Tuesday, April 28, 2009

100 NGO tidak setuju

Oleh Erywan Norshal



KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang pasangan itu menukar agamanya, mengejutkan hampir 100 badan bukan kerajaan (NGO) Islam apabila ia dibuat tanpa perbincangan dengan mereka.

Presiden Persatuan Peguam Syarie, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata Kabinet seharusnya mempertimbangkan dan berbincang dengan NGO Islam sebelum membuat keputusan itu.

Menurutnya, hampir 100 NGO Islam tidak bersetuju dengan keputusan itu dan menegaskan bahawa perubahan berkenaan perlu mengambil kira proses undang-undang yang ada.

“Selain itu, Kabinet perlu mengambil pandangan golongan profesional termasuk pakar agama dan mufti sebelum membuat keputusan.

“Walaupun keputusan Kabinet itu bukan muktamad, ia mencemaskan kerana dibuat tanpa mendapat pandangan daripada NGO serta pakar agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan NGO Islam kerana membantah berhubung keputusan itu.

Turut hadir, Presiden Persatuan Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru India, Abdul Latif Satheran Abdullah; Setiausaha Agung Pertubuhan Peguam Pembela Islam, Zainul Rijal Abu Bakar; Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Muhamad Burok.

Sementara itu, Setiausaha Agung Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, Sabariah Abdullah berkata, NGO berharap Kabinet menarik balik keputusan itu kerana ia bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

“Negara kita ramai pakar agama termasuk daripada kerajaan, sepatutnya Kabinet merujuk kepada mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, dipetik berkata keputusan itu adalah langkah jangka panjang bagi menyelesaikan isu dilaporkan berlaku di Perak, membabitkan seorang lelaki Hindu yang memeluk Islam dan kemudian mengislamkan tiga anaknya tanpa pengetahuan isteri. 

“Dalam kes ini, Kabinet berpendapat ketiga-tiga anak pasangan itu perlu mendapat hak serta penjagaan mengikut ajaran Hindu kerana ia agama kedua-dua ibu bapanya ketika perkahwinan, tambahan pula pasangan itu belum bercerai.

“Keputusan itu dibuat untuk melindungi pihak yang menjadi mangsa serta memastikan wujud keadilan dan kita memegang kepada prinsip, perceraian mereka mesti diputuskan mengikut undang-undang sivil kerana pasangan itu berkahwin mengikut agama Hindu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090425092709/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...