BISHKEK - Kerajaan Kyrgyzstan kelmarin menyerahkan notis enam bulan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk mengosongkan pangkalan udara negara itu yang menjadi pangkalan bekalan utama operasi ketenteraan Pentagon di Afghanistan.
Satu-satunya pangkalan AS di negara bekas Kesatuan Soviet yang dibina sejurus selepas kejadian 11 September 2001 berkenaan merupakan simbolik terhadap perkongsian strategik AS-Rusia.
Hubungan kedua-dua negara bertukar dingin sejak akhir-akhir ini.
Jurucakap pangkalan Manas, Major Damien Pickart berkata, para pegawai tentera akan mula bersiap untuk berundur.
"Mereka (Kyrgyzstan) memberitahu masa kami sudah tamat hari ini (kelmarin). Saya tidak tahu jika pengunduran ini mengambil masa enam bulan," kata Pickart.
Pangkalan Manas merupakan pusat hubungan penting yang menjadi transit kepada 15,000 askar AS dan 500 tan kargo setiap bulan.
Presiden Kyrgyzstan mengumumkan pengusiran AS dari Manas sebaik Moscow memberi jaminan pinjaman sebanyak AS$2.1 bilion (RM7.7 bilion) kepada negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.
AS kini mencari alternatif baru termasuk Uzbekistan yang pernah menjadi pangkalan tentera udara AS ketika konflik Afghanistan pada 2001-2005.
Pemerintah operasi AS di Afghanistan dan Iraq, Jeneral David Petraeus berjumpa Presiden Islam Karimov di Tashkent awal minggu ini namun tidak ada maklumat terperinci diperoleh. - AP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment