Monday, November 17, 2008

Duit lesap kerja dijanji tak dapat


LAPOR...Syed Harun (kanan) dan rakan membuat laporan
polis ditipu syakirat tawar pekerjaan.



KUALA LUMPUR: Lima mangsa tampil membuat laporan polis mendakwa diperdaya sebuah syarikat ‘hantu’ yang kononnya menawarkan pekerjaan memasukkan data dari rumah sebelum melesapkan semua wang deposit dibayar mereka.

Difahamkan, syarikat berkenaan bertindak licik untuk mencari mangsa dengan mengiklankan peluang kerja di dada akhbar memaklumkan pihak mereka memerlukan beberapa kakitangan untuk tugas terbabit.

Sejurus mangsa datang ke syarikat itu, mereka dikehendaki mengisi borang dan surat perjanjian termasuk membayar RM200 sebagai wang deposit yang akan dipulangkan selepas menyelesaikan tugasan diberi.

Mangsa diarah pulang dan hanya perlu menunggu panggilan telefon sekiranya ada tugasan memasukkan data baru yang disediakan syarikat terbabit.

Bagaimanapun, apa yang dijanjikan ternyata palsu apabila syarikat itu ‘ghaib’ secara selepas mangsa menanti dengan penuh sabar selama beberapa bulan.

Perkara itu didedahkan seorang mangsa, Syed Harun Syed Yacob, 51, dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Menurutnya, dia mengetahui peluang pekerjaan itu melalui iklan disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 13 Ogos lalu.

“Saya yang berminat kemudian ke pejabat syarikat itu di ibu kota dan membayar RM200 sebagai deposit selepas mendengar penerangan diberi kakitangan di situ.

“Mereka (kakitangan) memaklumkan upah akan diberi bagi setiap tugasan data antaranya menyiapkan satu portal berisi 10 muka surat dan setiap satu daripadanya dibayar RM4.50.

“Sebelum diarah pulang, mereka turut berjanji akan memulangkan semua wang deposit selepas tugasan itu selesai kelak,” katanya.

Dakwanya, selepas seminggu menunggu, tugasan dijanjikan masih tidak diberi dan syarikat itu memberi pelbagai alasan antaranya data terbabit mengalami sedikit kerosakan serta perlu dihantar ke negara jiran untuk pemeriksaan.

“Selepas beberapa minggu kemudian, mereka (syarikat) gagal dihubungi dan saya serta beberapa rakan yang pergi ke pejabat syarikat itu terkejut apabila mendapati ia sudah dikosongkan,” katanya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117094818/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...