Monday, November 17, 2008

Misteri kehilangan Kim Jong-il


Di mana keluarga Kim sehingga kini masih menjadi satu teka-teki.



ISU melibatkan tahap kesihatan Kim Jong-Il dilarang dibincangkan di khalayak ramai.

--------------------------------------------------------------------------------

TIADA lagi tanda-tanda sanjungan senjata nuklear dan kesediaan diri untuk berperang. Pada hari ini, slogan-slogan di ibu negara Korea Utara, Pyongyang, telah diubah kepada gesaan yang berbentuk lebih jinak seperti 'Marilah kita menyayangi pemimpin kita!'

Kren-kren jelas kelihatan di tapak-tapak pembinaan, sementara jalan-jalan diturap baru dan bangunan-bangunan dicat semula di ibu kota tersebut.

Lampu-lampu jalan menerangi sebuah bandar raya yang dahulunya gelap setiap kali selepas terbenamnya matahari.

Penduduk tempatan dalam keadaan penuh rahsia dan kumpulan-kumpulan hak asasi telah dimaklumkan bahawa ribuan tahanan politik kini berada di dalam penjara, kelihatan lebih santai.

Selain itu, bagi sebuah masyarakat yang dianggap termiskin di dunia, warga bandar raya itu juga kelihatan semakin bergaya.

Kemusykilan timbul apabila ada yang menyoal di manakah wang diperoleh di sebuah negara yang pernah mempunyai pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,420 malah sering dalam kedudukan hampir masuk semula ke kancah kebuluran.

"Saya percaya, anda sebenarnya tahu bagaimana," kata Han, seorang wakil kerajaan yang ditugaskan untuk membawa sekumpulan pelawat Korea Selatan baru-baru ini.

Senyum lebar yang terukir pada wajahnya jelas menunjukkan bahawa beliau enggan mengulas lanjut.

Tetapi Han, yang hanya memberikan nama keluarganya, mengakui bahawa Korea Utara akan mendapat manfaat daripada tindakan Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu untuk mengeluarkannya daripada senarai negara-negara yang menaja tindakan keganasan.

"Tindakan AS itu dilihat banyak membantu kerana kebanyakan negara luar mengadu mereka sukar mewujudkan perniagaan di Korea Utara kerana adanya sekatan tertentu," kata Han.

Korea Utara, sering kali digambarkan sebagai negara yang mengamalkan pemerintahan Stalin dan dinasti feudal. Di medan antarabangsa, penguasaan kekal berada dalam sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengaitkan usahanya untuk membina sebuah senjata nuklear.

Sesetengah penganalisis berkata, negara Korea Utara itu pasti akan menerima pulangan besar daripada ledakan harga besi global yang dilombong dan dijual ke negara jiran, China.



KAWASAN pusat bandar Pyongyang yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit yang moden.

--------------------------------------------------------------------------------

Sesetengah pihak juga menspekulasi kerajaan mungkin tidak akan melepaskan kawalan yang banyak seperti yang pernah dilakukan kepada angkatan ketenteraannya.

Angkatan ketenteraan Korea Utara, dengan anggota tentera mencecah satu juta orang merupakan salah satu daripada angkatan terbesar dunia dan terkuat, sungguhpun populasi negara itu hanya kira-kira 23 juta orang.

Industri perlombongan menghasilkan lebih 10 peratus pengeluaran tahunan ekonomi Korea Utara, yang dikontrakkan sepanjang tahun 1990-an kerana sekatan dan masalah banjir yang sering berlaku.

Negara itu juga telah menerima bekalan minyak bantuan di bawah persetujuan dengan kuasa-kuasa serantau untuk menghilangkan keupayaan kemudahan nuklearnya.

Tetapi satu lagi misteri muncul iaitu ketiadaan dan tahap kesihatan pemimpinnya, Kim Jong-il. Isu itu dilarang dibincangkan di khalayak ramai.

Para pegawai kerajaan bersama delegasi antarabangsa yang melawat negara itu turut bertanggungjawab mengelakkan tetamu mereka daripada berbicara dengan masyarakat tempatan. Mereka juga tidak memberikan sebarang komen diluahkan mengenai ketiadaan Kim di kaca mata awam buat sekian lama.

Kim merupakan pemimpin dinasti komunis pertama dunia dan mendiang ayahnya, Kim Il-sung secara rasminya dilantik sebagai presiden sepanjang zaman.

Salah satu kumpulan lawatan dari Korea Selatan berkata, beliau berjaya menimbulkan subjek tersebut tetapi diberitahu bahawa khabar angin mengenai masalah kesihatan Kim, besar kemungkinan akibat serangan strok pada bulan Ogos lalu, adalah tidak berasas.

"Mereka berkata, itu semua disebabkan oleh laporan palsu media Jepun," kata Lee Byung-ha, seorang pegawai Parti Buruh Demokratik Korea Selatan.

Pada hujung minggu lalu, media Korea Utara telah menerbitkan sebuah gambar yang menunjukkan Kim kelihatan ceria dan sihat.

Meskipun demikian, pihak Korea Utara masih belum mengeluarkan sebarang video berkenaan pemimpin tersebut.

Bagi sesetengah pelawat dari Korea Utara yang mengembara ke negara jiran itu untuk membantu menyediakan sebuah projek pertanian, kenyataan di mana keluarga Kim masih lagi memimpin sehingga kini masih menjadi satu teka-teki.

Jika dahulu, Korea Selatan lebih miskin daripada Korea Utara, kini ekonomi Korea Selatan telah menjadi yang terbesar di Asia sejak ia mengamalkan sistem demokrasi sejak dua dekad lalu.

Secara teknikal, Korea Selatan masih lagi berperang dengan jiran utaranya dan mengharamkan rakyatnya daripada menghubungi rakyat Korea Utara tanpa kelulusan.

"Misteri sebenar ialah kerajaan ini masih lagi berkuasa sungguhpun ramai rakyatnya sengsara akibat kemiskinan," kata Park Hae-pan, yang telah menyumbangkan mesin perniagaannya di Korea Selatan untuk membantu projek tersebut.



DUA penduduk Korea Utara dilihat berada berhampiran kediaman mendiang pemimpin mereka, di Mankyongdae, iaitu tempat Kim Il-sung dilahirkan.

--------------------------------------------------------------------------------

Bagi yang lain, perbezaan antara rakyat Korea yang telah lama berpecah sukar untuk digambarkan.

"Ini sesuatu yang gila," kata seorang pelawat sambil bas yang dinaikinya merentasi kegelapan terowong tidak berlampu semasa sesi lawatan ke kawasan timur bergunung Pyonyang.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai politik, mahupun mengenai keluarga Kim. Saya tidak mempunyai impian lain kecuali untuk kekal hidup sehingga saya keluar dari tempat ini," katanya. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...