Saturday, December 27, 2008

Diperkosa ketika hamil


Oleh Ibrahim Isa

JOHOR BAHRU: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang remaja berusia 16 tahun, bukan saja mengandung empat bulan hasil hubungan haram dengan teman lelakinya, malah menjadi habuan seks bapa tirinya sejak dua bulan lalu.

Remaja terbabit yang tidak bersekolah, dikatakan mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya di rumah keluarganya di pekan Kulai di sini, setiap kali ibu dan bapa tirinya itu keluar bekerja.

Bagaimanapun, aktiviti mereka terbongkar apabila remaja terbabit dikatakan mengandung dua bulan menyebabkan keluarganya membuat laporan polis .

Selepas itu, dia dikatakan lebih banyak tinggal di rumah.

Namun, bapa tirinya yang juga warga Indonesia berstatus penduduk tetap bukan saja tidak menjalankan tanggungjawab menjaga anak tirinya yang dalam kesusahan, malah mengambil kesempatan atas keadaan remaja terbabit dengan mengadakan hubungan seks ketika ibu mangsa keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kira-kira dua bulan lalu, remaja terbabit ditemani ibunya datang ke balai polis membuat laporan dia dirogol teman lelakinya hingga mengandung.

Berikutan itu, katanya, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti teman lelaki remaja terbabit.

Namun, pada 24 Disember lalu, remaja terbabit datang lagi bersama keluarganya untuk membuat laporan bapa tirinya pula merogolnya.

“Berikutan laporan itu, kami ke rumah remaja terbabit di sekitar pekan Kulai dan menahan bapa tiri remaja terbabit yang berusia 35 tahun pada hari sama.

“Remaja terbabit mendakwa bapa tirinya yang bekerja sebagai buruh kontrak itu merogolnya dua kali di rumah ketika ibunya tiada.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat dakwaan remaja terbabit dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu masih ditahan reman bagi membantu siasatan hingga 29 Disember ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, remaja terbabit kini masih tinggal di rumah keluarganya di pekan Kulai.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227102500/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...