Tuesday, November 11, 2008

Kereta tak dapat, duit muka turut lesap



KUALA LUMPUR: Impian seorang pembantu tadbir untuk melaram bersama kereta baru terbantut apabila syarikat pengedar kenderaan ‘menahan’ kereta itu daripada diserahkan kepadanya walaupun geran sudah dikeluarkan atas nama wanita terbabit.

Siti Hajar Osman, 49, mendakwa menjadi mangsa keadaan apabila bayaran muka hasil ‘trade-in’ kereta lamanya untuk membeli kereta baru itu dipercayai tidak diserahkan jurujual yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat pengedar terbabit.

“Syarikat terbabit tidak berhak menahan kereta itu diserahkan kepada saya disebabkan sikap tidak amanah pekerjanya.

“Itu masalah mereka, kenapa saya yang menjadi mangsa?” katanya.

Menurutnya, dia mula membuat urusan tukar beli kereta itu melalui dua jurujual syarikat berkenaan yang ditemui di depan sebuah bank di Bandar Damai Perdana, Cheras di sini, ketika mereka membuat promosi jualan kereta syarikat berkenaan, dua bulan lalu.

“Tertarik dengan tawaran itu, saya bertanya kepada mereka (jurujual) untuk menukar beli Perodua Kelisa yang dimiliki sejak tujuh tahun lalu dengan Perodua Myvi.

“Mereka memberitahu tidak menjadi masalah untuk berbuat demikian kerana pihaknya boleh menguruskannya bagi pihak saya,” katanya, semalam.

Katanya, jurujual terbabit turut memaklumkan wang hasil penjualan Kelisa itu akan dijadikan bayaran muka untuk urusan pembelian Myvi.

Percayakan jurujual terbabit, Siti Hajar berkata dia tidak berfikir panjang lalu menyerahkan urusan jual beli kereta berkenaan kepada mereka.

Menurutnya, selepas beberapa hari jurujual terbabit menghubunginya memaklumkan kenderaan berkenaan dapat dijual dengan harga RM19,000 dan selepas ditolak hutang yang masih ada, jumlahnya tinggal RM12,000 untuk dijadikan bayaran muka kereta baru.

Siti Hajar berkata, dia turut menyerahkan wang tunai RM1,800 dan deposit RM500, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran muka untuk Perodua Myvi itu sebanyak RM14,300.

“Selebihnya saya membuat pinjaman bank berjumlah RM35,000 bagi melengkapkan urusan berkenaan,” katanya.

Namun, selepas semua urusan selesai dengan pihak bank meluluskan pinjaman, masalah timbul apabila syarikat pengedar berkenaan enggan memberikan kunci kereta baru itu kepadanya walaupun geran sudah dikeluarkan.

“Bengang dengan tindakan itu, saya bertanya kepada mereka kenapa kereta itu ditahan sedangkan semua urusan sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, pengurus syarikat terbabit mendakwa pihaknya tidak menerima wang pendahuluan seperti dijanjikan sedangkan dia sudah menyerahkan urusan berkenaan kepada dua jurujual syarikat terbabit.

“Saya cuba menghubungi jurujual terbabit namun mereka seolah-olah mengelak dengan memberi pelbagai alasan.

“Saya juga merujuk perkara ini kepada pihak bank dan mereka (bank) sudah memaklumkan kepada pengurus syarikat pengedar terbabit supaya menyerahkan Perodua Myvi itu kepada saya,” katanya yang turut membuat empat laporan polis.

Namun, syarikat pengedar berkenaan masih enggan menyerahkan kereta baru itu kepadanya, malah menuntut sejumlah RM8,000 atau membuat pinjaman lain bagi membolehkan kereta itu diserahkan kepadanya.

“Sakit hati saya memikirkan perkara ini, pinjaman bank sudah diluluskan, geran pun sudah dikeluarkan, tetapi kenapa kereta saya ditahan syarikat pengedar terbabit?” katanya.

Siti Hajar berkata, sepatutnya syarikat berkenaan perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa menjadikan pelanggan sebagai mangsa.

“Ini tidak, kerana pekerja mereka yang tidak bertanggungjawab, saya yang menjadi mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081111094212/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...