Tuesday, November 11, 2008

Najib tidak mahu gaduh dengan Wanita


Jimadie Shah Othman Nov 11, 08 2:59pm

Datuk Seri Najib Razak menerima keputusan Wanita Umno mengekalkan pelan peralihan kuasa dalam pergerakan itu pada Jun tahun depan.

"Saya hormati. Saya tidak campur tangan. Saya hormati apa juga keputusan Wanita," kata timbalan presiden Umno.

Exco Wanita yang bermesyuarat semalam sebulat suara memutuskan jawatan ketua dan naib ketua pergerakan itu tidak akan dipertandingkan demi menjaga perpaduan dalam parti.

Keputusan ini bermakna ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz dan naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan menang tanpa bertanding dalam pemilihan pergerakan itu kali ini.

Mesyuarat semalam juga setuju dengan pelan peralihan kuasa yang dijadualkan pada Jun tahun depan.

Ditanya perbezaan pandangan dalam pergerakan itu apabila Shahrizat meminta ketuanya mempercepatkan peralihan itu seiring dengan peralihan kuasa perdana menteri-timbalan perdana menteri, Najib berkata:

"Ya, apa-apa keputusan pun, ada pendapat yang berbeza. Dalam politik, mana ada seratus peratus (setuju)."

Tentang sama ada keputusan itu boleh mewujudkan perpecahan dalam pergerakan itu, beliau menyoal kembali pemberita: "Berlaku ke?"

"Apa-apa buat pun mesti ada kontra, (dan) pendapat yang berbeza. Jadi kita kena cari keputusan yang terbaik dalam keadaan dan situasi tersendiri.

"Jadi, Wanita sudah buat keputusan sedemikian. Saya menerimalah. Saya menghormati keputusan Wanita. Saya tidak hendak bergaduh dengan Wanita."

Beliau berkata, keputusan supaya Rafidah dan Shahrizat berunding dengan Datuk Kamilia Ibrahim tentang peralihan itu juga terserah kepada pergerakan itu.

"Mereka boleh berunding sesama sendiri," katanya tengah hari tadi dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Sukan Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Shahrizat semalam berkata, beliau akan bertemu dengan exconya Datuk Kamilia Ibrahim yang layak bertanding jawatan naib, tetapi tidak menghadiri mesyuarat hari ini dan mesyuarat sebelumnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/92862

Segerakan alih kuasa Rafidah-Shahrizat



Abdul Rahim Sabri Nov 11, 08 12:29pm

Beberapa pemimpin Wanita bahagian di Sabah mendesak agar ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mempercepatkan peralihan kuasa kepada naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam persidangan agung Umno, Mac depan.

Semalam, pergerakan itu memutuskan pelan peralihan kuasa itu dikekalkan pada Jun 2009 dan tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua dalam pergerakan itu, tahun depan.

Ketua Wanita Umno Kudat, Aminah Ambrose menjelaskan pelan asal peralihan kuasa pergerakan akan menyukarkan Shahrizat untuk bekerja.

"Apabila beliau (Shahrizat) menjadi pemangku, tidak ada naib, susah untuk beliau bekerja.

"Ada kuasa (sebagai pemangku) tapi tak ada autoriti tak guna juga," katanya hari ini, ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, peralihan kuasa harus dipercepatkan kepada Shahrizat sebagai usaha untuk memperkasakan semula Wanita Umno.

Wanita bahagiannya mencalonkan Shahrizat sebagai ketua wanita dan Datuk Maznah Mazlan sebagai naib dalam mesyuarat Wanita bahagian baru-baru ini.

Katanya, beliau tidak dapat menerima sebab mengapa Rafidah tidak mahu menyerahkan jawatan kepada Shahrizat.

"Apa yang dia boleh buat dalam masa tiga bulan (Mac hingga Jun)?," katanya.

Aminah berasa yakin sekiranya Rafidah menyerahkan tugas kepada naibnya itu, perwakilan akan memberikan tepukan hormat sambil berdiri kepada beliau kerana berbuat demikian.

Sementara itu, Wanita Libaran meminta ketua Wanita Umno mempertimbangkan untuk mempercepatkan peralihan kuasa pada pemilihan agung Umno Mac depan.

"Saya memohon agar mempercepatkan peralihan kuasa dan tidak mahu ada pertandingan (ketua dan naib) dalam Wanita," kata ketua wanitanya, Datuk Armani Mahirudin.

Ditanya sebab peralihan perlu dipercepatkan, beliau enggan mengulas lanjut sebab-sebab itu.

Armani menjelaskan, tarikh peralihan kuasa yang dipersetujui pada Jun 2009 itu membelakangkan pendirian bahagian tersebut dan bahagian-bahagian yang mencalonkan Shahrizat sebagai ketua Wanita dan Datuk Kamilia Ibrahim sebagai naibnya.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kedua-dua pemimpin itu untuk berbincang berhubung keputusan itu agar tidak timbul perselisihan di antara mereka.

Bagi jawatan nombor satu, Rafidah mendapat 117 pencalonan, Shahrizat 73 sokongan; sementara jawatan naib Shahrizat peroleh 113 sokongan dan Kamilia (54).

http://www1.malaysiakini.com/news/92846

Aziz pengerusi baru SPR, ganti Rashid




Nov 11, 08 12:21pm


Ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuatkuasa mulai 31 Dis ini.


Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Abdul Aziz mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Abdul Aziz, 58, berkuatkuasa mulai 31 Dis ini sehingga beliau genap berusia 66 tahun, selaras dengan Fasal (3) Perkara 114
Perlembagaan Persekutuan, kata Mohd Sidek dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 24 Jan 1950.

Beliau, yang sebelum bersara wajib pada 24 Jan 2006 berkhidmat sebagai ketua setiausaha KDN, dan dilantik semula memegang jawatan yang sama secara kontrak.

Pelantikan Abdul Aziz sebagai pengerusi SPR adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang tamat tempoh perkhidmatan kerana mencapai umur 66 tahun pada 30 Dis ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/92840

Bayaran saguhati: Zaid dukacita tidak dapat kotai janji...


Nov 10, 08 12:54pm

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau kesal dan dukacita kerana tidak dapat mengotakan janji kepada bekas hakim-hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988 untuk tidak mendedahkan jumlah saguhati yang dibayar oleh kerajaan kepada mereka awal tahun ini.

Katanya, beliau selaku menteri yang bertanggunggung jawab dalam hal ehwal kehakiman dan perdana menteri telah bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim berkenaan atas permintaan hakim-hakim berkenaan yang dianggapnya sebagai wajar.

"Hakim-hakim berkenaan tidak pernah meminta wang ini dan tidak mahu wujud polemik pada kemudian hari dan tidak mahu mengalihkan hasrat murni ini jika perkara in ididedahkan.

"Kami kesal dan dukacita kerana kami tidak dapat mengotakan janji kami kepada hakim-hakim ini.

"Adakah ini bermakna bahawa kata-kata yang lahir dari bibir menteri kerajaan tidak lagi boleh dipandang serius?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam hakim berkenaan.

Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh.

Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.

Menurut Nazri, Salleh menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102, Seah pula menerima RM5,916, Hamzah (RM6,508), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) dan Azmi (RM5,916). Lihat video

Berikut adalah kenyataan penuh:

Bayaran pampasan (ex-gratia) dibayar oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan-kerajaan lain bila berlaku salah laksana keadilan (Miscarriage of justice). Umpamanya apabila berlaku sabitan salah atau sabitan sesuatu kesalahan terhasil lantaran sesuatu perbicaraan yang tidak adil atau apabila keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan kemudiannya didapati tidak tepat atau tidak boleh dipercayai. Di England, peruntukan di bawah Criminal Justice Act 1988 (Akta Keadilan Jenayah 1988) membenarkan pembayaran ex-gratia dibuat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengendors pembayaran sedemikian kepada mangsa-mangsa salah laksana keadilan di bawah International Covenant on Civil and Political Rights (Waad Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik).

Episod dalam tahun 1988 sudah jelas kepada ramai rakyat Malaysia dan dunia. Ketua Hakim Negara kita dan dua hakim kanan Mahkamah Agung telah dipecat. Tiga orang hakim kanan yang lain telah digantung kerja tetapi kemudiannya dilepaskan. Hakim-hakim berkenaan bukan sahaja telah mengalami dan menanggung kerugian kewangan bahkan telah turut menanggung pernghinaan dan malu keana mereka dipecat.

Panel Orang Terkemuka (Eminent Persons Group) yang antaranya terdiri daripada mantan Ketua Hakim India, mantan Hakim Mahkamah Agung Pakistan dan mantan Presiden LawAsia dari Australia, membuat kesimpulan bahawa komposisi kedua-dua Tribunal, proses yang diguna pakai oleh kedua-duanya dan hasil/dapatan dan kesimpulan yang dicapai terhadap Tun Salleh, Tan Sri Wan Suleiman dan Datuk George Seah tidak mempunyai justifikasi dan justeru penyingkiran mereka dari jawatan mereka tidak mengikut lunas perlembagaan dan non est.

Sukar untuk memahami bagaimana saat-saat gelap dan mendukacitakan dalam sejarah kita itu boleh terlepas daripada dihalusi oleh menteri undang-undang sekarang apabila beliau mengatakan bahawa hakim- hakim berkenaan telah diminta bersara awal dan tidak dipecat. Betapa orang yang berkuasa boleh memandang remeh soal ini? Terdapat cukup isu dewasa ini untuk kita mempolitikkannya tanpa memutar-belit kebenaran pemecatan hakim-hakim berkenaan pada tahun 1988.

