KUALA LUMPUR -- Kerajaan akan meneruskan subsidi gula pada tahun depan bagi  memastikan rakyat tidak terbeban selain memastikan proses
ke arah  liberalisasi harga dapat dilaksanakan secara  berperingkat-peringkat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri,  Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata tindakan penamatan program  subsidi akan menjejaskan kredibiliti kerajaan terutamanya di kalangan rakyat  yang telah menikmati faedah besar daripada subsidi itu.
"Kerajaan  sentiasa prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin dan  terpelihara akibat kesan kenaikan harga terutama barang keperluan semasa. 
"Oleh itu kerajaan masih meneruskan subsidi bagi gula dan tepung gandum  demi memastikan harga barangan akhir tidak meningkat secara mendadak," katanya  ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di  peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, di sini hari ini. 
Dalam pada itu Tan berkata, kementerian bercadang untuk melanjutkan  kontrak 2,000 orang Pegawai Pemantau Harga bagi tempoh tiga tahun bagi  memantapkan lagi tugas-tugas pemantauan harga.
Katanya kementerian itu  turut mengkaji cadangan untuk menyerapkan
sebahagian pemantau tersebut ke  jawatan tetap.
Ketika ini terdapat seramai 1,600 orang Pegawai Pemantau  Harga di bawah
Majlis Harga Barang Negara (MHBN) selain 1,922 orang pegawai  penguatkuasa di seluruh negara.
Selain itu Tan berkata empat entiti  perniagaan melibatkan sembilan individu telah dikenakan tindakan undang-undang  atas kesalahan menganjurkan aktiviti"kutu" sehingga bulan lepas.
"Dari  aspek pencegahan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil inisiatif  untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai skim-skim pelaburan itu yang  berleluasa melalui kempen selain maklumat melalui siaran media massa,"  katanya.
Larangan terhadap perniagaan yang mempromosikan dana kutu dan  aktiviti
penganjurn wang kutu adalah tertakluk mengikut Akta (Larangan)  Kumpulan Wang Kutu 1971.
Tan berkata kesedaran orang ramai terhadap skim  "kutu" yang cuba
memperdayakan orang ramai juga semakin meningkat berdasarkan  kepada banyak maklum balas yang diterima SSM bagi mendapatkan pengesahan  mengenai skim tertentu anjuran pelbagi perniagaan dan syarikat.
Justeru,  kementerian meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan aktiviti  sedemikian yang bermotifkan penipuan serta mengaburi mata peserta dengan  janji-janji kosong perolehan keuntungan berlipat kali ganda.
Orang ramai  juga dimohon untuk membantu kementerian untuk memberi maklumat lengkap berhubung  aktiviti mencurigakan yang dijalankan mana-mana pihak agar tindakan awal dapat  diambil bagi membendung aktiviti seumpamanya. -- BERNAMA
http://www.sinarharian.com.my/bterkini/7557.asp
 
 
No comments:
Post a Comment