Friday, April 3, 2009

Kesan susu pada memori

Tidak banyak penyelidikan dijalankan terhadap fungsi nutrien susu secara menyeluruh dalam pembesaran fizikal dan mental kanak-kanak.




KEBANYAKAN ibu bapa merasakan anak mereka hanya memerlukan susu ketika bayi. Mereka akan berhenti memberikan susu apabila kanak-kanak ini mula memasuki alam persekolahan.

Tambahan pula, kanak-kanak mula tidak berminat terhadap susu disebabkan terpikat pada kepelbagaian minuman manis berkordial di pasaran.

Susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien. Ia adalah sumber vitamin dan mineral yang baik, seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium.

Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga.

Semua nutrien ini penting untuk satu atau lebih jenis fungsi. Kandungan kalsium yang terdapat di dalam susu turut menjadikannya istimewa.

Bagaimanapun, tidak banyak penyelidikan dijalankan terhadap fungsi nutrien susu secara menyeluruh dalam pembesaran fizikal dan mental kanak-kanak.

Dalam usaha mengesahkan kesan pengambilan susu kepada perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, Dutch Lady Milk Industries (M) Berhad (Dutch Lady Malaysia) dan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) kini menjalin kerjasama.

Satu ujian klinikal bagi menentukan keberkesanan meminum susu ke atas perkembangan mental kanak-kanak di negara ini akan dilakukan.

Menurut Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik UPM, Dr. Mohd. Nasir Mohd. Taib, tujuan ujian tersebut dijalankan adalah untuk melihat bagaimana susu memberi kesan kepada pembentukan memori kanak-kanak, tindak balas dan daya konsentrasi mereka.

"Kajian ini akan berjalan selama enam hingga lapan bulan mulai bulan depan melibatkan 30 kanak-kanak berumur lima tahun di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media di syarikat Dutch Lady Milk Industries, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Jelasnya, projek penyelidikan klinikal nutrisi yang dianggarkan bernilai setengah juta ringgit tersebut akan menguji 30 kanak-kanak dengan pengambilan empat dos susu berbeza sebelum prestasi mental mereka dinilai.

Penilaian akan dibuat bagi seorang kanak-kanak berumur lima tahun dalam mendefinisikan nombor dan gambar, memori lisan, memori ruang, waktu reaksi dan kebolehan memfokus dan menumpukan perhatian.

Ia adalah satu peristiwa penting yang membantu dalam menentukan pembangunan minda seseorang kanak-kanak.

Hasil kajian itu kelak akan dijadikan satu sumber asas maklumat saintifik tempatan yang dapat menunjukkan kesan dan perbezaan perkembangan mental berbanding di negara lain, hasil pengambilan nutrien susu.

Penilaian dibuat melalui siri ujian komputer yang dibangunkan oleh Cognitive Drug Research, sebuah institut penyelidikan antarabangsa di United Kingdom.


DUTCH Lady Malaysia dan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia menjalin kerjasama dalam satu projek penyelidikan berkaitan susu.


Dalam pada itu, Pengarah Urusan Dutch Lady, Hans Laarakker pula berkata, kerjasama dengan UPM itu diharap dapat mencapai komitmen kepakaran nutrisi Dutch Lady Malaysia selepas lebih 50 tahun bertapak di Malaysia.

Selain mementingkan kebersihan produk tenusu di pasaran, kajian nutrisi produk tersebut dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam memastikan kanak-kanak dibekalkan dengan sumber nutrien yang cukup dan lengkap sepanjang tempoh pembesaran mental dan fizikal mereka.

Dengan itu, katanya, pengguna akan mendapat kepastian maklumat yang disampaikan bukan atas dasar dakwaan kosong tetapi hasil daripada fakta penyelidikan saintifik yang boleh dipercayai.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...