Tuesday, November 11, 2008

Mesyuarat jadi gelanggang 'tinju'

Oleh NADZARUL AMIR
ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



BEGINILAH kecohnya mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Seremban semalam apabila ahli yang tidak berpuas hati bergaduh sesama sendiri.

--------------------------------------------------------------------------------

SEREMBAN - Adegan tolak menolak, bertikam lidah dan bertumbuk mewarnai persidangan perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Kelab Golf Tuanku Ja'afar di sini semalam yang berakhir dengan dua orang cedera.

Mesyuarat yang mulanya lancar itu bertukar tegang setelah Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Ishak Ismail selesai berucap dan pengerusi majlis menyerahkan tugas mengendalikan mesyuarat kepada Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bahagian itu, Othman Senara.

Sebelum Othman sempat bercakap, Ketua UMNO cawangan Sikamat, Datuk Md. Yusop Harmain Shah bangun dan terus menyatakan pendirian tidak puas hati dengan sembilan cawangan dalam bahagian tersebut.

Ini kerana menurut Yusop, sebahagian cawangan itu telah diarah bermesyuarat tetapi tidak diberikan status perwakilan dan ditempatkan di bangku pemerhati.

Ekoran itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Bahagian Seremban, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik memberi penjelasan mengenai kekeliruan yang berlaku dan berkata, MT telah memutuskan mana-mana cawangan yang belum bermesyuarat atau mempunyai masalah, ketika UMNO Bahagian sedang bersidang, maka ia diletakkan dalam status pemerhati.

Ia disusuli suasana tegang hanya selepas 20 minit mesyuarat dimulakan apabila salah seorang ahli enggan balik ke tempat duduk walaupun diarahkan oleh Othman.

Apabila seorang ahli jawatankuasa keselamatan cuba meminta lelaki itu duduk, beberapa orang penyokongnya bangun dan menimbulkan kekecohan yang menyaksikan adegan tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk.

Ketua UMNO cawangan Jalan Kuala Pilah, Abd. Halim Lokman telah membuat laporan di Balai Polis Senawang kerana mendakwa telah dipukul.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...