Tuesday, November 11, 2008

Mangsa 'Tengku Auta' diugut bunuh


Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my




SMS ugutan bunuh yang dihantar oleh seorang lelaki yang mendakwa kerabat diraja kepada salah seorang mangsanya.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Trauma ketujuh-tujuh mangsa penipuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya kerabat diraja yang bergelar 'Tengku' rupanya tidak berakhir setakat kehilangan wang kerana mereka kini menerima pula ugutan bunuh daripada lelaki berkenaan.

Lelaki bergelar 'Tengku' itu dikatakan mengugut untuk membunuh semua mangsa terbabit melalui telefon kerana melarikan diri daripadanya.

Menurut seorang daripada mangsa yang cuma ingin dikenali sebagai Amir, lelaki tersebut turut mengancam untuk menggunakan ilmu hitam terhadap mereka.

"Dia (Tengku) cakap nak bunuh kami semua sebab kami lari sebelum duit datang dan kami menjadi punca dia gagal mendapatkan duit sebanyak RM2.8 bilion itu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan tentang nasib tujuh orang lelaki tersebut yang mengalami kerugian sebanyak RM50,000 setelah dijanjikan komisen sebanyak RM50 juta.

Mangsa diminta untuk menjadi penama bagi lelaki tersebut yang berusia 40-an untuk memindahkan wang dari satu akaun bank di Switzerland berjumlah RM2.8 bilion.

Wang itu dikatakan dari sumber haram dan disimpan dalam akaun atas nama lelaki terbabit tetapi kesemua mereka hampa apabila wang yang dijanjikan gagal diperolehi selain menjadi mangsa penderaan lelaki tersebut setelah seminggu berada di Hatyai.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...