Walaupun tindakan mendedahkan jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim adalah sesuatu yang diharapkan daripada mana-mana kerajaan yang mengamalkan ketelusan dan urus tadbir yang baik, cara pendedahan itu dibuat nampaknya mengajak orang ramai supaya memperkatakan lebih daripada persolan itu. Nampaknya orang ramai bukan sahaja diajak untuk mempersoalkan jumlah berkenaan, bahkan timbul persoalan sama ada bayaran berkenaan perlu dibuat atau tidak. Ini kerana kita diberitahu bahawa hakim-hakim telah diminta bersara awal dan bukannya dipecat. Jika mereka tidak dipecat, kenapa pula mereka dibayar ex-gratia? Jumlah pencen yang mereka terima telah ditonjolkan atau dibesar-besarkan. Sekali lagi ini membangkitkan persoalan kenapa pencen dibayar sedangkan mereka tidak berhak mendapat pencen jika mereka dipecat. Orang ramai yang tidak biasa dengan kes ini sudah tentu akan bertanyakan soalan: Adakah hakim-hakim ini tamak? Apakah saya memberi nasihat yang betul kepada Perdana Menteri? Sudahkah kepentingan pembayar cukai diambil kira dengan sewajarnya dalam membuat bayaran berkenaan?

Saya hendak menegaskan hal-hal yang berikut sekali lagi: tidak kira apa yang diperkatakan oleh sesetengah pihak tentang kes berkenaan, bagi saya pemecatan berlaku dan suatu perbuatan mempersendakan keadilan berlaku. Ia merupakan pelanggaran kebebasan badan kehakiman. Pemecatan berkenaan merupakan salah laksana keadilan yang paling berat. Walaupun sebanyak mana penjelasan yang mengatakan bahawa pemecatan hakim-hakim berkenaan adalah mengikut lunas undang-undang, ia tidak mampu menukar kebenaran bahawa hakim-hakim itu dipecat. Bayaran pencen kepada Tun Salleh tidak boleh menukar hakikat bahawa beliau telah dipecat. Jika bayaran pencen itu bukti tidak berlakunya pemecatan, maka bolehlah kerajaan meminta mana-mana hakim supaya bersara lebih awal asalkan pencen dibayar. Bagaimana keadaan ini hendak disesuaikan dengan konsep kebebasan badan kehakiman? Lainlah kalau kita tidak mengiktiraf konsep ini?

Saya telah mengesyorkan kepada Perdana Menteri supaya kerajaan membayar ex-gratia kepada mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan yang bertanggungjawab, sebagai suatu pampasan kerana keterlanjuran Kerajaan pada tahun 1988. Ia juga menjadi suatu isyarat bahawa Kerajaan sekarang menyokong integriti dan kebebasan institusi yang dihormati yakni badan kehakiman. Ini juga merupakan kemahuan Perdana Menteri supaya kita memperlihatkan ihsan dan ketinggian hati budi kepada hakim-hakim ini.

Saya juga telah bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim berkenaan. Ini adalah permintaan mereka yang wajar. Hakim-hakim berkenaan tidak pernah meminta wang ini dan tidak mahu wujud polemik pada kemudian hari dan tidak mahu mengalihkan hasrat murni ini jika perkara in ididedahkan. Kami kesal dan dukacita kerana kami tidak dapat mengotakan janji kami kepada hakim-hakim ini. Adakah ini bermakna bahawa kata-kata yang lahir dari bibir menteri kerajaan tidak lagi boleh dipandang serius?

Kita tidak sepatutnya merosakkan usaha murni Perdana Menteri dengan membawa isu-isu yang akan melemahkan niat murni dan kemurahan hati kerana itulah yang merupakan asas bayaran berkenaan dibuat. Anda boleh membayar pencen untuk mempamerkan sifat kemanusiaan anda, tetapi pencen tidak mengalihkan hakikat bahawa hakim-hakim berkenaan telah dipecat. Hakim-hakim ini adalah orang bermaruah dan dihormati. Mereka tidak pernah sekali-kali meminta bayaran ini.

Saya telah secara sukarela bagi pihak kerajaan menawarkan bayaran ini kepada mereka kerana saya merasakan wajar untuk berbuat demikian. Tiada rundingan yang dibuat dengan mereka mengenai jumlah bayaran yang hendak dibuat. Saya dapatkan angka itu berdasarkan apa yang dibayar oleh kerajaan-kerajaan lain yang bertanggungjawab kepada warganegara mereka dalam kes-kes membabitkan salah laksana keadilan walaupun sukar untuk membuat perbandingan kerana tidak ada kerajaan yang bertanggungjawab di mana-mana juga di dunia ini yang memecat hakim-hakim utama mereka 'sekali rentap' sebagaimana yang kita lakukan.

Walau bagaimanapun, England membayar Gerard Conlon dalam pengemboman Guilford Four sebanyak £400,000 (kira-kira RM2.7 juta ketika itu); New Zealand membayar David Dougherty NZD 800,000 (kira-kira RM2 juta) kerana sabitan salah selepas keterangan DNA membersihkan namanya. Kedua-dua kerajaan ini telah memohon maaf kepada mangsa-mangsa berkenaan dan membuat bayaran ex-gratia. Dalam kes kita, ketika itu saya tidak berupaya meminta kerajaan Barisan Nasional memohon maaf.

Saya harap kenyataan dan sindiran mereka yang masih seronok menyelar hakim-hakim berkenaan, sama ada secara langsung atau melalui kata-kata mereka yang mempersenda, menyindir dan mencemuh, yang sememangnya sudah menjadi 'trademark' mereka, tidak akan mengganggu dan menguris hati hakim-hakim yang telah menerima bayaran berkenaan. Rakyat negara ini sentiasa ingat akan khidmat dan keberanian anda. Anda telah selama ini menjadi inspirasi kepada sesetengah hakim Mahkamah Tinggi kita yang akhir-akhir ini telah memperlihatkan bahawa semangat kebebasan untuk menegakkan keadilan masih hidup dan subur.

http://www1.malaysiakini.com/news/92770

Zaid dapat surat tunjuk sebab dari Umno


Nov 10, 08 11:52am

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah menerima surat tunjuk sebab dari Umno.

Menurutnya, surat tunjuk sebab itu berkaitan dengan surat terbukanya dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Zaid, parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau menerima surat tunjuk sebab itu minggu.

Zaid berkata, peguamnya Malik Imtiaz Sarwar akan menjawabnya secepat mungkin.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabient kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Minggu lalu, beliau turut melepaskan jawatan senator.

Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

http://www1.malaysiakini.com/news/92761

113 k'tangan sambilan JPN K'tan diberhenti

Nov 10, 08 4:20pm

Seramai 113 kakitangan sambilan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan yang telah berkhidmat antara 10 dan 18 tahun, kini terpaksa mencari pekerjaan lain kerana perkhidmatan mereka tidak disambung,
kata Pengerusi Cuepacs Kelantan Samsudin Mohd Noor.

Menurutnya, kakitangan tersebut kini terpaksa mencari pekerjaan seperti memandu teksi bagi menyara keluarga.

Samsudin berharap kerajaan mengambil kembali kakitangan terbabit untuk berkhidmat di agensi lain yang sesuai dengan kelayakan dan pengamalan mereka, demikian dilaporkan Bernama.

Katanya 300 tukang kebun dan jaga di Kelantan turut menerima surat pemberhentian kerja sehingga 31 Disember ini dengan alasan kekosongan itu akan diisi oleh kakitangan swasta.

"Apakah kerajaan mahukan mereka menganggur sedangkan mereka sebelum inipun berpendapatan bawah paras kemiskinan tegar iaitu kurang dari RM500 sebulan," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/92794

Pembelaan diri Azilah, Sirul ditunda ke 15 Januari


Nov 10, 08 4:34pm

Dua komando polis, Cif Insp Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, perlu menunggu sehingga 15 Januari tahun depan untuk membela diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ini kerana peguam bela masing-masing, Datuk Hazman Ahmad dan Kamarul Hisham Kamaruddin, tidak dapat menghubungi dan menemu bual saksi yang mereka rancang untuk dipanggil memberikan keterangan.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan mereka dan memberi tempoh dua bulan untuk mereka membuat persediaan kes, demikian dilaporkan oleh Bernama

"Saya hendak kes ini dibicarakan berterusan bermula 15 Januari sehingga selesai," katanya.

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas(UTK), dijadual membela diri hari ini terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam 19 Oktober 2006 dan 1 pagi keesokkan harinya.

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam keesokan harinya, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 31 Oktober tanpa dipanggil membela diri.

Dalam permohonannya hari ini, Hazman berkata beliau tidak dapat memutuskan untuk memanggil siapa untuk memberikan keterangan kerana beliau tidak dapat menemu bual mereka kerana sesetengah daripada mereka tidak berada di Kuala Lumpur.

Katanya beliau juga memohon diberikan masa untuk menyelesaikan semua kes yang dikendalikannya dari 2003 hingga 2006 yang masih menunggu perbicaraan, yang telah ditangguhkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes Altantuya, kerana hakim yang mendengar kes berkenaan semakin hilang sabar dan tidak membenarkan penangguhan.

"Pendakwaan telah mengambil satu tahun setengah untuk pendakwaan kes ini. Kami juga perlu diberikan ruang dan masa untuk menyediakan pembelaan," katanya. Kamarul Hisham juga memohon diberikan lebih banyak masa untuk menghubungi Raja Petra Raja Kamaruddin dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang beliau bercadang untuk panggil sebagai saksi.

"Saya telah menulis surat kepada peguambelanya pada 21 Oktober, tetapi tiada jawapan dari peguam yang mewakili Raja Petra. Kami juga telah menghantar pesanan kepada peguamnya dan firma guaman mereka, kami masih belum menerima jawapan," katanya.

Raja Petra, yang baru-baru ini dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dengan pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Kamarul Hisham berkata beliau dimaklumkan oleh pihak pendakwaan yang pegawai penyiasat Tonny Anak Lunggan tidak dapat mengesan lokasi di mana Balasubramaniam berada dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah.


Tun Majid, sementara itu berkata beliau tiada bantahan dengan penangguhan itu tetapi memaklumkan kepada mahkamah yang beliau akan mengemukakan bantahan mengikut 136 Akta Keterangan berhubung dengan hasrat pihak pembelaan untuk memanggil semula beberapa saksi pendakwaan termasuk Balasubramaniam.

Di luar mahkamah, Hazman memberitahu wakil media yang beliau merancang untuk memanggil sembilan saksi termasuk seorang pakar telekomunikasi dan teman wanita Azilah.

Kamarul Hisham, ketika ditanya mengenai kerelevanan akuan bersumpah Raja Petra itu, berkata beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi buat masa ini.

