengawal keselamatan itu ditahan di Kuala Lumpur, tetapi anak saya tiada bersamanya.

“Lelaki itu dibebaskan kerana tidak cukup bukti mendakwanya melarikan Siti Atikhoh walaupun kami mempunyai salinan bukti penerbangan yang mempunyai nama mereka,”
katanya.

Orang ramai yang mengenali atau menemui Siti Atikhoh dapat menghubungi Shamsudin di talian 012-54 32217 atau 016-4425575.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117094524/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...