Sunday, February 22, 2009

Tak berperikemanusiaan

Oleh SARAH ZULKIFLI
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya berharap individu yang memukul anak saya sehingga meninggal dunia akan menghargai nyawa. Sebagai manusia, kita tidak boleh menghukum orang dengan sewenang-wenangnya.”

Demikian kata Mohamad Din, 52, bapa kepada pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, Mohd Hadzrin Mohamad, 16, yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1 pagi semalam selepas koma hampir seminggu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Allahyarham, anak bongsu daripada enam beradik, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas koma akibat dibelasah dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal, dipercayai oleh enam lelaki, berhampiran sekolah berkenaan, 13 Februari lalu.

Mohamad berkata, perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas anaknya sangat dikesali dan berharap mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

“Bagaimanapun, saya reda dengan pemergian Mohd Hadzrin dan menganggap ia sebagai ujian Allah. Dia anak yang baik dan patuh kepada ibu bapa serta periang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan Sungai Besi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Mohd Hadzrin bersama beberapa rakannya menunggu di depan sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah dengan seorang remaja lelaki yang dikatakan keluar bersama teman wanitanya.

Bagaimanapun, mangsa dan rakannya terkejut apabila mereka didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal sebelum dibelasah menggunakan besi, topi keledar dan pengunci motosikal.

Akibat kejadian itu, mangsa dikejarkan ke ICU PPUKM dan serangan itu menyebabkan dia koma selepas pembedahan dilakukan.

Sejak dimasukkan ke PPUKM, Allahyarham terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan selepas otaknya tidak berfungsi dipercayai akibat darah beku.

Jenazah Allahyarham tiba dari PPUKM di surau Desa Tasik, Sungai Besi semalam untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan untuk dikebumikan pada jam 3 petang.

Lebih 200 ahli keluarga, sahabat handai serta penduduk kampung mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata polis menahan reman empat remaja lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.

“Kami turut memburu seorang remaja lelaki yang juga suspek utama kes berkenaan yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, polis mengharapkan kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090222090705/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...