Wednesday, December 3, 2008

'Soksek-soksek' lepas kongres PKR


Lebih cantik dan kemas lagi, kalau backdrop Bahasa Melayu itu dibuat dalam huruf Jawi

02 Dec 2008 10:08AM
Oleh Mohd Sayuti Omar


PADA hari perasmian kongres nasional tahunan Parti Keadilan Rakyat saya tidak hadir. Ada sikit masalah menghalang. Hari kedua baru saya sempat singgah. Jadi saya mengikuti perasmian itu dari internet dan mendapat maklumat tambahan menerusi beberapa orang kawan yang berada dalam dewan kongres dari mula hingga habis.

Gambaran sebenar tidak dapat dilihat dan dirasakan. Menurut rakan dan juga laporan menerusi internet kongres itu sangat meriah; hangat, hebat dan menyakinkan. Tidak hairan kerana saya sudah merasakan awal-awal lagi kongres kali ini hebat. Yang jelasnya ia berbeza suasana dan tempat kongres itu diadakan.

Inilah kongres atau himpunan rasmi Keadilan selepas pilihan raya ke-12 yang membawa kejayaan besar itu.

Kehadiran perwakilan dan pemerhati membanggakan. Semua tempat duduk dalam stadium yang boleh memuatkan penonton hampir 10 ribu itu, penuh. Paling menarik dan juga hebat bila kongres itu disiarkan secara langsung menerusi tv-web. Maknanya seluruh dunia dapat mengikuti kongres berkenaan.

Standard Keadilan sama dengan Umno atau Pas yang memancarkan kongres mereka ke seantero dunia. Tidak diketahui pula apakah MCA, Gerakan dan MIC juga berbuat demikian?

Selalunya parti-parti dimonopoli bukan Melayu ini mereka membuat sesuatu tanpa heboh dan selalunya mereka lebih advance dalam menikmati kecanggihan IT atau peralatan moden lain yang meledak dewasa ini.

Mudah-mudahan semangat ahli dan penyokong Keadilan jadi bertambah hebat. Iltizam untuk meneruskan perjuangan dan menganyang BN akan lebih bermakna lagi. Ucapan dasar dan ucapan 'pengemasan semangat' oleh Presiden dan Ketua Umum akan memberi semangat dan mengimput idea dan pemahaman siasah baru.

Begitu juga dengan input dari berbagai perwakilan lain. Permasalahan atau teguran dan kritikan ke dalam dan keluar yang dilakukan perlu diberi perhatian dan tindakan segera dan bukan diterima sebagai satu kemestian saja.

Harapan Baru yang menjadi tema kongres ke-5 itu akan dapat membawa satu skema baru dalam politik parti itu dan politik negara. Harapan Baru juga akan merubah senario Malaysia seluruhnya. Harapan Baru menjadi pencetus kesesedaran politik dan aksi politik baru oleh rakyat negara ini dalam usaha menggengamkan perubahan menyeluruh lebih berkesan dan adil lagi.

Harapan baru ialah mengubah paradigma politik negara ini yang ditunjangi BN yang dikira sudah lapok, usang dan sesetengahnya menjadi kurafat politik. Fahaman anamisme yang dibawa oleh pemimpin Umno kononnya parti itu saja tahu memerintah hendaklah dikikis dan dilempar dari pemahaman dan minda masyarakat Malaysia.

Sudah setengah abad pemimpin Umno dan BN menanamkan doktrin primitif itu. Mitos yang hanya BN mampu berkuasa dan mentadbir perlu dibuang dan dinyahkan dari minda. Tsunami politik yang berlaku dalam pilihan raya lalu adalah bukti keabsahannya. Kejayaan dan kecemerlangan dari beberapa sudut pentadbiran lima kerajaan Pakatan Rakyat membuktikan bahawa politik baru dan Harapan Baru sedang mengembangkan bunga dan memutikkan buah.

Ada banyak huraian menarik mengenai Harapan Baru itu. Harapan Baru itu keazaman politik baru yang akan mengubah sistem pemerintah yang ada sekarang ini kepada politik dan sistem pemerintahan yang lebih efeksen, telus dan adil membela rakyat.
Harapan Baru merupakan anjakan permainan (pratis) politik yang akan merakyatkan kuasa kepada rakyat bukannya kuasa milik taukeh-taukeh politik yang diperolehi daripada rakyat.

Anwar Ibrahim menerusi Harapan Baru itu akan cuba memulangkan kuasa yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya kepada rakyat manakala pemimpin, wakil rakyat adalah pelaksana aspirasi rakyat dan bukannya menggunakan kuasa itu untuk menggemukkan diri dan kroni sendiri.

Sebagai pemerhati tekun politik Pakatan Rakyat khasnya Keadilan saya berpuas hati dan merasa terpesona apa yang sedang diusaha untuk dibawa oleh Keadilan. Semangat solidariti Ukhwah) di kalangan pemimpin semua kaum juga sungguh menakjubkan dan ia menjadi satu realiti yang realistik.

Kini dengan slogan dan keazaman baru "Harapan Baru", Keadilan nampaknya membuka langkah mereka ke Sarawak dan Sabah pula. Menjadikan Sarawak sebagai barisan hadapannya dalam jihad untuk mengambil kuasa.

Jelas iltizam perjuangan Anwar atau Pakatan Rakyat bukan saja berlegar di Semanjung saja tetapi turut menjenguk dan menghayati rasa penderitaan dan keperitan rakyat di Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan dan terjajah oleh berjois dari Semanjung. Sebenarnya rakyat di Sabah dan Sarawak mewah, senang dan bahagia dalam ucapan retorik para pemimpin BN saja sedang hakikinya begitu memedihkan.

