Monday, January 5, 2009

Laman ajak pesta seks

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhd Izawan Baharin
am@hmetro.com.my





KUALA LUMPUR: Memeranjatkan apabila pengguna Internet kini diterjah satu laman web baru mempelawa orang ramai menyertai pesta seks yang digelar ‘Pesta Seks di Seluruh Malaysia dan Nusantara’.

Budaya mempromosikan pesta seks mula popular di kalangan belia tempatan menimbulkan rasa resah di kalangan pengguna Internet dpercaya ada pihak seolah-olah mahu menarik minat remaja terjebak dalam aktiviti seks bebas.

Laman web menggunakan pelantar Wordpress itu dilihat sebagai satu propaganda pengendalinya mempromosikan parti seks bebas di kalangan remaja dan warga emas selain turut menyatakan negeri tertentu sedang sibuk berlangsungnya pesta.

Ini kerana laman web berkenaan langsung tidak menyatakan lokasi atau tarikh pesta berkenaan dilakukan sebaliknya lebih mempengaruhi orang ramai menikmati seks secara sebebas-bebasnya selain melabelkan polis serta pihak berkuasa sebagai musuh utama mereka kerana sering mengganggu.

Antara tajuk posting terbaru laman web itu adalah pesta seks warga emas, kakitangan kerajaan serta pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S).

Laman web dipercayai dibuka sejak Jun 2008 turut mendakwa mencapai lawatan 150,000 hits sehari dan memerlukan pasukan baru didakwa dianggotai pelajar Sains Komputer IPTA/S dan graduan perisian komputer mengendalikannya dengan sistem keselamatan lebih canggih bermula kelmarin.

Salah seorang pelayar laman web, Muhammad Haris Mokhtar, 29, berkata, dia mula menyedari kewujudan laman web parti seks berkenaan kelmarin selepas menerima e-mel dari rakannya.

Menurutnya, sebaik membuka laman web berkenaan, dia terkejut apabila mendapati semua posting lebih kepada ajakan melakukan pesta seks di kalangan remaja dan warga emas.

“Laman web itu mengajak pelayar menyertai kelab mereka tetapi individu berminat perlu melalui beberapa tapisan kononnya untuk mengelak daripada disertai polis atau pihak berkuasa lain.

“Dalam posting tahun 2008, pengendali itu memaparkan beberapa gambar bogel dengan menyatakan ia diambil dalam satu pesta seks di beberapa lokasi di ibu kota,” katanya.

Menurutnya, apa yang dikesalkan, laman web itu mendapat sambutan pelayar lain malah di ruangan komen, pelayar dilihat teruja mengetahui di mana serta masa pesta seks dilakukan.

“Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran laman web itu yang mendakwa mereka menganjurkan pesta seks tetapi amat menyedihkan kerana di saat generasi muda kita diasak dengan pelbagai masalah sosial, muncul pula laman web menggalakkan seks bebas dengan alasan berfikiran terbuka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin, berkata kewujudan laman web itu menjadi bukti kepincangan moral di kalangan generasi muda.

“Ia nyata bertentangan dengan akidah Islam yang secara jelas mengharamkan zina. Tindakan sebegini amat memalukan kerana Islam adalah agama yang sempurna namun disebabkan perbuatan jahat segelintir umatnya, ia mencemarkan agama suci ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku itu menunjukkan kurangnya bimbingan serta panduan agama di kalangan remaja sehingga mereka mengambil mudah serta tidak mempedulikan dosa atau pahala.

“Mereka mungkin belajar tinggi namun moral serta akidah rosak sehingga tidak dapat menilai apa yang buruk atau baik. Saya amat takut dengan perkembangan ini kerana generasi muda kita adalah pelapis masa depan namun disebabkan asakan dengan mempromosikan gaya hidup yang salah ini, mereka menjadi rosak,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu memantau laman web sebegitu serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengendalinya.

“Kita tidak mampu menyekat penyebaran laman web sebegini namun penyalahgunaan ini perlu dipantau,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090105092637/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...