Monday, January 5, 2009

RM399 lesap, syarikat ghaib

Oleh AZELI ALI
mohdazeli.ali@kosmo.com.my




IRA menunjukkan borang keahlian dan resit bayaran RM399 semasa mendaftar sebagai ahli sebuah kelab pelancongan di George Town baru-baru ini.
-------------------------------------------------------------------------------


GEORGE TOWN - Kata-kata manis seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat pelancongan cukup membuat seorang eksekutif akaun teruja lalu melabur RM399 menjadi ahlinya.

Dengan bayaran tersebut, Ira Nasir (bukan nama sebenar) dijanjikan mendapat diskaun pakej pelancongan sehingga 50 peratus oleh lelaki itu selain berpeluang bermalam di lebih 600 hotel ternama di Malaysia serta 10,000 hotel di luar negara.

Namun impian Ira yang turut dijanjikan baucar penginapan percuma dua hari satu malam berkecai apabila kaunter syarikat di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Ampang di sini 'ghaib'.

"Semuanya bermula apabila saya terima panggilan daripada syarikat terbabit April tahun lalu yang menawarkan keahlian kelab untuk mendapat pelbagai keistimewaan melancong.

"Saya kemudian ke kaunter syarikat itu dan terpedaya dengan kata-kata manis pegawai pemasarannya," kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Sehubungan itu, Ira memberitahu, beliau diberi kad keahlian serta sebuah buku panduan penginapan hotel yang kononnya dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia setelah menjelaskan bayaran menggunakan kad kredit berjumlah RM399.

Apa yang terlintas di fikiran Ira semasa itu, peluang melancong ke Langkawi selain berura-ura menggunakan kemudahan yang ditawarkan sebagai ahli kelab terbabit untuk ke Bandung pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, kata Ira, cubaannya menghubungi syarikat itu beberapa bulan kemudian gagal sebelum menyedari dirinya tertipu setelah mendapati laman web syarikat terbabit tidak dapat dilayari.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...