Saturday, December 27, 2008

Pakistan, India diambang perang


SEKUMPULAN penunjuk perasaan membakar bendera India sebagai tanda protes di Karachi semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


ISLAMABAD - Pakistan mengerah sejumlah askar yang ditempatkan berhampiran Afghanistan supaya bergerak ke sempadan India ketika ketegangan dengan New Delhi semakin memuncak, kata beberapa pegawai kanan semalam.

Hubungan dua negara jiran Asia Selatan itu bertambah buruk sejak serangan di Mumbai pada bulan lepas apabila New Delhi menyalahkan militan-militan berpangkalan di Pakistan sebagai dalang.

Bagaimanapun, Islamabad memberitahu, India sehingga kini gagal mengemukakan sebarang bukti bagi membolehkan negara itu mengambil tindakan.

"Kami tidak mahu mencetuskan perasaan panik mengenai peperangan tetapi kami perlu melaksanakan langkah keselamatan bagi menghalang sebarang ancaman," kata pegawai kanan tentera tersebut yang enggan mendedahkan jumlah sebenar anggota tentera yang terlibat.

Namun, seorang pegawai kanan lain memberitahu kerahan tersebut hanya terhad di beberapa lokasi di sempadan di mana terdapat pertambahan bilangan askar India.

Pegawai berkenaan menambah, kerahan tentera itu dilakukan selepas Islamabad menyedari terdapat pergerakan tentera India ke arah kawasan sempadan berdekatan bandar Lahore, timur Pakistan.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan-kumpulan militan Pakistan mengambil sikap untuk melupakan persengketaan dengan kerajaan dan bersetuju membekukan serangan terhadap tentera negara itu.

"Kami bukan sahaja akan mengelakkan sebarang tindakan agresif di wilayah-wilayah ketua puak tetapi kami juga akan menggantung serangan lintas sempadan keatas tentera asing di Afghanistan," kata jurucakap sebuah kumpulan serpihan Taliban, Maulvi Omar.

India dan Pakistan sudah tiga kali berperang sejak kedua-dua negara itu mencapai kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1947 di mana dua peperangan itu melibatkan wilayah Kashmir.

Sementara itu di New Delhi, kerajaan Perdana Menteri Manmohan Singh memberi amaran terhadap rakyat negara itu agar berhenti daripada melawat Pakistan.

Semua cuti anggota dan pegawai tentera turut dibeku atau dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap perkembangan terbaru berkenan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...