Monday, January 5, 2009

Denggi: Jangan tolak ansur lagi

Oleh ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@kosmo.com.my



TOPI keledar yang dibuang ini digenangi air yang penuh dengan jentik-jentik di pekarangan pangsapuri Pudu Hulu, Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Jangan kompromi lagi!
Itu desakan orang ramai yang mahu pihak berkuasa bertegas mengenakan kompaun atas kesalahan membiak nyamuk dan secara tidak langsung menyumbang kepada menularnya wabak denggi dan chikungunya.

Ada yang berpendapat, mentaliti masyarakat tidak akan berubah jika pihak berkuasa tidak konsisten dalam menguatkuasakan peraturan itu.

Kebimbangan itu berasaskan kepada peningkatan korban kes denggi kepada 108 tahun lalu, naik 10 mangsa berbanding 2007 manakala Chikungunya pula kini mencatatkan hampir 4,200 kes.

Seorang penduduk pangsapuri Pudu Hulu di sini, Ghazali Ahmad, 43, berkata, bulan lepas sahaja tiga kes denggi telah dikesan di pangsapuri itu, semuanya didakwa berpunca daripada sikap membuang bekas plastik di merata-rata tempat.

"Ia menyebabkan air bertakung dan membiakkan nyamuk,'' ujarnya.

Katanya, kerajaan wajar lebih tegas mendenda mereka yang bersalah sambil tidak melupakan aspek pendidikan.

Langkah itu turut disokong oleh seorang lagi penduduk, Zulkifli Abd. Ralib, 45, yang mahu kerajaan melakukan tindakan serius jika ingin menangani masalah penyakit yang dibawa oleh nyamuk.

"Cuba lihat pangsapuri ini. Walaupun pelbagai memo dan nasihat dibuat, mereka tetap tidak ambil kisah.

"Tetapi bila kena denggi pihak berkuasa yang dipersalah sedangkan mereka semua tahu denggi boleh membawa maut,'' ujarnya.





http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...