Monday, December 15, 2008

Rahsia demam misteri

Oleh OMAR OSMAN
am@hmetro.com.my






SUNGAI PETANI: Demam misteri yang menjangkiti kira-kira 100 penduduk Kampung Baru Sungkup Para, dekat Bukit Selambau, di sini, disahkan demam Chikungunya selepas 12 daripada mereka dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak petang kelmarin.

Mangsa iaitu lapan lelaki dan empat wanita berusia antara 12 hingga 60 tahun dimasukkan ke HSAH sejak petang kelmarin dan semalam bagi menerima rawatan selepas mengalami bengkak badan, kaki dan tangan serta lemah seluruh anggota badan.

Jurucakap HSAH berkata, semua 12 pesakit yang mengalami demam itu kini dikuarantin di wad khas hospital itu bagi menerima rawatan lanjut dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil.

“Pihak hospital juga menyediakan lebih banyak tempat seandainya lebih ramai dimasukkan ke hospital,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain, yang melawat mangsa di HSAH semalam, berkata gotong-royong besar-besaran bersama MIC serta penduduk akan diadakan esok (hari ini) bagi membersihkan kampung itu.


“Penyakit itu kemungkinan berpunca daripada nyamuk kerana kawasan persekitarannya yang tidak bersih menyebabkan nyamuk membiak, sekali gus boleh membahayakan penduduknya,” katanya.

Hadir sama Pengerusi MIC Kedah, Datuk V Saravanan.

Semalam akhbar ini melaporkan, lebih 100 orang penduduk resah apabila dijangkiti demam misteri sejak sebulan lalu dan ia bertambah teruk awal bulan ini.

Mereka yang diserang demam itu mengadu sakit sendi serta bengkak tubuh badan, selain mendapat ruam dan hilang selera makan.

Kampung berkenaan dihuni kira-kira 600 penduduk membabitkan Melayu, India dan Cina serta mempunyai bekalan air bersih.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081213211736/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...