Saturday, December 27, 2008

Kes menurun


Oleh Hayati Ibrahim


PUTRAJAYA: Sebanyak 119 kes chikungunya dilaporkan sepanjang minggu lalu membabitkan 91 kawasan di 10 negeri termasuk Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Perlis.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata bilangan kes terbabit menurun daripada 158 kes pada minggu sebelumnya menjadikan keseluruhan kes chikungunya sepanjang tahun ini sebanyak 3,984, tanpa kematian.

Katanya daripada jumlah itu, 79 peratus disahkan melalui ujian serologi dan majoriti kes chikungunya dirawat sebagai pesakit luar (77 peratus).

“Hanya 933 kes atau 23 peratus yang memerlukan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Dr Hasan berkata, antara kes yang dilaporkan minggu lalu termasuk 35 kes di Kedah, 10 (Perak), 21 (Kelantan dan Johor), 20 (Selangor), empat di Pahang, masing-masing dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perlis serta satu kes di Putrajaya.

Pemeriksaan di kawasan yang dilaporkan mendapati ia mempunyai kadar pembiakan nyamuk aedes yang tinggi iaitu melebihi satu peratus, sekali gus menyebabkan penularan chikungunya.

“Tempat biasa yang ditemui di dalam pasu bunga, alas pasu bunga, tong drum dan tin kosong,”
katanya.

Beliau berkata, pada minggu sama sebanyak 11,189 rumah sepatutnya disembur kabus, tetapi hanya 3,312 rumah atau 29.6 peratus dapat dijalankan, berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Pada masa sama, kerjasama penduduk tempatan untuk bersama-sama mengawal jangkitan chikungunya belum mencapai tahap optimum apabila hanya 16 daripada 22 gotong-royong yang dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227100035/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...