"Kita perlu tunggu kerana akuan bersumpah Raja Petra jelas membayangkan

yang beliau mempunyai sumber dan sehingga dan kecuali saya telah menemu bualnya, saya tidak tahu siapakan sumber itu, dan sama ada beliau bersedia mendedahkan
mereka."

Katanya beliau juga perlu mengesahkan sama ada Raja Petra bersedia untuk ditemu bual, jika tidak beliau perlu mencari jalan untuk sapina penulis blog itu.

http://www1.malaysiakini.com/news/92795

Bekas Naib Presiden mahu cabar Samy Vellu




Selasa November 11, 2008

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan hari ini mengesahkan bahawa beliau sedang 'memikirkan' untuk mencabar presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu bagi jawatan tertinggi parti itu, tetapi belum membuat keputusan muktamad mengenainya.


Bercakap kepada Bernama beliau berkata, sepanjang dua minggu lepas, beliau telah mengadakan pertemuan dengan anggota parti serta pemimpin peringkat akar umbi dan maklum balas yang diperoleh menggalakkan.


"Saya tidak akan membuat sebarang pengesahan rasmi mengenai perkara itu sekarang. Penyokong saya dan pemimpin cawangan merasakan jika saya mengumumkan hasrat saya sekarang, mereka akan berhadapan dengan kemarahan Samy Vellu yang mungkin memecat mereka yang menyokong saya.


"Saya juga merasakan Samy Vellu perlu dicabar demi kepentingan MIC, Barisan Nasional dan masyarakat India Malaysia," kata Muthupalaniappan.


Parti terbesar kaum India di negara ini akan mengadakan pemilihan presiden pada Mac tahun depan, manakala pemilihan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan diadakan pada September.


Samy Vellu mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatan tertinggi parti itu dan pada awalnya dijangka akan memenangi jawatan itu tanpa bertanding.


Bagaimanapun Muthupalaniappan mungkin akan merosakkan jangkaan itu, jika beliau berjaya mendapat pencalonan daripada 50 cawangan.


Perlembagaan parti menetapkan calon presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya 50 pencalonan dari cawangan sebelum dibenar bertanding jawatan tertinggi parti itu. Setiap pencalonan mesti dicadang oleh seorang pemegang jawatan cawangan dan disokong lima pemegang jawatan yang lain.


Pemegang jawatan cawangan akan mengundi bagi memilih presiden MIC, tidak seperti jawatan lain yang akan diputus oleh kirakira 1,500 perwakilan ke perhimpunan agung parti.


"Terdapat juga kebimbangan di kalangan pemimpin cawangan bahawa presiden mungkin menggunakan pengaruhnya untuk tidak menggalakkan mereka mencalonkan saya bagi jawatan tertinggi parti itu.


"Saya dinasihat membuat pendirian rasmi hanya dalam dua atau tiga minggu. Buat masa ini, saya akan mendapatkan pandangan pemimpin kanan parti mengenai hasrat saya," kata Muthupalaniappan.


Muthupalaniappan, 68, yang juga seorang peguam, kali pertama dipilih ke jawatankuasa kerja pusat pada 1979.


Pada tahun yang sama beliau dilantik ketua MIC Negeri Sembilan, dan ketua Pemuda parti.


Beliau dilantik Senator pada 1980 dan pada 1982 Muthupalaniappan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Si Rusa dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri Negeri Sembilan.


Muthupalaniappan bertanding jawatan naib presiden parti pada 1987 dan 1991 tetapi tewas kedua-duanya.


Beliau yang menang jawatan itu pada 1997, bagaimanapun gagal mempertahankannya pada pemilihan parti 2000 dan 2006.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/11/mstar_berita/20081110182824&sec=mstar_berita

Kereta tak dapat, duit muka turut lesap



KUALA LUMPUR: Impian seorang pembantu tadbir untuk melaram bersama kereta baru terbantut apabila syarikat pengedar kenderaan ‘menahan’ kereta itu daripada diserahkan kepadanya walaupun geran sudah dikeluarkan atas nama wanita terbabit.

Siti Hajar Osman, 49, mendakwa menjadi mangsa keadaan apabila bayaran muka hasil ‘trade-in’ kereta lamanya untuk membeli kereta baru itu dipercayai tidak diserahkan jurujual yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat pengedar terbabit.

“Syarikat terbabit tidak berhak menahan kereta itu diserahkan kepada saya disebabkan sikap tidak amanah pekerjanya.

“Itu masalah mereka, kenapa saya yang menjadi mangsa?” katanya.

Menurutnya, dia mula membuat urusan tukar beli kereta itu melalui dua jurujual syarikat berkenaan yang ditemui di depan sebuah bank di Bandar Damai Perdana, Cheras di sini, ketika mereka membuat promosi jualan kereta syarikat berkenaan, dua bulan lalu.

“Tertarik dengan tawaran itu, saya bertanya kepada mereka (jurujual) untuk menukar beli Perodua Kelisa yang dimiliki sejak tujuh tahun lalu dengan Perodua Myvi.

“Mereka memberitahu tidak menjadi masalah untuk berbuat demikian kerana pihaknya boleh menguruskannya bagi pihak saya,” katanya, semalam.

Katanya, jurujual terbabit turut memaklumkan wang hasil penjualan Kelisa itu akan dijadikan bayaran muka untuk urusan pembelian Myvi.

Percayakan jurujual terbabit, Siti Hajar berkata dia tidak berfikir panjang lalu menyerahkan urusan jual beli kereta berkenaan kepada mereka.

Menurutnya, selepas beberapa hari jurujual terbabit menghubunginya memaklumkan kenderaan berkenaan dapat dijual dengan harga RM19,000 dan selepas ditolak hutang yang masih ada, jumlahnya tinggal RM12,000 untuk dijadikan bayaran muka kereta baru.

Siti Hajar berkata, dia turut menyerahkan wang tunai RM1,800 dan deposit RM500, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran muka untuk Perodua Myvi itu sebanyak RM14,300.

“Selebihnya saya membuat pinjaman bank berjumlah RM35,000 bagi melengkapkan urusan berkenaan,” katanya.

Namun, selepas semua urusan selesai dengan pihak bank meluluskan pinjaman, masalah timbul apabila syarikat pengedar berkenaan enggan memberikan kunci kereta baru itu kepadanya walaupun geran sudah dikeluarkan.

“Bengang dengan tindakan itu, saya bertanya kepada mereka kenapa kereta itu ditahan sedangkan semua urusan sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, pengurus syarikat terbabit mendakwa pihaknya tidak menerima wang pendahuluan seperti dijanjikan sedangkan dia sudah menyerahkan urusan berkenaan kepada dua jurujual syarikat terbabit.

“Saya cuba menghubungi jurujual terbabit namun mereka seolah-olah mengelak dengan memberi pelbagai alasan.

“Saya juga merujuk perkara ini kepada pihak bank dan mereka (bank) sudah memaklumkan kepada pengurus syarikat pengedar terbabit supaya menyerahkan Perodua Myvi itu kepada saya,” katanya yang turut membuat empat laporan polis.

Namun, syarikat pengedar berkenaan masih enggan menyerahkan kereta baru itu kepadanya, malah menuntut sejumlah RM8,000 atau membuat pinjaman lain bagi membolehkan kereta itu diserahkan kepadanya.

“Sakit hati saya memikirkan perkara ini, pinjaman bank sudah diluluskan, geran pun sudah dikeluarkan, tetapi kenapa kereta saya ditahan syarikat pengedar terbabit?” katanya.

Siti Hajar berkata, sepatutnya syarikat berkenaan perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa menjadikan pelanggan sebagai mangsa.

“Ini tidak, kerana pekerja mereka yang tidak bertanggungjawab, saya yang menjadi mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081111094212/Article/index_html

Tiada hantaran buat Sharon



Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya selalu berfikir akan hidup bujang hingga akhir hayat, tapi ini yang dikatakan takdir dan jodoh,” kata pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, Rusdi Ramli, 37, mengenai keputusannya bernikah dengan komposer terkenal, Sharon Paul Abdullah.

Hampir 15 tahun hidup sendiri, pelakon utama filem Waris Jari Hantu itu bakal menamatkan zaman duda dengan menikahi kekasihnya, Sharon, Ahad ini.

Ketika dihubungi, semalam, anak pelakon veteran Norlia Ghani itu menjelaskan, majlis pernikahan akan diadakan secara ringkas dan hanya membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Tiada wang hantaran diberikan kepada bakal isteri, sebaliknya hanya mas kahwin dan senaskhah al-Quran akan diserahkan.

“Dulang hantaran pun tiada. Bagi kami lebih penting pada hari itu perkara wajib iaitu akad nikah,” katanya.

Begitupun, bagi menghormati Sharon, resepsi dan persandingan akan diadakan sebaik majlis pernikahan selesai dijalankan.

Bercerita lanjut mengenai percintaan mereka yang sebelum ini tidak pernah disiarkan pihak media, kata Rusdi, dia mahupun Sharon mula serius memikirkan soal berumahtangga selepas setahun menjalinkan hubungan.

“Susah untuk saya jelaskan mengapa saya tiba-tiba bersedia untuk berumahtangga sekali lagi dan memilih Sharon untuk menjadi suri hidup. Ini yang dikatakan jodoh.

“Apa yang pasti Sharon boleh menerima saya seadanya. Dia bukan saja memahami saya, tetapi kerjaya saya juga. Bagaimanapun, selepas bernikah nanti saya juga perlu faham tugasnya sebagai komposer dan pencipta lagu.

“Antara kami banyak persamaan. Kalau hendak kata saya sibuk, Sharon juga sibuk apabila sehari suntuk terperap dalam studio. Boleh dikatakan kerjaya kami banyak persamaan dan itu membuatkan kami saling memahami.

“Selepas bernikah saya tidak lagi bimbang kerana bakal isteri akan sentiasa berada di sisi kerana menguruskan syarikat yang kami tubuhkan iaitu Filmwerks Sdn Bhd.

“Syukur apabila ibu, bapa dan anak tunggal saya boleh menerima Sharon. Apabila sudah mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak, rasanya ini jalan terbaik untuk kami ambil,” katanya lagi.

