Sunday, February 22, 2009

Ada bukti kes dakwaan salah guna kuasa kereta Lexus, lembu


KENDERAAN SUV Lexus milik Khalid yang didakwa diselenggara menggunakan dana kerajaan negeri Selangor.





PULAU PINANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkata, ia telah mempunyai bukti dan keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar kecil) dalam penyelenggaraan sebuah kereta mewah dan pembelian lembu korban.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, suruhanjaya itu telah selesai menjalankan siasatan dan kini terserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan.

"SPRM boleh buat keputusan tetapi eloklah jika kita serah kepada Peguam Negara untuk mempertimbangkan dan mengambil tindakan, ini melibatkan orang kenamaan dan kita perlu adil kepada semua orang," katanya di sini.

Ahmad Said berkata, dari segi teknikalnya memang terdapat keterangan berhubung dakwaan itu.

Abdul Khalid sebelum ini didakwa menggunakan dana kerajaan negeri untuk menyelenggara kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus milik peribadinya yang bernombor WQR 779 serta pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 menggunakan wang kerajaan negeri.

Selain itu, Ahmad Said berkata, SPRM juga akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN negeri itu.

Katanya, kes salah guna kuasa Sivakumar itu akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...