Sunday, February 22, 2009

Tunggang lawan arus

Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
metahad@hmetro.com.my


TAHAN...anggota polis trafik menyiasat dua lelaki (bergari) 
yang ditahan selepas menunggang berlawan arus ketika 
cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Lebuh 
Farquhar, malam kelmarin.


GEORGETOWN: Gara-gara tiada lesen memandu, seorang remaja melakukan aksi ‘berani mati’ apabila menunggang motosikal melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya pihak berkuasa di Lebuh Farquhar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, remaja berusia dalam lingkungan 20-an itu yang menunggang motosikal jenis RXZ dari arah Jalan Penang menghala ke Lebuh Farquhar bukan saja membahayakan diri sendiri, tetapi juga rakannya yang menjadi pembonceng.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Che Wan Aziz Che Wan Husin, berkata ketika Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengadakan sekatan jalan raya, motosikal dinaiki kedua-dua lelaki itu berpusing balik melawan arus sehingga hampir melanggar beberapa kenderaan lain.

“Bagaimanapun, dalam keadaan kelam-kabut berikutan dikejar penguat kuasa JPJ, motosikal berkenaan terjatuh dan kedua-duanya berjaya ditahan.

“Penunggang motosikal itu kemudian memberi alasan melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Che Wan Aziz berkata, hasil pemeriksaan, polis kemudian menemui sebungkus gam yang dipercayai milik seorang daripada suspek dan segulung rantai enjin motosikal.

Beliau berkata, penemuan bungkusan gam itu membuktikan mereka adalah penagih gam dan rantai enjin motosikal itu pula dipercayai digunakan sebagai senjata.

“Kami mendapati penunggang motosikal berkenaan bukan saja tidak mempunyai lesen memandu, malah kenderaan itu juga tidak ada cukai jalan dan juga perlindungan insurans.

“Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk dibuat laporan tangkapan.

“Siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dalam keadaan berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau maksimum RM15,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090222090531/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...