Rusdi dan Sharon pertama kali bertemu ketika menjayakan filem Pontianak Harum Sundal Malam II (PHSMII).

“Waktu itu saya dan Maya Karin terpaksa ke studio kerana Sharon yang bertindak sebagai pengarah skor muzik filem itu merakamkan suara kami.

“Selepas itu kami tidak pernah berjumpa sehingga majlis tayangan perdana filem PHSMII. Sejak itu kami saling berhubungan hingga sekarang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/BeritaUtama/20081111084633/Article/index_html

Diburu panggilan misteri bank - Butiran peribadi jatuh kepada pihak ketiga?


Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
lutfi.abdulrahim@kosmo.com.my



PANGGILAN telefon daripada seseorang yang menyamar sebagai ejen pihak bank sering memperdayakan pengguna dengan pelbagai ‘tawaran’ menarik.

--------------------------------------------------------------------------------
ZAKI sering menerima panggilan telefon daripada beberapa buah bank yang menawarkan pelbagai produk perbankan seperti pinjaman perumahan, kenderaan serta kad kredit.

Namun yang menghairankan beliau ialah bagaimana bank terbabit memperoleh maklumat peribadinya dengan mudah. Sepanjang pengetahuannya, beliau berurusan dengan sebuah bank sahaja.

Situasi yang dialami Zaki mungkin juga pernah dilalui oleh ribuan individu lain di negara ini terutamanya golongan pertengahan dan juga berada.

Panggilan telefon dibuat tanpa mengira waktu sama ada pagi, tengah hari, petang bahkan malam sehingga membuatkan penerima panggilan tidak selesa.

Lebih menjengkelkan, ia turut melibatkan unsur pemaksaan dan penipuan.

Mengulas isu ini, pegawai bahagian aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Nurziana Ari, 31, memberitahu, CAP turut menerima aduan daripada pengguna terutamanya pemegang kad kredit melibatkan tawaran pakej pelancongan.

“Terdapat panggilan telefon kononnya mereka mendapat tawaran pakej pelancongan secara percuma sedangkan ia sebenarnya perlu dibayar.

“Setelah dipujuk dan terpesona dengan ganjaran pakej terbabit, mereka terus bersetuju,” katanya.

Ujar Nurziana lagi, selang beberapa hari kemudian, mereka perlu membayar untuk menikmati pakej pelancongan terbabit, bukannya percuma seperti yang dijanjikan.

“Ada kemungkinan terdapat sindiket yang menyamar sebagai ejen pihak bank sedangkan bank terbabit tidak pernah membuat promosi sedemikian.

“Namun yang peliknya, bagaimana mereka memperoleh data peribadi seseorang dengan mudah khususnya maklumat lengkap nama penuh, tempat tinggal, kerjaya serta nombor kad kredit,” katanya.

Selain itu, Nurziana berkata, ada juga unsur pemaksaan dalam hal ini.

“Mereka akan menerima panggilan telefon berulang kali. Pengguna yang bosan menerima panggilan akhirnya terpaksa bersetuju,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman memberitahu, beliau sendiri pernah menerima panggilan daripada beberapa buah bank.

“Saya hanya menggunakan kad kredit daripada sebuah bank tetapi pada masa yang sama menerima panggilan bank lain yang menawarkan pelbagai produk berbeza.

“Malah ada yang menawarkan pakej pelancongan, hadiah lumayan, peraduan serta produk hasil kerjasama bank terbabit dengan pihak lain,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Yusof juga hairan bagaimana pihak tertentu memperoleh maklumat beliau dengan mudah sedangkan perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku.

Ujarnya lagi, tidak lama dulu terdapat ura-ura Akta Perlindungan Data Peribadi dilaksanakan sebagai kaedah untuk merahsiakan maklumat peribadi pelanggan-pelanggan bank.

“Adakah ia sudah dilaksanakan atau masih diperdebatkan. Satu mekanisme terbaik perlu dicari untuk mengatasi masalah ini.

“Akta Perlindungan Peribadi itu merupakan langkah terbaik kerana saya gusar maklumat peribadi seseorang akan jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya serius.

Beliau juga khuatir sekiranya produk perbankan turut melibatkan unsur-unsur perjudian seperti loteri yang membolehkan seseorang memenangi hadiah lumayan tetapi dengan syarat-syarat tertentu.

Jual data RM5 satu nama


SEMAKIN banyak permohonan diluluskan semakin tinggi komisen yang diterima kakitangan bank berkenaan. – Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------

REALITINYA, pihak bank sebenarnya dibenarkan untuk mengesahkan maklumat peribadi pemohon melalui sumber yang diperlukan sebagai syarat kelulusan sesuatu permohonan.

Perkara ini penting kerana penilaian terhadap status kewangan pemohon dapat ditentukan sama ada mereka berkelayakkan atau tidak, begitu juga komitmen serta berkemampuan.

Namun hasil pemerhatian pada laman web serta pertemuan dengan kakitangan bahagian pemasaran beberapa buah bank mendapati tiada justifikasi jelas data peribadi seseorang boleh digunakan untuk tujuan promosi atau kerjasama dengan pihak lain.

Malah pada borang permohonan sendiri tiada yang menyatakan sedemikian. Malngnya maklumat peribadi seseorang boleh dijual kepada pihak lain pada harga tertentu.

Sumber pihak bank memberitahu konsep ‘jual’ maklumat tidak mustahil berlaku kerana terdapat kemungkinan data peribadi seseorang dijual terutamanya kepada bahagian pemasaran bank-bank dan syarikat insurans.

Mereka mungkin mempunyai rakan yang pernah bekerja di bank lain terutama di bahagian pinjaman pelanggan atau mendapatkannya daripada sumber tertentu seperti syarikat persendirian yang mempunyai maklumat peribadi orang ramai.

“Maklumat itu sudah cukup lengkap dengan mengandungi status individu termasuk rekod pinjaman, pembayaran dan kemampuan mereka.

“Bahagian pemasaran bank terpaksa berbuat demikian kerana mereka perlu mencapai sasaran amaun dan jumlah pelanggan setiap bulan yang telah ditetapkan pihak pengurusan kepada mereka,” jelas sumber tersebut.

Katanya lagi, mereka yang bekerja di bahagian pemasaran untuk pinjaman peribadi misalnya perlu mencapai amaun permohonan yang diluluskan dari RM75,000 hingga ratusan ribu ringgit untuk mendapat komisen bulanan.

“Bagi kad kredit pula syarat minimum 10 orang layak untuk memperoleh kad kredit. Malah amaun komisen akan bertambah tinggi jika lebih banyak permohonan yang lulus.

“Jika permohonan saja banyak tetapi tidak diluluskan buat apa, membuang masa kerana komisen diberi hanya pada yang lulus.

“Kerana itu data peribadi seseorang yang dijual mempunyai ‘nilai’ yang tinggi,” ujarnya.

Bicaranya lagi, data peribadi itu dijual serendah RM1 sehingga RM5 bagi satu nama.

Malah ia akan meningkat lebih mahal sekiranya penama tidak pernah membuat apa-apa pinjaman, jelas sumber ketika ditemui baru-baru ini.

Semua maklumat pelanggan rahsia – ABM

“SEMUA maklumat pelanggan adalah rahsia. Pihak bank mempunyai kaedah tersendiri untuk memperolehinya,”Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Datuk Seri Abdul Hamidy Hafiz.

Beliau memberitahu, setiap bank terikat dengan peraturan ditetapkan Bank Negara dan mereka tidak akan sesekali melanggarnya.

“Akta Perbankan sedia ada dengan jelas menerangkan data peribadi seseorang tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya oleh pihak bank,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Berhubung isu pengguna yang pernah menerima beberapa panggilan berhubung tawaran produk perbankan walaupun tidak pernah menjalankan sebarang urusan, Abdul Hamidy menjelaskan promosi seperti itu merupakan sumber keuntungan bank.

“Namun segala promosi terikat dengan syarat Bank Negara. Orang ramai yang menerima panggilan daripada bank berhubung tawaran produk mempunyai kuasa untuk menerima atau menolaknya,” ujarnya.

Tambah beliau, maklumat diberi selengkapnya. Pelanggan boleh memperolehnya melalui laman web, telefon atau datang sendiri ke bank. Jika berminat pihak bank akan memberi penjelasan sepenuhnya mengenai syarat yang perlu dipatuhi.

Ketika ditanya kemungkinan pihak bank menjual maklumat pelanggan, Abdul Hamidy menjelaskan perkara itu tidak mungkin berlaku.

“Seperti yang saya sebutkan tadi bank mempunyai maklumat sendiri dan konsep jual beli maklumat peribadi pelanggan tiada sama sekali dalam istilah dunia perbankan,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm

Konsep zoo terbuka - Paya Indah Wetlands kini dibuka semula


Oleh SHANIKA ABDULLATIB



--------------------------------------------------------------------------------

MATAHARI yang memancar terik seolah tidak terasa tatkala melalui denai khas dirimbuni pohon-pohon.

Tiba-tiba tiga ekor memerang melintas, membuatkan pengunjung terhenti mendadak sebelum ada menjerit gembira melihat hidupan itu sebelum ia menghilang ke dalam belukar berhampiran.

Perjalanan diteruskan sebelum terhenti apabila beberapa ekor helang terbang rendah di permukaan tasik dan menyambar anak ikan.

Tiba di satu laluan, tiga ekor kerbau dewasa yang sedang berkubang bingkas bangun selepas menyedari kehadiran manusia.


PAYA Indah Wetlands menjadi habitat hidupan liar membiak termasuk burung helang ini.

--------------------------------------------------------------------------------

Dengan ekor berkibas, mata tajam memandang serta mendengus sesekali, nyata kerbau tersebut masih agak liar dalam menjaga kawasannya daripada diceroboh.

Namun, sekumpulan burung gembala kerbau terus bertenggek di atas badan kerbau itu tanpa rasa takut.

“Kami cuba mengekalkan keaslian Paya Indah Wetlands ini semampu mungkin. Malah pembangunan yang dilakukan cukup minimum bagi kelangsungan habitat di sini,” kata Timbalan Penguasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Ady Ermanty Haniff.


