Friday, April 3, 2009

Kuatkan imun tubuh

Penawar homeopati diperoleh dari alam semula jadi seperti galian dan logam, daripada tumbuhan dan haiwan dan kini diperoleh dari sumber sinaran atau pancaran.




SEORANG gadis berusia 27 tahun didapati menghidap penyakit tulang belakang sejak terjatuh ketika diragut di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Selepas dua tahun insiden itu, gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Siti tidak lagi selincah dahulu.

Kini, pergerakan Siti yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam agak terbatas. Dia sukar membengkokkan badan ketika solat atau melakukan aktiviti yang melibatkan pergerakan badan yang banyak.


KEELI CAMBOURNE (kanan) mengusap minyak homeopati pada lengan seorang kanak-kanak di Kuala Lumpur.


Kesakitan yang Siti alami membuatkan ibu bapanya membawa dia ke salah sebuah hospital pakar. Menurut doktor, Siti mengalami sakit sendi rusuk (spondilosis servikal) berkaitan tulang belakang dan perlu melakukan pembedahan.

Oleh kerana Siti takut melakukan pembedahan, dia meminta ibu bapanya membawanya berubat secara alternatif sahaja. Akhirnya, ibu bapa Siti mencuba kaedah homeopati selepas diperkenalkan oleh rakannya yang pulih daripada penyakit migrain.


KESAKITAN tulang belakang dikatakan boleh dirawat dengan menggunakan rawatan homeopati.


Selepas beberapa kali Siti mempraktikkan rawatan homeopati, kesakitan tulang belakang yang dialaminya beransur-ansur pulih. Kini, dia boleh melakukan pergerakan tanpa berasa sakit.

Apa yang anda faham mengenai homeopati?

Menurut Pengasas Cherub Rubs dan juga pengamal homeopati, Keeli Cambourne, penawar homeopati dihasilkan daripada bahan-bahan semula jadi tanpa menyebabkan kerosakan kepada persekitaran.

"Penawar homeopati diperoleh dari alam semula jadi seperti galian dan logam, daripada tumbuhan dan haiwan dan kini diperoleh dari sumber sinaran atau pancaran.


ADA pesakit mendakwa kesakitan tulang belakang yang dialaminya berkurangan selepas menerima rawatan alternatif homeopati. – Gambar hiasan





"Selain sebagai rawatan, teknik homeopati juga bertindak sebagai perubatan pencegahan.

"Kaedah rawatannya ialah menguatkan imun tubuh untuk melawan penyakit sekali gus berusaha menyembuhkan penyakit sehingga ke akar umbi," katanya yang telah mengamalkan perubatan homeopati selama 15 tahun.

Wanita kelahiran Australia itu berkata, semakin banyak negara di dunia kini mengamalkan perubatan homeopati, selain menerima rawatan perubatan yang biasa.

Beberapa penyakit tertentu dikatakan boleh dirawat menggunakan kaedah ini.

Kenapa Cambourne memilih perubatan homeopati? Beliau memberitahu, perubatan homeopati mampu merawat pesakit secara keseluruhan.

"Ia bukan sahaja merawat dari segi fizikal, malah dari segi spiritual dan emosi seseorang pesakit," ujarnya.

Tambah ibu kepada tiga orang anak itu, ia bukanlah suatu keanehan jika dua pesakit yang mempunyai sakit yang sama tetapi diberi dua penawar yang berbeza.

"Inilah yang membezakan antara rawatan homeopati dengan rawatan lain yang menyediakan ubat untuk membunuh kuman penyakit berkenaan.

"Dengan kata lain, homeopati lebih kepada rawatan holistik iaitu memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakitnya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Cherub Rubs (produk penjagaan bayi dengan menggunakan penawar homeopati) di Restoran Delicious, One Utama, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, perubatan homeopati turut pernah diamalkan oleh beberapa orang kenamaan dan selebriti seperti Puteri Diana, Tina Turner, Mahatma Gandhi, Dizzy Gillespie, Tony Blair, Elizabeth Talyor, Bismarck, Barbara Cartland, Mark Twin, Susan Hampshire dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...