Monday, January 5, 2009

Pelajar dipaksa minum racun

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan dan Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


TRAUMA...Mohamad Akhir dijaga kakaknya, Siti Muniroh
di Hospital Pulau Pinang, semalam.


GEORGETOWN: “Saya tidak dapat bayangkan bagaimana ada orang tergamak memaksa adik saya minum cecair berbahaya sehingga dia terlantar di hospital dalam keadaan trauma dan tidak mampu makan atau minum sejak beberapa hari lalu.

“Lebih menyedihkan, adik saya yang juga antara pelajar cemerlang di sekolahnya mungkin terpaksa menangguh pengajian sehingga tempoh setahun berikutan kecederaan dalaman yang serius,” kata Mohd Nasir Idris, 30, ketika dihubungi semalam.

Adiknya, Mohamad Akhir, 16, yang masih terlantar di Hospital Pulau Pinang (HPP) menjadi mangsa penculikan dalam kejadian Khamis lalu sebelum ditemui semula kelmarin.

Mohd Nasir berkata, selepas kejadian itu adiknya berada dalam keadaan trauma dan perlu sentiasa ditemani keluarga dan kakitangan hospital bagi mengurangkan tekanannya.

Katanya, sejak ditemui Mohamad Akhir tidak mampu bercakap berikutan kecederaan serius di mulut selepas dia mendakwa dipaksa minum sejenis cecair berwarna ungu dan putih disyaki racun atau asid.

“Sehingga hari ini, doktor masih tidak dapat mengenal pasti jenis cecair terbabit yang menyebabkan kecederaan dalaman serius sehingga mulutnya bengkak dan tidak mampu bercakap.

“Menurut doktor, kecederaan dalaman itu akan mengambil masa untuk sembuh dan ditambah pula dengan trauma yang dialami adik saya, kemungkinan cita-citanya untuk memasuki sekolah aliran teknik tidak tercapai tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Salleh Md Rashid, berkata remaja itu bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan dengan menulis butir kejadian yang menimpanya.

Beliau berkata, polis kini dalam proses siasatan dan sedang mendapatkan maklumat yang membawa kepada motif penculikan serta penangkapan pihak bertanggungjawab yang merancang melakukan jenayah itu.

“Ketika ini kami masih menyiasat bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat terbaru,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, bapa mangsa, Idris Shahid, 60, berkata Mohamad Akhir yang memperoleh 4A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu, mendakwa dilarikan bapa angkatnya, seorang kontraktor binaan berusia 50-an kira-kira jam 1.30 tengah hari pada hari kejadian.

Idris mendakwa anaknya dilarikan di hadapan rumah mereka sebelum kejadian itu disedari seorang jirannya yang kemudian memaklumkan kepadanya.

“Berdasarkan cerita yang ditulis anak saya, dia diculik dan dibawa ke satu lokasi oleh dua lelaki dipercayai warga Thailand sebelum dipaksa minum cecair berwarna ungu dan putih dipercayai racun sehingga muntah.

“Anak saya juga mendakwa lelaki itu mengancam menembaknya dengan pistol sebelum dia berpura-pura pengsan bagi menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di HPP, kelmarin.

Dia berkata, anaknya yang disangka pengsan kemudian dicampak ke tepi jalan berhampiran kawasan Balik Pulau sebelum Mohamad Akhir meminta pertolongan seorang lelaki yang melalui kawasan itu.

Idris berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Jelutong sejurus menerima panggilan telefon daripada lelaki berkenaan sebelum membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pada hari kejadian, Salleh mengesahkan seorang lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman berakhir.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105093610/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...