WALAUPUN di dalam kurungan, persekitaran paya sangat sesuai untuk haiwan seperti pelanduk.

--------------------------------------------------------------------------------

Ceritanya lagi, konsep ‘zoo terbuka’ ini bakal menyajikan para pengunjung dengan hidupan separuh liar dalam habitatnya yang tersendiri.

Baru dibuka kembali setelah ditutup hampir dua tahun, sambutan pelancong terutama pencinta alam cukup memberangsangkan.

“Paling ramai, pemerhati burung yang datang dari pelbagai tempat termasuk luar negara. Mereka sanggup menghabiskan masa sehari suntuk hanya untuk memerhati dan mengambil gambar,” jelas Ady Ermanty sambil menunjukkan beberapa ‘hot spot’ bagi pemerhati burung.

Perjalanan kami diteruskan menuju ke sebuah kolam yang terletak di perantaraan sebuah simpang yang berturapkan tanah merah.


BURUNG tempua bersarang rendah. Hanya mereka yang bernasib baik dapat melihat penghuninya.

--------------------------------------------------------------------------------

Sebaik menjejakkan kaki, pengunjung sekali lagi teruja dengan ratusan bunga teratai yang mewarnai tasik kedua terbesar di taman tersebut.

“Tasik Teratai ini biasanya menjadi tumpuan burung pangling serta beberapa jenis burung air yang lain. Di sinilah pemerhati akan duduk menghendap memerhatikan telatah burung mencari ikan pada awal pagi,”

“Bagi mengelakkan ia menjadi tasik mati akibat mendapan, saliran air dibina,” katanya.

Dalam asyik memerhatikan saujana bunga teratai, mata pastinya tidak terlepas daripada memandang beberapa ekor burung raja udang yang sedang berehat di atas pokok.


IKON utama Paya Indah Wetlands, badak air berendam di kolam.

--------------------------------------------------------------------------------

Tidak puas sekadar menonton kawanan burung, Ady Ermanty membawa pengunjung ke kawasan lindungan khas haiwan seperti pelanduk, helang, kuang dan landak raya.

“Semua haiwan ini dikuarantin sebelum dilepaskan ke taman. Tempohnya bergantung kepada keadaan namun ada juga yang kembali sendiri ke kandang khas ini walaupun telah dilepaskan ke dalam taman,” ungkapnya.

Jumlah haiwan seperti kerbau dan memerang dikawal agar populasinya tidak berlebihan hingga mengganggu ekosistem tanah lembap ini.


--------------------------------------------------------------------------------

Pengunjung juga tidak terlepas dari ditunjukkan sekelompok pokok akasia yang tinggi merimbun ketika melalui denai khas yang dulunya merupakan trek berkuda bagi beberapa orang kenamaan negara.

“Perkara menarik mengenai pokok ini ialah ia merupakan tempat tumpuan burung tempua membuat sarang.

“Di sini, tidak kurang 30 buah sarang tempua yang berpenghuni. Ia menjadi tempat kegemaran kerana keadaan ranting pokok itu sesuai dibuat sarang serta dekat dengan tasik,” ceritanya yang turut memberitahu burung tersebut hanya boleh dilihat pada waktu tertentu.

Melihat keadaan taman yang ditinggalkan selama dua tahun, tidak hairanlah jika ada banyak belukar dan pokok-pokok hutan tumbuh meliar dengan subur.

“Tidak banyak yang berubah di kawasan ini selepas dibuka semula. Cuma perlahan-lahan, kami sedang membaik pulih tempat ini agar pengunjung lebih selesa dan selamat,” katanya ketika melalui kolam buaya serta badak air yang terletak berhampiran kawasan resort.

Penguasa taman itu, Salman Saaban, berkata pihaknya membangunkan infrastruktur taman ini secara berperingkat dan mengikut kepentingan.

“Secara dasarnya, terdapat tiga zon utama iaitu rekreasi, pendidikan dan konservasi. Kini, proses pembaikpulihan serta meningkatkan taraf giat di zon rekreasi,” jelasnya.

Setelah diserahkan kepada Perhilitan pada tahun 2004, konsep taman ini turut diubah. Namun pada masa yang sama, beberapa perkara dasar terus dikekalkan.

Malah dengan bajet besar diberikan, ia digunakan untuk menjalankan beberapa kajian terhadap keadaan tanah, air dan haiwan yang terdapat di dalam taman ini.

“Kami mahu mengubah minda pengunjung supaya menghargai hidupan dan membawa mereka ke alam semula jadi dalam erti yang sebenarnya,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

SEMANGAT YANG PATUT KITA CONTOHI..

Harapan 'mangkuk beras Asia'


Selepas hampir setengah tahun dilanda siklon Nargis, penduduk Delta Irrawaddy sudah tidak sabar ingin kembali bertani di sawah.


--------------------------------------------------------------------------------

SELEPAS enam bulan siklon Nargis menghentam negara Myanmar dan membunuh lebih 130,000 rakyat negara itu, penduduk Delta Irrawaddy yang tinggal di kawasan paling teruk diserang, masih mengharapkan bantuan untuk terus hidup.

"Kami mendapat beras dan kacang daripada badan kebajikan Care Myanmar, air minuman dari langit dan ikan dari anak sungai ini," kata Maung Oo, lelaki berkulit gelap yang memandang lopak banjir yang mengalir di bawah pondok sementaranya yang diperbuat daripada buluh dan tarpaulin.

Di sekitar perkampungan itu, kira-kira 40 kilometer ke selatan Yangon, sawah yang masih ditenggelami air dan tidak disemai menimbulkan keraguan kenyataan Pertubuhan Makanan dan Pertanian di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyebut bahawa 97 peratus kawasan yang diserang taufan di delta tersebut yang dahulunya dikenali sebagai 'mangkuk beras Asia' boleh diusahakan lagi.

"Kami tidak sabar untuk bertani semula kerana kami tidak suka hidup dengan hanya bergantung pada kebajikan. Ini bukan bermakna kami tidak bersyukur.

"Apa yang sebenarnya ialah kami tidak mahu bergantung kepada orang lain. Tetapi secara ikhlas, saya katakan bahawa ia hanya angan-angan kosong pada ketika ini kerana situasi tidak membenarkan kami berdikari lagi," kata Maung Oo.

"Mungkin mengambil masa empat minggu lagi, sebelum saya boleh mula bercucuk tanam semula," tambahnya.

Musim monsun yang teruk melanda delta tersebut dalam masa empat bulan lalu juga telah menggelisahkan penduduk kampung.

Setiap ribut yang berlaku mewujudkan ketakutan berulangnya serangan siklon seperti yang berlaku pada 2 Mei lalu yang telah mengakibatkan paras air meningkat setinggi empat meter.

"Kami berasa amat takut apabila keadaan berangin. Kini, kami sentiasa mendengar radio untuk mengetahui bahaya yang mungkin datang," kata isteri Maung Oo, Ma Nu, sambil memegang set wayarles asas yang berkuasa bateri.


MANGSA Nargis kini telah mula menjalani kehidupan normal di kediaman mereka.

--------------------------------------------------------------------------------

Seorang lagi petani, Bo Sein, 70, mengadu bahawa benih padi yang diberikan untuk penanaman semula merupakan campuran pelbagai jenis yang matang pada masa berbeza, menjadikannya sukar untuk dituai.

"Mungkin kerana ia datang daripada sumber berbeza. Tetapi hasilnya, sementara sesetengah pokok sudah bersedia untuk dituai, ada yang belum," katanya.

Sejak peristiwa Nargis yang memberi kesan kepada 2.4 juta penduduk, hampir satu juta orang telah menerima bantuan makanan, sekolah telah dibuka semula, haiwan ternakan diganti dan perlindungan kecemasan telah diberikan kepada lebih 1.7 juta penduduk, kata kumpulan koordinasi utama itu.

Tripartite Core Group, yang melibatkan PBB, Myanmar dan jiran-jiran serantaunya, berkata, terdapat keperluan berterusan bantuan dan sokongan jangka masa panjang. Tetapi hanya 53 peratus daripada rayuan bantuan sebanyak RM1.7 bilion yang berjaya dikumpul.

"Terdapat kawasan-kawasan terpencil yang tidak dicapai sepenuhnya. Kehidupan yang terselamat amat mudah terjejas, terutama bagi mendapatkan air yang bersih, perlindungan yang mencukupi dan memulihkan punca pencarian," kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

Di kawasan yang dilanda siklon, beberapa rumah baru yang ditaja oleh penderma persendirian di bawah naungan pemerintahan tentera junta telah dibina daripada kemusnahan itu.

Meskipun demikian, dalam sesetengah kes, ia telah diberikan kepada mereka yang mempunyai hubungan terbaik, dan bukannya mereka yang amat memerlukannya.

"Bukan semua penduduk serba kekurangan yang mendapat rumah-rumah itu dan tidak semua yang memperolehnya adalah golongan susah," kata seorang penduduk Latkhitegon, perkampungan selatan Yangon yang telah menerima 10 buah rumah kayu baru.

"Mereka mendapat rumah itu kerana mereka terdiri daripada golongan VIP," kata lelaki yang enggan dikenali kerana takut dikenakan tindakan akibat kenyataannya.


KEKANGAN kewangan dan sumber makanan menyebabkan masih ramai yang mendiami kem bantuan PBB.

--------------------------------------------------------------------------------

Thayet Thonebin, sebuah perkampungan di selatan Yangon di mana separuh daripada 340 penduduknya telah terbunuh akibat Nargis, berada dalam keadaan yang lebih baik apabila menerima 32 buah rumah baru sumbangan Kementerian Tenaga dan syarikat petroleum Malaysia, Petronas.

Sungguhpun demikian, mereka yang terselamat masih dihantui perasaan malu kerana terpaksa bergantung pada sumbangan kerana kekurangan kerja dan prospek.

"Kami berasa sangat malu kerana terpaksa hidup dengan kebajikan sepanjang masa. Kini, kami terpaksa bergantung kepada mereka untuk bekalan beras pula.

"Orang seperti saya, paling teruk menerima kesan. Siklon itu telah melumpuhkan ekonomi di seluruh negara dan kerja yang ada amat sedikit untuk kami," kata Maung Tun, seorang buruh. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Kenaf ganti tembakau


Ketika masa depan tanaman tembakau semakin gelap, kenaf dilihat sebagai komoditi paling berpotensi hari ini.



