Saturday, December 27, 2008

Dakwat merah guru jejas motivasi murid sekolah


SEORANG murid menghadiri kelas di sebuah sekolah di China. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Beratus-ratus buah sekolah di Britain mengambil pendekatan melarang guru-guru daripada menggunakan pen dakwat merah untuk menanda kerja sekolah, lapor sebuah akhbar semalam.

Pelaksanaan larangan tersebut dilakukan selepas golongan pelajar berasa lebih tenang jika kerja sekolah mereka ditanda dengan pen berwarna hijau, biru, merah jambu dan kuning selain pengunaan pensel.

Warna merah dianggap bersifat 'konfrontasi' dan 'menggugat' emosi pelajar,

Sekolah Rendah Crofton di Kent, England yang mempunyai murid-murid berusia 7 hingga 11 tahun merupakan antara sekolah yang melarang penggunaan warna merah bagi tujuan tersebut.

"Pen merah akan menjejaskan motivasi kanak-kanak. Warna itu membawa maksud negatif seperti 'jumpa guru' atau 'tidak cukup bagus'," kata guru besarnya, Richard Sammonds.

"Kita tidak lagi mendidik pelajar untuk menjadi kerani atau penyimpan kira-kira seperti pendidikan dahulu. Kita cuba membekalkan pendidikan untuk kanak-kanak yang bakal memasuki alam pekerjaan pada kurun ke-21," tambahnya.

Walaupun disifatkan kontroversi, pendekatan baru itu turut mendapat lampu hijau daripada institusi-institusi pendidikan negara itu.

"Pengharaman warna merah merupakan reaksi setelah bertahun-tahun melihat kanak-kanak mengalami tekanan apabila kerja sekolah mereka ditanda dengan pen merah. Apabila pelajar terutama pada peringkat awal sekolah melihat setiap kesilapan diwarna merah, mereka berasa rendah diri dan putus asa," kata seorang pakar pendidikan, Shirley Clarke.

Bagaimanapun, masih terdapat para pendidik yang menentang langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak munasabah.

"Pengharaman itu karut. Akal fikiran menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui kesilapan dan mereka perlu disedarkan supaya dapat memperbaiki diri," kata Pengerusi Kempen Untuk Pendidikan Sebenar, Nick Seaton. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...