Demikian juga persefahaman dalam menangan isu dari kalangan pemimpin dan pembahas dalam kongres. Mereka nampaknya tidak membeza isu dan begitu sentimental kepada hak-hak peribadi dan naluri kepada satu-satu kaum saja. Isu rakyat telah digabungkan menjadi isu global kepada Keadilan. Isu kaum dijadikan isu rakyat dimana ia menuntut kerajinan dan pengorbanan semua kaum. Kemampuan melaksanakan inilah keunikkan dan kehebatan aura kepimpinan yang ada kepada Anwar Ibrahim.

Pendekatan dan praktikal ini sesuatu yang menarik dan ia dirasakan dapat mengatasi masalah yang timbul dalam BN kini. Kalau BN sedang menyelesaikan isu perkauman, soal Cina, Melayu dan India yang tidak ketuntasan, malah semakin rumit, namun Keadilan sudah berganjak jauh melangkau ke lautan Cina Selatan dan melihat masalah rakyat adalah masalah bersama tanpa prejudis dan diasingkan dengan tata budaya dan fahaman agama sempit.

Syabas dan tahniah kepada Keadilan.

Bagaimana pun apabila mengenang kepada kongres semalam ada dua subjek yang ingin disebut dan mungkin ia boleh melukakan hati banyak pihak. Namun pada saya wajar ianya diangkat di sini untuk dinilai dan diperhatikan. Pertama ialah mengenai kerjasama atau semangat ukhwah pada saya tidak begitu menonjol dari kalangan Pas, khasnya Pas Selangor bersama Keadilan menerusi Pakatan Rakyat.

Pun begitu saya tidak tahu isi dalamnnya yang sebenar! Cuma apa yang saya dapati tidak ada tokoh tertinggi Pas Selangor menghadiri kongres berkenaan sebagai tetamu. Yang nampak tercokol dan wajahnya ini sudah biasa dalam majlis Anwar hanya Abdul Khalid Samad. Ke manakah perginya Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hassan Mohamad Ali. Disebabkan Selangor selaku tuan rumah kongres berkenaan, mustahil kalau Keadilan Selangor tidak mengundangnya disebabkan wujud perbalahan kecil sebelum ini.

Adalah tidak bijak bagi Hassan kalau beliau dijemput tetapi tidak menghadirinya kerana menjadikan alasan perselisihan kecil yang timbul waktu ini. Sebagai seorang ahli politik beliau harus mengenepikan itu dan sekaligus menyembunyikan perbalahan daripada umum. Apakah beliau tidak diundang?

Begitu juga dengan tetamu dari pucuk pimpinan tertinggi Pas. Umum sudah mengetahui bahawa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sedang mengerjakan haji di Makkah. Tempat beliau itu sepatutnya diganti oleh timbalannya Nasharudin Mat Isa dan bukannya oknum lain? Apakah Keadilan tidak menjemput Nasarudin Mat Isa?

Walaupun orang berbaju petak-petak merah (Husam Musa) hadir namun darjah dan segi hierarkinya tidak sama dengan Abdul Hadi atau Nasharudin. Kehadiran Husam lebih dilihat sebagai penghormatan seorang kawan kepada kawan dari beliau kepada Anwar. Mungkin Husam mendapat jemputan dengan sampul perak bertulis dakwat emas dari Anwar sebagai mengenang jasa Husam di Permatang Pauh dulu!

Ketiadaan mereka itu makin terasa lagi apabila semua pemimpin tertinggi DAP hadir menjadi tetamu kongres berkenaan. Apakah hubungan Pas dengan Keadilan waktu ini dalam keadaan runcing? Keretakan yang sedikit ini tidak bolehkah dipadukan dengan sama-sama menghayati falsafah dan aspirasi Harapan Baru itu yang saya kira ia juga menjadi keazaman Pas?

Subjek kedua yang ingin saya sentuh ialah tentang backdrop... kongres berkenaan. Mungkin hal ini kecil dan tidak ternampak oleh banyak orang tetapi ia menyentuh perasaan saya. Tulisan yang digunakan pada backdrop kongres itu begitu bergaya dan simbolik sekali menunjukkan kesatuan dalam Keadilan. Semua tulisan dari kaum terbesar dinegara ini digunapakai; tulisan bahasa Melayu, tulisan dalam bahasa Cina dan tulisan dalam bahasa Tamil.

Nampak ia menzahirkan kerjasama dan keikhlasan yang tulen. Sekali lagi di sinilah uniknya Keadilan. Bagaiamana pun pada pengamatan saya kalau ada sedikit pindaan kepada backdrop itu ia menjadi lebih cantik dan kemas lagi, iaini kalau bahasa Melayu itu dibuat dalam huruf Jawi. Kerana dengan wujudnya tulisan Jawi yang mendominasi dua tulisan Cina dan Tamil itu ia akan memberi erti dan simbol yang amat menyenangkan.

Sejajar itu juga secara tidak langsung menampakkan Keadilan memperjuangkan tulisan Jawi yang menjadi satu daripada kesenian bangsa Melayu yang sudah dianaktirikan oleh kerajaan BN hari ini. Kita tidak boleh dinafikan di dalam tulisan Jawi itulah tersemennya roh Melayu. Apakah Keadilan juga dalam soal ini bersekongkol dengan kerajaan BN/Umno!

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/12/02/2.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...