PASARAN dan harga tembakau dijangka tidak menentu apabila AFTA dilaksanakan.

--------------------------------------------------------------------------------

MANFAAT kenaf selaku bahan yang kaya dengan fiber dan mampu menjadi bahan asas dalam pembuatan biokomposit menyebabkan permintaan terhadap tumbuhan yang berasal dari Afrika ini melonjak tinggi.

Melihat potensi besar itu, kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus L dijangka akan menjadi tanaman alternatif menggantikan tembakau tidak lama lagi.

Ini berikutan lebih 5,000 penanam tembakau di negara ini dijangka terjejas teruk apabila Kawalan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dikuatkuasa menjelang tahun 2010.

Di bawah AFTA, akan berlaku penurunan harga dan pengurangan duti import tembakau. Kenaf ialah sejenis pokok tropika yang menghasilkan fiber menyerupai jut dan kebiasaannya digunakan untuk menghasilkan tali dan tekstil.

Kenaf boleh dituai hasilnya selepas 120 hari dan kitaran penanamannya ialah tiga kali setahun.

Pengerusi Lembaga Tembakau Negara, Datuk Mohd Zain Ismail berkata, petani yang mempelopori projek tanaman kenaf di Kelantan membuktikan bahawa tanaman tersebut efektif untuk menggantikan tembakau yang kurang kompetitif dalam industri perladangan.

Beliau berkata, Malaysia akan mengeksport 50,000 tan metrik kenaf setahun dengan nilai RM15 bilion mulai tahun depan.

"Ini akan menjadikan kenaf sebagai komoditi utama negara menjelang tahun 2010," katanya sambil menambah bahawa Korea akan menjadi negara pengimport pertama dari Malaysia yang berjumlah 50,000 tan metrik setahun.


POTENSI kenaf menyebabkan kilang yang dilengkapi mesin moden dibina.

--------------------------------------------------------------------------------

Beliau berkata, pada peringkat pertama penanaman, sebanyak 1,000 hektar kenaf akan dilaksanakan termasuk 700 hektar di Kelantan.

Dalam RMK-9, peruntukan awal Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi pembangunan kenaf menerusi Lembaga Tembakau Negara (LTN) ialah RM10 juta. Jumlah itu dinaikkan kepada RM35 juta dalam semakan separuh penggal RMK-9 baru-baru ini.

Di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), keluasan kawasan sasaran bagi kenaf ialah kira-kira 10,000 hektar. Berdasarkan pelan ECER, industri kenaf dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan penanaman tembakau di Bachok, Pasir Puteh, Besut, Setiu dan Marang.

Sementara itu, Ketua Unit Kenaf Lembaga Tembakau Negara (LTN) Kelantan, Aizwan Azmi berkata, dengan harga kenaf semasa RM500 setan metrik, penanam kenaf mampu memperoleh pendapatan lumayan dengan hasil 15 tan metrik sehektar yang mampu membebaskan petani dari belenggu kemiskinan.

Katanya, hasil peningkatan projek kenaf, dua kilang memproses dibina sebagai memenuhi keperluan iaitu di Air Tawar, Pasir Puteh dan di Beris Lalang, Bachok yang melibatkan peserta projek Diraja Kelantan.

"Kilang yang memuatkan mesin bernilai RM600,000 hasil kepakaran pegawai LTN menerusi teknik inovatif berjaya memproses 10 tan metrik kenaf sehari dalam masa lapan jam bekerja.

"Hasil kenaf yang diproses di Tok Bali dan Beris Lalang ini dieksport ke Jerman dan Korea untuk keperluan pembuatan automotif, pembuatan perabot dan alat elektrik," katanya.




--------------------------------------------------------------------------------

Menurutnya, apa yang pasti, penanam kenaf mula yakin dengan prospek tanaman tersebut dan peningkatan harga dari RM300 kepada RM500 setan metrik memberi jaminan bahawa pendapatan petani akan meningkat.

Tambahan lagi, katanya, Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melibatkan pelaburan RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun, yang turut menjadikan tanaman kenaf sebagai satu daripada sektor pertanian yang akan dibangunkan, dilihat mampu membantu menangani ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan.

Sebelum Kelantan menerima kenaf secara komersial untuk menggantikan tanaman tembakau, Indonesia terlebih dahulu melakukan perubahan itu kerana menyedari potensi kenaf. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Norish diberi hak penjagaan ke atas tiga anak

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my




--------------------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM - Pelakon terkenal tanah air, Norish Karman boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memberi hak penjagaan tiga orang anak kepada beliau.

Peguam, Akberdin Abdul Kader berkata, tuntutan hadhanah anak-anak telah pun dipersetujui kedua-dua pihak, cuma ia perlu diperincikan tentang beberapa perkara berkaitan dengan masa lawatan dan sebagainya.

"Mahkamah telah putuskan hak jagaan anak-anak diberikan kepada Norish selaku plaintif dan hak lawatan pula diberikan kepada bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60 yang bertindak sebagai defendan,'' kata beliau di luar mahkamah semalam.

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya belum buat keputusan tentang bila tarikh sesuai untuk menjemput anak di pihak bekas suami Norish, masa menghantar anak-anak atau siapa yang sepatut pegang pasport anak-anak dan sebagainya.

"Kita akan mencari tarikh lain untuk perincikan semua syarat-syarat tersebut sebelum ia dikemuka ke mahkamah dan ia dijadikan perintah mahkamah," katanya.

Norish atau nama sebenarnya Nor'Asikin Karma selepas selesai prosiding kelihatan tidak menyenangi kehadiran pemberita serta tidak mahu melayan sebarang soalan yang diajukan kepadanya dengan berkata: "No statement please!"

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Harga petrol wajar bawah RM1.62 seliter

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar menurunkan harga minyak petrol ke paras RM1.62 seliter berikutan trend penurunan harga minyak dunia semasa yang kini berada pada paras AS$64.10 setong.

Harga itu berdasarkan jangkaan Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Abdul Rahim Anuar ketika diminta mengulas kewajaran paras harga petrol semasa jika mengikut pasaran minyak global terkini.

Namun kata Abdul Rahim, beliau yakin kerajaan mampu untuk menurunkan harga minyak pada paras yang lebih rendah..

Menurut beliau, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana ketika harga minyak petrol dijual pada harga RM1.92 seliter sebelum ini, harga minyak di pasaran dunia adalah sekitar AS$78 setong.

“Jika diikutkan, kerajaan mampu turunkan harga petrol lebih rendah daripada RM1.92 seliter kerana harga minyak di pasaran dunia dijangka turun lagi,’’ katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Wanita hamil 'culik' dua budak

Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my



BUTTERWORTH - Dua kanak-kanak terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer dengan menangis teresak-esak sebelum sampai ke rumah selepas menjadi mangsa 'culik' selama dua jam oleh seorang wanita mengandung.

Dalam kejadian pukul. 4.30 petang Khamis lalu, dua sepupu iaitu Nurwahida Natalia Shabuddin, 6 (gambar), dan Norshamimi, 11, sedang bermain berhampiran sebuah masjid di Bagan Dalam di sini.

Mengikut bapa Natalia, Shabuddin Mat, 49, anaknya memberitahu, tiba-tiba muncul seorang wanita menunggang motosikal meminta dia dan sepupunya menunjukkan jalan ke terminal bas.

"Natalia kata wanita berkenaan memberitahu dia dari Ipoh.

"Anak saya dan sepupunya tidak mahu, tetapi wanita berkenaan terus memegang tangan mereka berdua dan menunggang motosikal menuju ke terminal," kata beliau semasa ditemui di sini semalam.


--------------------------------------------------------------------------------

Bagaimanapun katanya, wanita itu berhenti di hadapan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terletak bersebelahan dengan terminal bas.

"Ikut cerita Natalia, dia dan sepupu perempuan serta wanita tersebut duduk di stesen KTMB itu selama kira-kira setengah jam sambil diajak berbual-bual oleh wanita itu.

"Dalam perbualan itu, wanita tersebut bertanya macam-macam pasal keluarga," katanya.

Sedang berbual, ujarnya, muncul dua lelaki di tempat menunggu stesen KTMB dan Natalia memberitahu, dia nampak wanita itu memberi isyarat kepada kedua-dua lelaki itu yang tidak pula menghampiri mereka.

Tidak lama selepas itu, cerita Shabuddin lagi, wanita itu menghulur RM2 kepada Norshamimi dan menyuruhnya membeli air di sebuah gerai berhampiran.

"Setelah Norshamimi ke kedai, wanita berkenaan menyuruh Natalia berpaling ke belakang dan pada masa itu rantai emas yang dipakainya dipotong.

"Natalia bagi tahu dia cuba meminta rantainya semula, tetapi wanita itu tidak mengendahkannya," katanya.

Dalam masa sama katanya, semasa wanita berkenaan cuba memberi isyarat kali kedua kepada dua lelaki berkenaan, perbuatan itu menarik perhatian orang awam.

Jelasnya, wanita berkenaan yang mungkin menyedari tingkah lakunya diperhatikan terus menunggang motosikal dan beredar dari situ.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Mangsa 'Tengku Auta' diugut bunuh


Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my




SMS ugutan bunuh yang dihantar oleh seorang lelaki yang mendakwa kerabat diraja kepada salah seorang mangsanya.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Trauma ketujuh-tujuh mangsa penipuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya kerabat diraja yang bergelar 'Tengku' rupanya tidak berakhir setakat kehilangan wang kerana mereka kini menerima pula ugutan bunuh daripada lelaki berkenaan.

Lelaki bergelar 'Tengku' itu dikatakan mengugut untuk membunuh semua mangsa terbabit melalui telefon kerana melarikan diri daripadanya.

Menurut seorang daripada mangsa yang cuma ingin dikenali sebagai Amir, lelaki tersebut turut mengancam untuk menggunakan ilmu hitam terhadap mereka.

