Monday, November 17, 2008

Kapsul herba raksa


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



SERBU...penguat kuasa farmasi merampas kapsul dari
kedai singse.


KUALA LUMPUR: Akibat cita-cita menjadi doktor tidak kesampaian, seorang lelaki cuba menghasilkan ramuan pil kapsul maut mengandungi logam berbahaya termasuk raksa untuk dijual kepada orang ramai dengan mendakwa mampu mengubati 1001 penyakit berbahaya.

Bagaimanapun ubat istimewa yang didakwa diwarisi turun temurun itu sebaliknya menyebabkan beberapa pesakitnya terlantar di hospital, berikutan kesan tindakan balas bahaya kepada darah dan jantung.

Sumber Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, lelaki berusia 50-an berkenaan dikesan menghasilkan formula sendiri yang didakwa diperturunkan daripada nenek moyangnya untuk menghasilkan ubatan campuran pelbagai kimia dan herba kayu dipercayai diimport dari China.

Menurutnya, ubatan istimewa yang kemudian dijual dalam bentuk kapsul itu bagaimanapun dikesan mendatangkan mudarat kepada pelanggannya.

“Adunan ubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM itu menyebabkan beberapa pesakitnya terpaksa dikejarkan ke hospital termasuk seorang wanita yang hampir pengsan sejurus mengambil kapsul terbabit.

“Difahamkan wanita berusia 40-an berkenaan pitam selepas kandungan pil itu mengakibatkan tekanan darahnya memuncak secara mendadak. Mangsa yang segera dirawat terselamat daripada maut sebelum membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasa Farmasi KKM,”
katanya.

Susulan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa farmasi dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM menjalankan pemeriksaan mengejut baru-baru ini di kedai singse milik lelaki terbabit di Jalan Sentul di sini.

Dalam serbuan jam 10 pagi itu, pegawai penguat kuasa farmasi yang menjalankan pemeriksaan mengejut berjaya menemui puluhan kapsul maut berkenaan yang diletakkan di kaunter kedainya.

“Selain merampas pil berkenaan, pegawai farmasi turut merampas sejumlah 10 jenis produk tradisional tidak berdaftar dengan KKM yang dianggarkan bernilai sekitar RM10,000.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedai ubat tradisional berkenaan diubah suai oleh pemiliknya menyerupai klinik perubatan moden lengkap dengan bilik pemeriksaan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117093017/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...