Monday, January 5, 2009

Polis wanita larikan anak


Oleh ZAKI SALLEH



MOHD. RIZAL menunjukkan gambar dua daripada tiga anaknya yang didakwa dilarikan bekas isteri pada pertemuan di Pulau Pinang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


GEORGETOWN - "Tindakan bekas isteri merampas anak-anak daripada saya ternyata melanggar perintah mahkamah," dakwa ahli perniagaan, Mohd. Rizal Mohd. Salleh, 35.

Beliau kini buntu apabila enam laporan polis yang dibuatnya sejak dua minggu lalu tidak mendapat tindakan segera dan percaya ia berkait rapat dengan bekas isterinya yang merupakan seorang anggota polis.

Mohd. Rizal yang menetap di Seberang Perai memberitahu dia berpisah dengan isterinya pada 26 Jun 2007 lantaran tiada sefahaman sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang memutuskan hak penjagaan tiga orang anaknya Raihana Shahira, 7, Muhammad Rahimi, 5, dan Raihana Syazwana, 3, diberi kepadanya.

"Saya memang dapat kebenaran daripada mahkamah untuk penjagaan anak kerana sebelum ini dia (bekas isteri) tidak mahu menjaga anak kami, malah kesemua mereka dijaga ibu saya sejak dua tahun lalu setelah kami tinggal berasingan.

"Selepas bercerai, jarang-jarang dia pulang menjenguk, tapi pada 22 Disember lalu dia ke rumah ibu saya di Tanjung Bungah untuk membawa anak-anak 'jalan-jalan' sebelum melarikan mereka ke Kuala Lumpur," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Katanya lagi, beberapa panggilan telefonnya juga tidak berjawab manakala cubaan mengesan bekas isteri yang merupakan anggota polis berpangkat rendah termasuk melalui pegawai atasannya gagal seolah-olah mereka cuba menutup mulut.

"Dua laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Tokong berhubung kes melarikan anak, satu laporan di Balai Polis Jalan Petani berhubung kes kekerasan terhadap ibu saya semasa cuba berbincang dengan bekas isteri untuk mengambil semula anak saya pada hari kejadian.

"Atas bantuan rakan-rakan, saya berjaya jejaki lokasi bekas isteri yang kini menetap di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan tunjukkan surat mahkamah serta minta dia serahkan anak-anak, tapi dia enggan sebaliknya mempertikaikan keputusan mahkamah," ujarnya.

Berikutan dengan kejadian itu, Mohd. Rizal berkata, beliau membuat tiga laporan serupa di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...