"Dia (Tengku) cakap nak bunuh kami semua sebab kami lari sebelum duit datang dan kami menjadi punca dia gagal mendapatkan duit sebanyak RM2.8 bilion itu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan tentang nasib tujuh orang lelaki tersebut yang mengalami kerugian sebanyak RM50,000 setelah dijanjikan komisen sebanyak RM50 juta.

Mangsa diminta untuk menjadi penama bagi lelaki tersebut yang berusia 40-an untuk memindahkan wang dari satu akaun bank di Switzerland berjumlah RM2.8 bilion.

Wang itu dikatakan dari sumber haram dan disimpan dalam akaun atas nama lelaki terbabit tetapi kesemua mereka hampa apabila wang yang dijanjikan gagal diperolehi selain menjadi mangsa penderaan lelaki tersebut setelah seminggu berada di Hatyai.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Berkat air mata air


Oleh NORAINI A. GHANI
rencana@kosmo.com.my


Rupanya ada rahsia untuk memastikan anak ikan keli boleh hidup dan membesar. Ujar penternak di Terengganu, gunakan air mata air.

--------------------------------------------------------------------------------

BARU berjinak dalam bidang ternakan keli, Mohd, Irewan Abd. Jalil pernah hampir putus asa kerana semua anak ikan keli di kolamnya mati tanpa sebab.

Pelbagai cara telah dicuba, tetapi hampir semua anak-anak ikan itu akan mati selepas menetas.

"Kira-kira dua bulan jugalah saya dan seorang rakan kongsi cuba melakukan try and error ke atas air yang digunakan bagi membolehkan anak ikan keli terus hidup. Lima kali mencuba semua anak ikan mati.

"Banyak kerugian yang terpaksa ditanggung, sehingga suatu hari, rakan perniagaan di daerah lain memberitahu air yang terbaik untuk membenihkan telur ikan keli adalah air mata air.

Itulah cerita anak muda, Mohd. Irewan, 26, yang bekerjasama dengan rakan sekampungnya, Mohd. Fauzi Abd. Rahman.


PROSES mengeluarkan telur ikan.

--------------------------------------------------------------------------------

Dua jejaka bujang berasal dari Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu itu mula berjinak dengan projek berkenaan pada bulan Ramadan tahun lepas.

Kata Mohd. Irewan, beliau terpaksa menggali tanah di tapak pembenihan di Kampung Padang Midin di Kuala Terengganu milik mereka bagi mendapatkan air mata air.

"Selepas kami menggunakan air berkenaan, anak ikan yang terhasil kira-kira 20,000 hingga 50,000 masih mati. Apabila dikaji, ia berpunca daripada mata air di tapak berkenaan yang berwarna kemerahan dan mengandungi bahan yang tidak sesuai untuk tumbesaran anak ikan kerana kawasan itu berpaya," katanya.

Beliau yang mempunyai Diploma Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor menambah, apabila meninjau di kawasan sekitar kampung berkenaan, terdapat sebuah telaga yang diyakini mampu memanjangkan jangka hayat benih ikan keli.


INILAH baka induk keli milik Mohd Irewan.

--------------------------------------------------------------------------------

Apabila dirisik, akhirnya beliau meminta izin tuan punya telaga berkenaan untuk mengepam air terbabit ke tapak projek.

"Tuan punya telaga berkenaan bersetuju dan kami menggunakan pam menyedut air telaga yang terletak kira-kira 400 meter daripada tapak projek dengan menggunakan paip getah untuk mengisi 12 kolam.

"Akhirnya benih ikan mampu bertahan sehingga ia mampu dijual dengan saiz maksimum sepanjang lima sentimeter seekor," katanya yang pada mulanya risau mengenai cara terbaik menghasilkan anak ikan bermutu tinggi.

Beliau yang menggunakan kolam berukuran tiga meter lebar dan 21 meter panjang itu terpaksa mengambil masa sehingga hampir setahun mempelajari selok belok pembenihan dan pengurusan anak ikan secara sistematik.

Katanya, menguruskan anak ikan yang berusia sehingga 45 hari amat sukar lebih-lebih lagi ia amat sensitif dengan persekitaran dan makanan.

"Untuk permulaan selepas proses penetasan sehingga usianya mencecah sembilan hari, ia perlu diberi makan artemia atau anak udang.

"Selepas itu apabila usianya mencecah sehingga 45 hari atau panjangnya sehingga lima inci ia boleh diberi makan moina atau sejenis hidupan air yang kecil, lebih kecil daripada jentik-jentik," ujarnya.

Lebih menarik, katanya, anak ikan keli yang dijual mereka tidak pernah dinaikkan harga dan ia dikekalkan sejak projek berkenaan dimulakan.


ANAK ikan keli di bawah usia 45 hari memerlukan penjagaan rapi.

--------------------------------------------------------------------------------

Katanya, setiap ekor anak ikan berukuran dua inci dijual pada harga RM0.10, tiga inci (RM0.20) dan RM0.25 jika panjang anak ikan keli mencecah lima inci.

Mohd. Irewan memberitahu, air yang digunakan perlu ditukar setiap hari bagi menghalang anak ikan lemas kekurangan oksigen.

"Pada permulaan kami hanya mampu menghasilkan kira-kira 20,000 ekor anak ikan tetapi kini setiap bulan, anak ikan yang dihasilkan mampu mencecah sehingga 200,000 ekor.

"Soal pemasaran, tiada masalah kerana penternak ikan keli di Terengganu terutama di daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman akan datang ke tapak pembenihan ikannya," katanya.

Beliau yang turut mengusahakan tanaman cendawan berkata, mereka berdua pada mulanya mahu membantu penternak ikan keli di negeri Terengganu mendapatkan benih ikan dengan tidak perlu ke negeri lain untuk mendapatkannya.

Katanya, bermula dari situlah beliau dan Mohd. Fauzi rakan kongsinya berazam memulakan projek berkenaan kerana peluang terbuka luas untuk mereka menolong penternak ikan keli.

"Lagipun, permintaan ikan keli di restoran atau kedai-kedai makan tidak akan putus, jadi peluang mengusahakannya seharusnya tidak boleh ditolak begitu sahaja," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Mesyuarat jadi gelanggang 'tinju'

Oleh NADZARUL AMIR
ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



BEGINILAH kecohnya mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Seremban semalam apabila ahli yang tidak berpuas hati bergaduh sesama sendiri.

--------------------------------------------------------------------------------

SEREMBAN - Adegan tolak menolak, bertikam lidah dan bertumbuk mewarnai persidangan perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Kelab Golf Tuanku Ja'afar di sini semalam yang berakhir dengan dua orang cedera.

Mesyuarat yang mulanya lancar itu bertukar tegang setelah Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Ishak Ismail selesai berucap dan pengerusi majlis menyerahkan tugas mengendalikan mesyuarat kepada Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bahagian itu, Othman Senara.

Sebelum Othman sempat bercakap, Ketua UMNO cawangan Sikamat, Datuk Md. Yusop Harmain Shah bangun dan terus menyatakan pendirian tidak puas hati dengan sembilan cawangan dalam bahagian tersebut.

Ini kerana menurut Yusop, sebahagian cawangan itu telah diarah bermesyuarat tetapi tidak diberikan status perwakilan dan ditempatkan di bangku pemerhati.

Ekoran itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Bahagian Seremban, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik memberi penjelasan mengenai kekeliruan yang berlaku dan berkata, MT telah memutuskan mana-mana cawangan yang belum bermesyuarat atau mempunyai masalah, ketika UMNO Bahagian sedang bersidang, maka ia diletakkan dalam status pemerhati.

Ia disusuli suasana tegang hanya selepas 20 minit mesyuarat dimulakan apabila salah seorang ahli enggan balik ke tempat duduk walaupun diarahkan oleh Othman.

Apabila seorang ahli jawatankuasa keselamatan cuba meminta lelaki itu duduk, beberapa orang penyokongnya bangun dan menimbulkan kekecohan yang menyaksikan adegan tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk.

Ketua UMNO cawangan Jalan Kuala Pilah, Abd. Halim Lokman telah membuat laporan di Balai Polis Senawang kerana mendakwa telah dipukul.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

'Pelesit malam' bukti ilmu hitam

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
berita@kosmo.com.my



KERATAN Kosmo! 7 November.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Tokoh agama, Datuk Harun Din tidak menolak kemungkinan gangguan lelaki yang berseluar dalam sehingga menceroboh banyak rumah di Beruas, Perak ada kaitan dengan amalan makhluk halus.

Menurutnya, jika penceroboh itu tidak memperkosa mangsa dan dapat masuk walaupun rumah berkunci, ia satu 'jelmaan' makhluk halus yang sengaja menakutkan manusia.

"Bagaimanapun, kalau mangsa diperkosa, ia perbuatan manusia yang mengamalkan sihir yang menggunakan perbuatan pukau,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Harun mengulas kejadian yang menimpa penduduk Kampung Bakar Bata dan Kampung Kedah, Beruas yang kebimbangan akibat gangguan lelaki yang hanya berseluar dalam yang menceroboh rumah mereka baru-baru ini.

Bagaimanapun, penceroboh itu tidak memperkosa atau melarikan barang-barang mangsa, sebaliknya mangsa ibarat dipukau dan tidak dapat berbuat apa-apa ketika dicabul penceroboh itu.

Harun memberitahu, ia berbeza dengan gangguan 'orang minyak' yang dilakukan manusia yang mengamalkan ilmu hitam dan mempunyai niat tertentu dalam amalannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Kempunan dengan janji RM50j


Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my




TIGA mangsa penipuan 'Tengku auta' menunjukkan salinan laporan polis dan salinan gambar suspek di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Siapa yang tidak tergoda dengan janji RM50 juta hanya dengan pelaburan sekecil RM2,800?

Tawaran lumayan seperti itu sudah berjaya memerangkap tujuh pelabur malang yang berkongsi mengeluarkan modal terkumpul RM50,000.

Tujuan mereka ialah menjadi penama bagi seorang lelaki berusia 40-an untuk memindahkan wang dari satu akaun bank di Switzerland berjumlah RM2.8 bilion.

Wang itu dikatakan dari satu sumber haram dan disimpan dalam akaun atas nama lelaki terbabit.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amir berkata, lelaki itu yang mendakwa kerabat diraja bergelar 'Tengku', dikenali menerusi seorang rakan di Hatyai.

