Tuesday, April 28, 2009

Izin satu pihak memadai

Oleh Hayati Ibrahim



PUTRAJAYA: Isu penentuan status agama anak apabila ibu atau bapa memeluk Islam perlu dilihat kepada aspek hukum syarak dan perundangan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya.

“Berdasarkan peruntukan ini, persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12 (4) adalah ‘parent or guardian’ bukannya ‘parents or guardian’ bermaksud ‘ibu atau bapa atau penjaga’,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Wan Mohamad berkata, Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pula memperuntukkan seseorang kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh masuk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

Menurutnya, antara kes dirujuk berkaitan dengan hak penentuan agama anak ialah kes R Subashini lawan T Saravanan iaitu Mahkamah Persekutuan memutuskan bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana berdasarkan peruntukan itu, agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya.

“Oleh itu, dalam kes ini suami berhak mengislamkan anaknya walaupun isteri tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya,”
katanya.

Beliau berkata, mengikut hukum syarak pula, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam kerana jika orang yang menjaga itu bukan beragama Islam dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

“Hak seorang mualaf di sisi undang-undang juga perlu dipertahankan. Kita tidak sewajarnya menganggap seseorang memeluk Islam bertujuan melarikan diri daripada tanggungjawab,” katanya.

Sambil merujuk kepada kes Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Perak yang menuntut hak penjagaan tiga anaknya, Wan Mohamad berkata, Jakim berpandangan semua pihak perlu bersabar dan menghormati keputusan kes memandangkan perbicaraan belum selesai.

“Semua pihak juga seharusnya mematuhi peruntukan undang-undang Islam dan Perlembagaan Persekutuan khususnya kerana ia undang-undang utama Persekutuan,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Keputusan itu yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet kelmarin langkah jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090425092528/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...