Monday, December 15, 2008

Rugi dek 'pelaburan bunian' - Puteri bunian, Tengku Jasnita didakwa mempunyai harta di 38 negara

Oleh JUNHAIRI ALYASA



AHLI dimestikan memakai inai pada jari sebagai bukti mereka ahli 'pelaburan bunian.'
--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Golongan 'kaki auta' rupa-rupanya sanggup melakukan apa sahaja bagi memperdayakan mangsa dan terbaru dengan 'menjual pelaburan alam bunian' yang kononnya mampu memberi pulangan jutaan ringgit kepada pelaburnya.

Kegiatan penipuan itu dikatakan membabitkan seorang lelaki yang mendakwa mempunyai gelaran Datuk yang licik menipu mangsa mereka yang kebanyakannya ingin kaya dengan cara mudah.

Lelaki itu dikatakan bergiat aktif mencari mangsa sejak lima tahun lalu dan tindakannya semakin agresif. Lelaki itu mendakwa berkahwin dengan seorang puteri bunian bernama Tengku Puteri Jasnita yang telah diamanahkan untuk menjaga harta-harta bunian yang kononnya ada di 38 buah negara di seluruh dunia.

Bagi memastikan orang ramai percaya dengan kata-katanya, lelaki tersebut turut menunjukkan timbunan wang kepada pelabur-pelabur untuk meyakinkan mereka.

Jumlah pelaburan minimum yang dikenakan ialah sebanyak RM3,000, RM5,000 dan RM10,000 untuk pelabur baru dan hanya terhad kepada kenalan terdekat sahaja.

Bagi pelabur lama yang sudah melabur melebihi RM30,000 dan dalam masa yang sama bertindak sebagai ejen bakal memperolehi pulangan melebihi RM100,000 dan ada yang dijanjikan keuntungan pelaburan sehingga RM1 juta.

Dipercayai lelaki 'auta' itu kini aktif memperdaya orang ramai terutama di Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Bagi memastikan penipuan lelaki tersebut tidak terbongkar, dia hanya mengehadkan pelaburan tersebut kepada keluarga terdekat sahaja dan tidak boleh diuar-uarkan kepada orang ramai selain mesti mamakai inai pada jari.

Sebelum seseorang ingin membuat pelaburan, mereka diminta untuk melakukan solat istiqarah untuk memohon petunjuk.

Selepas sejumlah wang dimasukkan, pelabur diberitahu akan mendapat mimpi banjir yang memberi maksud pelaburan tersebut bakal memberi pulangan lumayan, namun semua itu hanyalah penipuan semata-mata.

Ekoran taktik licik lelaki itu, ramai yang telah menjadi mangsa dan 10 daripadanya telah mendedahkan kegiatan itu kepada Kosmo! Ahad.

Menurut seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Johan, beliau adalah individu terakhir dalam keluarganya yang turut melabur dalam skim bunian itu.

"Setelah hampir setahun menunggu pulangan yang dijanjikan, satu bayang untung pun tak nampak sedangkan jumlah wang yang dilaburkan semakin bertambah.

"Mula-mula beri sedikit kemudian tambah lagi pelaburan sedangkan pulangan tidak dapat lagi," jelasnya.

Johan memberitahu, seorang daripada ahli keluarganya sudah empat tahun menunggu pulangan tetapi sampai sekarang masih tidak mendapat apa-apa.

Seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Jamal pula menjelaskan, dia percaya dengan kata-kata lelaki tersebut setelah ditunjukkan longgokan wang di dalam sebuah bilik khas dirumah lelaki terbabit.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...