"Saya ambil keputusan untuk ke sana (Hatyai) dan berjumpa dengan 'Tengku' itu setelah yakin dengan apa yang diceritakan," ceritanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, bagi merebut peluang tersebut, dia terpaksa menjadi penjamin kepada 'Tengku' itu bagi membolehkan suspek mengeluarkan wang RM2.8 bilion dari bank di Switzerland.

Ekoran itu, Amir meminta beberapa rakan ke Hatyai kerana 'Tengku' memerlukan bantuan seramai tujuh orang bagi tujuan yang sama.

"Jadi beberapa orang rakan saya sampai di Hatyai dan mereka pun mula percaya apabila 'Tengku' menunjukkan satu gelang yang mempunyai kod akses akaun bank,'' jelasnya.

Ketujuh-tujuh mangsa bertemu 'Tengku' buat pertama kali di Hatyai pada September lalu dan mereka diminta mengecap jari pada satu dokumen untuk proses pengeluaran wang.

Selepas itu, menurut Amir, suspek memberitahu, proses itu memakan sedikit masa dan kesemua mereka pulang ke Malaysia kerana ingin menyambut Aidilfitri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Harga minyak mungkin turun lagi dua kali

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
nanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my

JOHOR BAHRU - Jika berdasarkan trend semasa, tidak mustahil harga minyak akan turun lagi sebanyak dua kali bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad yang tidak menolak kemungkinan itu berkata, ia mungkin turun pada pertengahan dan penghujung bulan ini, namun enggan mendedahkan harga sebenar bahan mentah itu.

Menurutnya, rakyat boleh mengharapkan harga petrol dan diesel lebih rendah pertengahan bulan ini jika trend penurunan harga purata bahan api itu berterusan di bawah AS$70 (RM226.10) setong pada bulan ini.

"Harga purata petrol setakat ini adalah di bawah AS$70 setong pada lapan hari terakhir Oktober lalu dan minggu pertama bulan ini.

"Berdasarkan trend itu, pasti harga petrol akan berada di bawah AS$70 setong untuk November dan jika ia berterusan, harga akan diturunkan secara munasabah, mungkin dilakukan dua kali sebulan seperti Oktober lalu," katanya di sini semalam.

Bagaimanapun jelas Shahrir, keputusan muktamad mengenai perkara itu bakal ditentukan oleh Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Umpama bom jangka - Tong gas memasak tidak mampu tampung tekanan NGV

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my




LIEW menunjukkan tong gas NGV yang diluluskan dan lebih selamat berbanding penggunaan tong gas memasak di Gombak semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

GOMBAK - Pengubahsuaian tong gas memasak gas petroleum cecair (LPG) sebagai tangki tambahan mengisi gas asli untuk kenderaan (NGV) dianggap perbuatan mengundang malapetaka.

Ini kerana tong gas untuk LPG hanya mampu menerima ketumpatan cecair pada tekanan 50 sehingga 100 bar sahaja dan tidak mampu menampung tekanan bagi NGV yang mencecah sehingga 200 bar.

Pengedar dan pengusaha bengkel pemasangan NGV, BMC-IB Auto Sdn. Bhd., John Liew berkata, tong gas memasak memang tidak selamat dipakai sebagai tangki simpanan NGV.

"Ia umpama kita meniup belon, makin lama ditiup, belon itu akan mengembang sehingga apabila tidak berupaya menahan tekanan itu lalu meletup.

"Tong gas memasak juga tidak ada ciri-ciri keselamatan seperti tangki NGV yang boleh memutuskan pengaliran NGV secara automatik jika menerima tekanan tinggi," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Taman Samudera, Batu Caves, di sini semalam.

Menurut Liew, tangki NGV yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan yang dijual secara bertauliah mempunyai keupayaan menerima tekanan antara 200 sehingga 300 bar dan selamat digunakan.

"Selain itu, jangka hayat tangki NGV telah tetapkan antara 15 sehingga 20 tahun manakala tong gas memasak kita tidak tahu jangka hayatnya, lebih lama makin tidak kuat," ujarnya.

Walaupun ia berbahaya, ada pemilik kenderaan sama ada sedar atau tidak tetap memilih kaedah penjimatan itu, tambah pula harga tangki NGV mencecah RM2,000 sebuah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Versatil, enggan stereotaip

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my




--------------------------------------------------------------------------------

ANAK seni bernama Rosyam Nor sekali lagi mencipta sejarah apabila mengungguli kategori Pelakon Terbaik Lelaki (Filem) melalui Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) dalam Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008) yang berlangsung Jumaat lalu.

Kemenangan Rosyam yang sememangnya terkenal di skrin TV dan layar lebar sudah diramal, lebih-lebih lagi dia turut memenangi kategori yang sama di dalam Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung Ogos lepas.

Membawakan watak Salleh dalam (KMBM), ia terus menjadi 'badi' kepada Rosyam bagi menyapu bersih dan secara rasmi memeteraikan sumpah sebagai yang terbaik dalam membawa karakter itu.

"Bermain dengan watak Salleh dalam KMBM menjadi satu kesukaran buat saya. Dalam filem tersebut, dari A hingga Z babak-babak dan plotnya melibatkan Salleh.

"Kalau hendak tahu, saya melakonkan watak tersebut dengan penuh kesukaran sebenarnya.

"Menerusi watak itu, saya dapat merasai pelbagai emosi, drama, sedih, marah dan komedi.

"Itulah yang saya mahukan dan cari dalam perjalanan saya sebagai pelakon, saya mahu menjadi seorang pelakon yang versatil," kata Rosyam.

Tambah Rosyam lagi: "Menjadi aktor yang banyak menerima anugerah sebenarnya satu cabaran dan tanggungjawab yang dianggap berat buat saya.

"Saya kini menjadi individu yang semakin selektif dan banyak permintaan dalam diri saya, terhadap siapa yang bakal kerja dengan saya dan siapa yang berada di belakang lakonan saya.

"Itulah yang saya perlukan. Saya juga semakin peka terhadap tawaran yang diberikan, tentang skrip. Itu semua adalah bagi mengekalkan kredibiliti saya.

"Saya mahu pastikan, saya terus ditawar berlakon disebabkan populariti ataupun kerana bakat yang ada pada saya.

"Saya enggan mengambil watak yang stereotaip kerana saya tidak mahu pada masa akan datang, 10 ataupun 20 tahun lagi, penonton akan berasa bosan dengan lakonan saya.

"Sebaliknya, saya mahu jadi seperti Tan Sri P. Ramlee yang sentiasa popular hingga ke hari ini, generasi baru juga tidak bosan dengan jenaka P. Ramlee. Itu contoh yang boleh saya berikan.

"Maksudnya, saya mahu kelainan dalam setiap kerja lakonan yang akan saya lakukan. Bukannya untuk pegang watak hero sahaja, watak kecil juga akan saya lakukan jika ada kelainan serta dapat memberi kesan mendalam terhadap penonton."

Dalam pada itu, Rosyam juga mempercayai doa semua pihak terutama peminat, apatah lagi menjadi seorang pelakon yang baik, dia juga harus berbuat baik, lalu mempermudah kerja pihak lain.

"Tidak bermakna, pilihan saya untuk menjadi lebih selektif ini akan mendatangkan rasa tidak berpuas hati pihak lain kerana merasakan payah untuk bekerja dengan saya.

"Saya bukan begitu kerana saya percaya sikap menyusahkan orang lain akan menghancurkan karier seni saya," ungkapnya.

Ditanya rahsia yang diamalkan Rosyam hingga dia berupaya menjadi pelakon versatil, beritahunya, dia banyak menjalankan kajian melalui dunia realiti yang dianggap sebagai cara yang terbaik.

"Saya sentiasa menganalisis manusia-manusia yang saya kenali, yang berada di depan mata saya.

"Saya bergaul dengan semua lapisan masyarakat, kena baca suratkhabar, kena tahu dunia lain selain hiburan.

"Saya juga kena baca tentang sukan, politik serta ekonomi. Barulah seseorang itu akan jadi pelakon yang bijak," tutur Rosyam berkongsi petua.

Kemenangan Rosyam serta penerima anugerah lain ASK 2008 membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa trofi dan lawatan ke Los Angeles.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Ular suka patuk orang di India


BANYAK ular berbisa mudah ditemui di India.

--------------------------------------------------------------------------------

MUMBAI - Lebih banyak maut akibat patukan ular dikesan di India berbanding 68 buah negara lain di dunia yang secara keseluruhan merekodkan hampir setengah juta mangsa.

Di negara Asia selatan itu, purata lebih 80,000 kes dilaporkan sepanjang tahun dengan 11,000 kematian daripada sejumlah 20,000 orang meninggal akibat ular di serata dunia.

Saintis Universiti Kelaniya, Sri Lanka, Janaka De Silva dalam laporan kepada jurnal Public Library of Science Medicine mendedahkan sebahagian besar mangsa ialah lelaki.

"Terdapat lebih 3,000 jenis ular di seluruh dunia kecuali benua Antartika dan daripada angka itu, sejumlah 600 spesies dikesan mempunyai racun amat berbisa," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Antelop peraga lutut pikat pasangan betina


BUNYI yang dihasilkan daripada otot di lutut membolehkan antelop membuktikan tahap kejantanan mereka.

--------------------------------------------------------------------------------

COPENHAGEN - Saintis Pertubuhan Zoologi London dan Universiti Copenhagen mendapati antelop jantan suka memperagakan lututnya sebagai kaedah untuk memikat pasangan betina.

Kajian yang diterbitkan jurnal BMC Biology itu mengatakan arus suara tinggi pergerakan fizikal melebihi tahap normal membolehkan antelop melakukan pergerakan mempamerkan lutut.

"Urat tendon antelop menunjukkan seperti benang diikat rapi dan frekuensi suara kedengaran berbeza daripada pergerakan lutut yang sedia ada," jelas saintis Prof. Jakob Bro-Jorgensen.

Ini dapat membantu haiwan itu mencari pasangan sesuai tanpa melibatkan sebarang konflik atau pergaduhan kerana bunyi lutut boleh didengar ratusan meter jauhnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...