Tuesday, April 28, 2009

Buruh Dhaka di Baghdad

Iraq masih tetap menjadi pilihan buruh asing untuk mencari rezeki meskipun negara itu masih dianggap berbahaya.


WARGA Bangladesh sanggup memperjudikan nasib mereka di Iraq walaupun menyedari suasana bekerja di negara itu masih tidak selamat.


ABUL AL-HOSSEIN yang baru tiba dengan penerbangan dari Dhaka melalui Dubai berkata, dia boleh memandu kereta, bas dan trak. Justeru, dia mahu melakukan pekerjaan itu apabila berada di Iraq.

Namun begitu, mungkin sukar untuk Hossein mendapatkan pekerjaan tersebut di Baghdad. Tambahan pula, lelaki Bangladesh berusia 39 tahun itu langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Arab.

Apabila dimaklumkan mengenai berita buruk itu, Hossien yang merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata cepat-cepat beralih pada pelan B di mana dia juga pernah bekerja sebagai tukang masak dan pakar dalam kuisin India. Dia boleh melakukannya sebagai ganti.

"Keluarga dan anak-anak saya begitu terdesak mahukan duit. Mereka perlukan duit untuk meneruskan kehidupan," katanya sambil duduk di atas sofa berhabuk di sebuah lobi hotel murah yang menjadi tempat tinggal sementaranya ketika ini.

"Malah, isteri saya juga menyarankan agar saya cuba mencari pekerjaan di negara lain termasuk Iraq. Jadi, sebab itulah saya berada di sini," tambahnya.

Ia kelihatan pilihan yang memeranjatkan. Ini kerana menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kadar pengangguran di Iraq mencatat jumlah 18 peratus dengan lelaki berusia antara 15 hingga 29 tahun mewakili 57 peratus daripada angka tersebut.

Bekerja di Iraq turut datang dengan harga yang tersendiri. Buruh-buruh dari Filipina, India, Nepal, Pakistan dan China merupakan antara mereka yang tertindas atau melarikan diri daripada pemberontak dalam tahun-tahun penuh sengsara dan kacau-bilau yang diikuti dengan serangan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.


RAMAI buruh Bangladesh bekerja di Timur Tengah tanpa permit yang sah.


Sejak itu, tahap keselamatan semakin ditingkatkan, tetapi Iraq masih kekal sebagai sebuah negara yang berbahaya dengan pengeboman kereta dan serangan berani mati menjadi sebahagian daripada kehidupan di negara itu.

Malah dalam kemusnahan akibat perang di Baghdad, Sadoun Street iaitu lokasi terletaknya hotel yang diduduki Hossien berada dalam suasana yang muram dan sepi.

Laluan pejalan kaki hancur dan jalan raya berlubang-lubang disebabkan letupan dan tembakan yang sering berlaku di kota tersebut. Tidak ketinggalan, rumah penduduk turut musnah sekali gus menandakan kebangkitan ekonomi sukar dilihat.

Tetapi, di bawah terik mentari dalam musim bunga, Hossien dan beberapa rakan senegaranya yang tinggal di Hotel Al Manar mempunyai harapan tinggi agar Baghdad dapat menawarkan wang dan prospek untuk kehidupan lebih baik.

Massoud Monir, 32, merupakan mandur kepada 20 pekerja di sebuah kilang seramik di Dhaka, tetapi pekerjaan itu masih belum dapat menjamin sumber kewangannya menjadi lebih baik. Kini, dia bekerja di sebuah hotel di Baghdad.

"Di Bangladesh, sukar untuk kami meneruskan hidup, untuk mendapatkan duit dan juga makanan. Sebab itulah, saya mengambil keputusan untuk ke Baghdad," kata Monir yang sampai ke negara itu sebulan yang lalu.

Tidak takutkan apa-apa

Harga makanan meningkat hampir dua kali ganda di Bangladesh pada tahun 2008 selepas pengeluaran bijirin dimusnahkan oleh banjir besar dan bencana siklon pada tahun-tahun sebelumnya.

Ia menyebabkan 40 peratus daripada jumlah penduduk di negara seramai 160 juta itu memperoleh sumber pendapatan kurang daripada satu dolar setiap hari.


PEKERJAAN sebagai tukang cuci dan pelayan banyak dilakukan oleh warga asing di Iraq.


Justeru, rakyat Bangladesh mahu melarikan diri daripada kemiskinan yang membelenggu di negara sendiri dengan bersedia untuk melakukan pekerjaan yang tidak dimahukan oleh penduduk Iraq. Soal keselamatan tidak timbul atau menjadi masalah buat mereka.

"Saya sanggup melakukan apa saja kerja. Saya tidak takut langsung pada apa-apa yang berlaku di negara ini," jelas Hossein.

Bagi peniaga tempatan yang mahu mengurangkan kos perbelanjaan, terutama mereka yang menjalankan perniagaan restoran dan kedai, rakyat Bangladesh ini dianggap kurniaan Tuhan.

"Bayaran untuk pekerja Bangladesh lebih murah dan dapat mengurangkan perbelanjaan kami," kata Raghid Abdul Razaq yang menggaji lebih 100 orang pekerja di Zawra Park, tengah Baghdad.

"Terdapat beberapa pekerjaan yang tidak mahu dilakukan oleh penduduk tempatan termasuklah sebagai tukang cuci, pelayan dan sebagainya. Jadi, kerja inilah yang boleh diberikan kepada mereka (buruh Bangladesh)."

Bagaimanapun, masalah visa adalah satu perkara normal di sini. Kementerian Buruh berkata, ramai rakyat Bangladesh yang bekerja di seluruh Asia Timur sebagai buruh murah tidak mempunyai permit secara sah.

Dalam beberapa kes, pekerja yang sebelum ini bekerja untuk angkatan bersenjata campuran akan menyertai pasaran buruh gelap apabila kontrak mereka tamat, menurut sumber kerajaan.

Hal ini berlaku kepada Belal Uddin Alan yang kini bekerja sebagai ejen kerahan. Anak kelahiran Dhaka berusia 32 tahun itu bekerja di kem tentera AS sehingga penghujung tahun 2008.

Selepas tamat tempoh itu, dia tidak mahu kembali ke negaranya dan sebagai seorang yang pandai berbahasa Arab, dia nampak peluang yang ada di sana.

"Bayaran gaji antara AS$150 (RM540) hingga AS$250 (RM900) tidak boleh ditemui di Bangladesh. Untuk bekerja, situasi di Iraq tetap bagus," katanya. tanpa menghiraukan keselamatan diri. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...